suria

Tak kisah kutip makanan atas lantai? Ketahui risikonya jika masih amalkan ‘5 second rule’

Ramai yang tidak mengetahui bahaya memakan makanan yang dikutip dari lantai. Gambar hiasan

"CEPAT kutip makanan tu! Baru lima saat, kuman belum hinggap..."

Anda mungkin pernah mendengar istilah 'peraturan lima saat' atau five-second rule.

Maksunya, tidak mengapa untuk mengutip makanan yang jatuh di atas lantai, asalkan anda mengambilnya dalam masa beberapa saat.

Teorinya adalah, jika bertindak balas dengan pantas dan 'mengalahkan' bakteria dengan cepat, anda boleh menikmati makanan kerana ia belum tercemar.

ARTIKEL BERKAITAN: Sumbat macam-macam masa raya buatkan perut terkejut! Makan sikit seperti pengantin antara tip elak masalah penghadaman

Namun sejauh manakah kebenaran teori ini?

Berikut adalah pandangan pakar yang mengulas mengenai teori 'peraturan lima saat' dari segi kesihatan:

1. Tiada bukti yang menyokong peraturan lima saat.

Menurut seorang doktor pakar internis (organ dalaman), Soma Mandal, tiada bukti yang boleh dipercayai untuk menyokong peraturan lima saat itu. Menurutnya, apabila makanan bersentuhan dengan permukaan yang tercemar, ia boleh dihinggapi bakteria berbahaya serta-merta dalam masa kurang daripada satu saat.

lantai 2

Makanan basah dan berongga mengundang risiko besar dihinggapi bakteria. Gambar hiasan

2. Jenis lantai tertentu menimbulkan risiko yang lebih besar.

Sesetengah keadaan lantai tertentu boleh mempengaruhi kadar pencemaran pada makanan anda. Begitu juga dengan tekstur makanan yang anda jatuhkan, ia juga mempengaruhi kadar pencemaran makanan. Makanan yang basah dan berongga amat cekap untuk dihinggapi bakteria.

3. Akibat memakan makanan yang dikutip daripada lantai.

Melissa Wasserman Baker, seorang pakar diet dan pemakanan berdaftar merangkap pengasas Food Queries, mengatakan bahawa gejala penyakit bawaan makanan boleh memberi pelbagai kesan. "Bergantung kepada jenis dan jumlah bakteria yang ada, gejala boleh jadi bermula dengan ketidakselesaan perut ringan kepada penyakit yang lebih teruk seperti cirit-birit, muntah, demam, dan dehidrasi," katanya.

lantai 3

Tabiat mengutip makanan dari lantai mungkin boleh mengakibatkan seseorang terkena penyakit bawaan makanan. Gambar hiasan

4. Jangan sangka lantai yang kelihatan bersih tiada bakteria

Lantai yang kelihatan bersih mungkin masih menjadi tempat 'lepak' bakteria berbahaya, terutama di kawasan laluan ramai. Antara bakteria yang terdapat di lantai adalah E. coli, Salmonella, dan Listeria monocytogenes. Alergen, iaitu patogen daripada najis haiwan atau manusia, kotoran, rambut, dan habuk juga merupakan punca biasa bagi pencemaran yang mungkin ada di rumah anda.

Walaupun lantai dibersihkan setiap hari untuk membantu mengurangkan risiko pencemaran bakteria, anda juga terdedah dengan risiko kesan bahan kimia pembersih lantai.

Jadi selepas ini, fikirlah berkali-kali sebelum memakan makanan yang dikutip daripada lantai ya! - Bestlifeonline

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain