suria

Nak beraya pun kena rancang waktu... Ini 10 nasihat KKM elak diserang penyakit berkaitan cuaca panas

Banyakkan minum air putih untuk kekal hidrasi sewaktu gelombang haba. -Gambar hiasan

BEBERAPA hari lalu, negara kita digemparkan dengan khabar duka mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dari Kelantan, disahkan akibat strok haba dan dehidrasi.

Muhammad Syamil Aqil meninggal dunia pada pagi Selasa lalu, selepas diserang demam dan cirit-birit.

Kes kanak-kanak tersebut adalah kes pertama strok haba yang menyebabkan kematian.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kanak-kanak adalah antara golongan yang berisiko tinggi mengalami masalah kesihatan akibat gelombang haba sekiranya terdedah kepada cuaca panas untuk tempoh lama.

"Pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan terutamanya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, golongan warga emas, dan mereka yangmempunyai penyakit kronik.

haba 3

Kanak-kanak adalah antara golongan berisiko ketika gelombang haba berlaku. Gambar hiasan

"Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau adalah seperti sakit kepala, keletihan, kurang tumpuan, pening, lemah-lemah otot atau kekejangan, rasa mual.

"Keadaan yang terlalu teruk boleh mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan tidak sedarkan diri atau koma," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cuaca panas ‘lit lit’, hati-hati orang beraya di utara dan Pantai Timur! Suhu boleh cecah 37 darjah Celsius

Sehingga 28 April, pemantauan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat sebanyak lima kes penyakit berkaitan cuaca panas telah dilaporkan.

Daripada lima kes, tiga kes dilaporkan di Sarawak melibatkan dua kes kekejangan haba dan satu kes kelesuan haba; dua kes lagi dilaporkan di negeri Kelantan, melibatkan satu kes kelesuan haba dan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian.

Justeru, KKM mengingatkan orang ramai terutamanya bagi mereka yang menyambut perayaan Aidilfitri atau bercuti ketika cuaca panas ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

1. Rancang aktiviti beraya atau ziarah dan elakkan waktu puncak cuaca panas antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

2. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak berasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.

3. Kurangkan minum air manis, berkafein dan berkarbonat kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan.

4. Golongan berisiko tinggi seperti bayi, kanak-kanak dan warga emas, perlu dipastikan minum air secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi.

haba 2

Gunakan pelindung seperti payung atau topi ketika berada di luar rumah. Gambar hiasan

5. Awasi gejala keletihan dalam kalangan bayi, kanak-kanak dan warga emas kerana mereka mungkin mengalami dehidrasi tanpa disedari.

6. Kerap mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

7. Hadkan aktiviti fizikal lasak semasa cuaca panas kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas.

8. Hadkan tempoh berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas. Gunakan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.

9. Gunakan kipas atau penyaman udara untuk menyejukkan badan.

10. Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala penyakit akibat cuaca panas.

Orang awam boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas di laman sesawang MetMalaysia dan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas di laman sesawang KKM.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain