TELUR terkenal sebagai makanan yang mengandungi pelbagai khasiat dan vitamin.
Sesetengahnya mempunyai kandungan Omega-3 yang tinggi dan baik untuk kesihatan jantung serta fungsi otak.
Maka tidak hairanlah apabila kebanyakan doktor dan pakar kesihatan menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan pengambilan telur setiap hari.
Menerima nasihat yang sama, seorang wanita berkongsi perkembangan kesihatannya selepas mengamalkan diet telur setiap hari.
Di laman Threads, pemilik akaun Niannawha ini turut mengakui perubahan dalam dirinya termasuk penurunan berat badan dalam tempoh satu minggu.
"Saya tak suka telur tapi doktor nasihatkan supaya makan setiap hari, rebus.

Pelbagai menu boleh dihasilkan daripada telur rebus.
"Selepas mengamalkannya, berat saya turun dalam masa seminggu dan saya berhenti mengidam makanan manis.
"Memang rasa kenyang sepanjang hari sampai berjaya elak makan malam selepas pukul 8 malam," kongsinya yang dinasihatkan supaya mengambil empat biji telur sehari.
Menurut wanita ini, rutin harian pemakanannya bermula dengan telur terlebih dahulu dan barulah disusuli minuman atau apa sahaja sarapan.
Tambahnya, amalan itu juga membantu melambatkan lonjakan insulin.
"Secara amnya memang memberi kesan terbaik pada saya, belum kurus lagi tapi tetap rasa gembira sebab berat dah turun dan perut pun tak buncit.
"Bagi yang rasa sukar nak turunkan berat badan sebab ada PCOS (Sindrom Ovari Polisistik) atau masalah hormon, boleh cuba langkah mudah ni," tambahnya yang menantikan kehadiran zuriat selama sembilan tahun perkahwinan.
Malah wanita ini menyatakan dia pernah cuba menurunkan berat badan menerusi ‘intermittent fasting’, namun tidak sesuai untuk dirinya.


