SETELAH tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ramai golongan pelajar masih keliru untuk menentukan hala tuju pendidikan mereka.
Tidak kisahlah sama ada universiti awam, institusi swasta atau bidang kemahiran, keputusan yang dibuat pada peringkat ini penting kerana ia bakal mencorakkan masa depan.
Bagi mengelakkan keputusan yang dibuat merugikan diri dalam jangka masa panjang, amat penting untuk mereka mengenal pasti apakah kesilapan lazim yang sering dilakukan ketika memilih kursus pengajian.
Berikut kami kongsi empat kesilapan utama yang wajar dielakkan.
1. Pilih sebab kawan
Ini merupakan antara kesilapan yang agak kerap dilakukan pelajar.
Ramai yang rasa lebih selamat apabila ada geng, tapi hakikatnya setiap individu mempunyai minat dan kekuatan berbeza.
Apa yang sesuai untuk kawan, belum tentu sesuai untuk kita.
Jadi, jangan sesekali pilih jurusan semata-mata tidak mahu berpisah dengan kawan-kawan.
Setiap ibu bapa pastinya mahu melihat anak-anak berjaya dalam pengajian. -Gambar hiasan AI
2. Tak tahu minat sendiri
Ramai juga pelajar yang masih tidak mempunyai cita-cita walaupun sudah tamat persekolahan.
Malah, mereka juga gagal mengenal pasti minat dan kekuatan sendiri sehingga tidak tahu bidang mana yang sesuai untuk dipilih.
Jika memilih bidang yang salah, anda mungkin akan rasa bosan dan tidak mempunyai motivasi untuk menamatkan pengajian.
Jadi, ambil masa untuk kenali potensi diri melalui ujian minat kerjaya atau sesi kaunseling.
Boleh juga bertanya kepada senior, guru serta mereka yang sudah berjaya dalam bidang masing-masing.
3. Ikut pilihan keluarga
Kebanyakan ibu bapa mahu melihat anak-anak menceburi bidang yang menjanjikan kehidupan senang.
Contohnya, anak-anak disuruh menjadi cikgu kerana kerja sebagai kakitangan kerajaan dijanjikan dengan pencen dan mudah untuk membuat pinjaman bank.
Anak perlu berbincang dengan ibu bapa sekiranya mereka meminati bidang lain, ini kerana tidak semua pilihan ibu bapa sesuai untuk anak-anak.
Apabila anak-anak terpaksa mengikuti pengajian dalam bidang pilihan ibu bapa, mereka akan mengalami kesukaran kerana tiada minat terhadap jurusan itu.
4. Tak buat kajian
Sesetengah pelajar memilih jurusan tanpa mengkaji terlebih dahulu subjek yang bakal dipelajari serta peluang kerja dalam industri.
Kesilapan ini boleh memberi kesan jangka panjang, menyebabkan mereka sukar mendapat kerja selepas menamatkan pengajian.
Ada juga yang memilih kursus-kursus 'hot' kerana peluang pekerjaan yang tinggi tanpa mengambil kira minat sendiri.
Jadi, pelajar perlu membuat kajian tentang setiap jurusan yang mahu dipilih.