TOPIK mengenai herpes kecoh menjadi bualan warga maya selepas usahawan Kieda Crepe mendedahkan dia sedang mendapatkan rawatan akibat jangkitan virus itu.
Namun satu hakikat yang mungkin ramai masih belum tahu, herpes bukan sahaja boleh berlaku kepada orang dewasa, malah ia juga boleh menjangkiti bayi.
Menurut National Health Service (NHS) United Kingdom, ia disebut sebagai herpes neonatal iaitu jangkitan herpes pada bayi yang masih kecil.
Herpes boleh menjadi sangat serius bagi bayi kerana sistem imun mereka masih belum cukup berkembang untuk melawan virus tersebut.
Bagaimana bayi baru lahir boleh dijangkiti herpes?
1. Semasa kehamilan dan ketika bersalin: Jika anda pertama kali menghidap herpes genital dalam tempoh enam minggu terakhir kehamilan, bayi itu juga berisiko dijangkiti herpes.
Terdapat risiko anda menyebarkan jangkitan kepada bayi jika anda bersalin secara normal (melalui faraj).
Risiko ini jauh lebih rendah jika anda pernah menghidap herpes genital sebelum ini.
Orang luar tidak sepatutnya mencium bayi tanpa kebenaran ibu bapanya. -Gambar hiasan AI
2. Selepas kelahiran: Virus herpes simplex boleh disebarkan kepada bayi melalui ciuman jika seseorang itu mempunyai lepuh.
Virus herpes juga boleh merebak kepada bayi jika anda mempunyai lepuh herpes pada payudara dan menyusukan bayi menggunakan payudara yang terjejas atau memberikan susu daripada payudara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Ramai bimbang isu peniaga makanan dijangkiti herpes, risau keselamatan pelanggan… Public Health Malaysia beri peringatan
Bayi paling berisiko dijangkiti herpes dalam empat minggu pertama selepas dilahirkan.
Sebagai peringatan, anda tidak sepatutnya mencium bayi jika mempunyai lepuh herpes.
Sejauh mana bahaya herpes kepada bayi?
Kadangkala, herpes neonatal hanya melibatkan mata, mulut atau kulit bayi.
Dalam kes seperti ini, kebanyakan bayi akan sembuh sepenuhnya dengan rawatan antivirus.
Namun keadaan ini menjadi jauh lebih serius jika jangkitan merebak ke organ dalaman bayi.
Ramai bayi yang mengalami herpes neonatal jenis ini akan meninggal dunia, walaupun menerima rawatan.
Jika herpes yang merebak tidak dirawat dengan segera, kemungkinan untuk bayi meninggal dunia adalah sangat tinggi.