MENJEMUR pakaian basah di dalam rumah tanpa pengudaraan yang baik boleh menggalakkan pertumbuhan kulat, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan kepada penghuni.
Kulat biasanya muncul dalam bentuk tompok hitam atau hijau di dinding serta berbau hapak dan ia hidup subur dalam persekitaran yang sejuk dan lembap.
Sporanya yang halus boleh terapung di udara dan jika terdedah dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan serius.
Kawasan paling berisiko
Bilik air dan dinding lembap adalah kawasan paling terdedah kerana kelembapan tinggi yang menjadi habitat ideal untuk pertumbuhan spora kulat.
Oleh itu, pengudaraan yang mencukupi sangat penting semasa mengeringkan pakaian dalam rumah bagi mengelakkan pertumbuhan kulat dan melindungi kesihatan keluarga.
Terdapat pelbagai jenis kulat, tetapi yang paling biasa menyebabkan masalah di rumah ialah penicillium dan aspergillus.
Dianggarkan kita menyedut sejumlah kecil spora daripada kulat ini setiap hari.
Menjemur pakaian dalam rumah boleh menggalakkan pertumbuhan kulat. -Gambar hiasan AI
Namun mujurlah sistem imun tubuh manusia biasanya cukup kuat untuk mengesan dan membunuh spora kulat ini.
Maka jangkitan paru-paru akibat kulat adalah jarang walaupun kita terdedah kepadanya setiap masa.
Siapa Paling Berisiko?
Namun begitu, terdapat golongan yang sistem imunnya tidak mampu menyingkirkan spora kulat, dan ini boleh menyebabkan jangkitan serius atau memburukkan lagi keadaan sedia ada seperti asma.
Bagi pesakit asma, sistem imun mereka bertindak balas secara berlebihan terhadap pencetus seperti spora kulat, menyebabkan radang dalam paru-paru.
Keradangan ini menyempitkan saluran udara dan menyukarkan pernafasan.
Reaksi imun ini sama seperti yang berlaku dalam asma dan alahan, dan spora kulat boleh menjadi pencetus utama bagi sesetengah individu.
Dalam kes yang sangat ekstrem, spora kulat bukan sekadar menyebabkan radang, malah boleh menyerang saluran udara dan menyumbatkannya sehingga berlaku pendarahan dalam paru-paru.
Ini terjadi apabila spora bercambah dan menghasilkan struktur seperti sawang labah-labah yang dikenali sebagai miselium, membentuk ketulan melekit yang menyumbat dan merosakkan tisu paru-paru. -Agensi