KEPELBAGAIAN gaya dan warna rambut terkini pastinya menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.
Bagaimanapun bagi pencinta fesyen, penggunaan pewarna rambut yang kerap boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan, khususnya kepada golongan wanita.
Menurut laman Facebook Public Health Malaysia, wanita yang kerap menggunakan pewarna rambut kekal atau bahan kimia untuk meluruskan rambut didapati berisiko lebih tinggi mendapat kanser payudara.
Perkara itu dinyatakan berdasarkan kajian besar oleh National Institutes of Health (NIH).

Kepelbagaian warna dan gaya rambut pastinya menarik perhatian ramai. -Gambar hiasan
Kajian yang melibatkan lebih 46,000 wanita ini mendapati penggunaan pewarna rambut kekal secara kerap meningkatkan risiko kanser payudara sehingga sembilan peratus.
"Selain itu, bahan pelurus rambut berasaskan kimia juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara kira-kira 30 peratus, tanpa mengira bangsa.
"Walaupun kajian ini belum membuktikan sebab dan akibat secara langsung, penyelidik memberi amaran bahawa bahan kimia dalam produk kecantikan mungkin memainkan peranan penting dalam risiko kanser," kongsinya.
Justeru, setiap wanita digalakkan untuk lebih peka terhadap kesihatan diri termasuk melakukan pemeriksaan payudara kendiri secara berkala.
"Kenali perubahan pada tubuh dan segera dapatkan nasihat doktor jika ada tanda yang mencurigakan.
"Langkah kecil ini mampu memberi perbezaan besar dalam pengesanan awal dan rawatan," tambahnya.


