PERUBAHAN pada kuku biasanya dianggap remeh dan tidak perlu diberi perhatian.
Malah, mungkin ada dalam kalangan kita yang pernah mengalami tompokan warna gelap di bawah kuku.
Tahukah anda bahawa perubahan warna, bentuk dan tekstur kuku sebenarnya boleh menjadi petunjuk kesihatan kita?
Menurut laman sesawang Cleveland Clinic, perubahan kuku juga boleh menjadi petunjuk kepada melanoma subungual.
Melanoma subungual merupakan sejenis kanser kulit yang berlaku di bawah kuku, biasanya kelihatan sebagai garis gelap menegak (dari atas ke bawah) pada permukaan kuku.
Walaupun jarang berlaku, melanoma subungual adalah serius dan berbahaya.
Bukan seperti kanser kulit lain, melanoma subungual tidak berkait dengan pendedahan kepada cahaya matahari.
Ramai menganggap perubahan pada kuku sebagai remeh dan tidak perlu diberi perhatian. -Gambar hiasan AI
Ia selalunya terjadi pada ibu jari kaki, ibu jari tangan atau jari telunjuk.
Bagaimana rupa melanoma subungual?
Melanoma subungual biasanya mempunyai bentuk yang agak ketara.
Sesetengah orang menggambarkannya seperti garisan yang dilukis menggunakan pen penanda hitam atau coklat pada kuku.
Ia muncul sebagai garis gelap dari bawah ke atas kuku yang pada mulanya kecil tetapi boleh membesar dan merebak hingga ke kulit di pangkal kuku.
Siapa yang berisiko?
Sesiapa sahaja boleh mendapat melanoma subungual, tetapi risiko lebih tinggi jika anda berusia antara 50 hingga 70 tahun dan berkulit gelap.
Ia lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berketurunan Afrika-Amerika, Asia atau Hispanik.
Sejauh mana ia berlaku?
Melanoma subungual jarang berlaku, dan hanya merangkumi sekitar 0.7 peratus hingga 3.5 peratus daripada semua kes melanoma di seluruh dunia.