TIDAK dinafikan mereka yang ingin menurunkan berat badan perlu 'mengorbankan' makanan dan minuman kegemaran.
Namun situasi berbeza untuk pempengaruh kecergasan, Kols, apabila dia kehilangan hampir 32 kilogram tanpa berhenti menikmati makanan kegemarannya.
Berkongsi rahsia kurus kepada umum, Kols menegaskan mereka yang ingin menurunkan berat badan perlu mempunyai matlamat yang jelas.
"Mulakan dengan langkah kecil yang boleh dicapai, sesuai dengan rutin semasa anda.
"Mereka yang tidak aktif, duduk di sofa dan berjalan kurang dari 3,000 langkah sehari, tiba-tiba membuat rancangan untuk berjalan 10,000 langkah sehari dan pergi ke gim enam kali seminggu adalah tidak realistik.
"Ia mungkin akan menyebabkan anda gagal," jelasnya.
Menurutnya, sasaran perlu dilakukan pada tahap rendah terlebih dahulu dan kemudian ditingkatkan apabila berjaya mencapainya.

Kols berjaya mencapai berat badan impian selepas melakukan diet.
Malah dia mengakui perkara itu yang diamalkan sehingga berjaya mencapai berat badan yang diingini.
Dia pada awalnya menyasarkan 6,000 langkah setiap hari, sesuai dengan gaya hidupnya dan membolehkannya mengekalkan rutin tanpa rasa letih.
"Jika azam Tahun Baru anda adalah untuk melepaskan sepenuhnya makanan tertentu seperti gula-gula, piza, atau ais krim, lebih baik jangan berbuat demikian.
"Tidak jadi masalah untuk menikmati makanan yang anda gemari semasa proses penurunan berat badan.
"Tetapi anda perlu melakukan diet pengurangan kalori," tambahnya.
Malah katanya, tabiat berhenti menikmati makanan kegemaran sepenuhnya demi mendapatkan hasil yang lebih cepat, adalah amalan yang tidak sihat.
Pada masa sama, dia tidak terjejas atau putus asa hingga berhenti diet apabila melihat penimbang tiba-tiba meningkat semasa proses menurunkan berat badan.
"Walaupun semasa menurunkan berat badan, nombor pada penimbang kadang-kadang meningkat, tetapi saya terus berjalan," tambahnya.
Baginya, turun naik skala adalah perkara biasa dan boleh berlaku disebabkan oleh pengekalan air, ketidakseimbangan badan dan beberapa faktor lain. -Agensi


