ANCAMAN perang nuklear dilihat sebagai sesuatu yang jauh dari jangkauan pemikiran dan tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.
Namun hakikatnya dunia hari ini semakin tidak stabil dan bergolak.
Dengan ketegangan geopolitik yang kian meningkat, rakyat biasa juga perlu bersedia menghadapi kemungkinan terburuk termasuklah senario perang nuklear.
Di aplikasi Thread, seorang wanita dikenali sebagai Fyllaabidin turut berkongsi tindakan dan persediaan yang boleh dilakukan sebelum, semasa dan selepas perang.
"Kalau perang nuklear berlaku, na’uzubillah, ia boleh sebabkan kemusnahan besar. Bukan saja letupan, tapi radiasi, kebakaran dan kesan jangka panjang seperti pencemaran udara, air dan makanan.
"Tapi kita masih boleh usaha untuk bersedia secara asas," tulis wanita itu.
Sebelum (persediaan awal)
- Simpan barang keperluan asas. Contohnya makanan dalam tin, biskut, beras dan air mineral yang boleh tahan lama.
- Simpan air bersih sekurang-kurangnya empat liter seorang, sehari untuk tujuh ke 14 hari.
- Simpan ubat penting dan kit kecemasan.
- Sediakan powerbank, bateri tambahan, lilin dan pemetik api.
- Sediakan alat penapis air atau tablet penulen air.
- Cari tempat perlindungan seperti tempat bawah tanah, bilik tanpa tingkap atau bilik mandi di tengah rumah.
- Simpan barang keperluan di lokasi itu siap-siap.
- Siapkan juga ruangan itu dengan selimut, tilam nipis dan alat komunikasi.
Kesan perang nuklear dikatakan lebih dahsyat berbanding perang biasa. -Gambar hiasan AI
Semasa (ketika letupan nuklear)
- Apabila melihat cahaya terang/letupan, jangan lihat secara langsung, sebaliknya kena tutup mata dan tunduk.
- Lindungi diri serta-merta di balik dinding/bawah meja.
- Cari tempat perlindungan dalam masa 10 minit pertama, ini waktu paling penting untuk kurangkan pendedahan radiasi.
- Ketika dalam perlindungan, tutup semua pintu dan tingkap rapat-rapat.
- Gunakan kain basah untuk tutup lubang udara.
- Jangan keluar selama 24–72 jam, tunggu maklumat rasmi.
Selepas (beberapa hari kemudian)
- Elakkan terkena hujan radioaktif. Hujan yang berlaku selepas letupan boleh membawa debu radiasi, jangan keluar langsung melainkan sangat terpaksa.
- Jika perlu keluar, pakai baju berlengan panjang, pelitup muka, sarung tangan dan penutup kepala.
- Apabila masuk semula rumah, buang pakaian luar dan masukkan dalam plastik.
- Mandi dan cuci rambut serta merta dengan sabun.
- Dengar info semasa, gunakan radio untuk dengar arahan pihak berkuasa.