suria

Penat hadap kesesakan? Segera berhenti jika alami simptom ini ketika memandu... Doktor kongsi 7 tip cegah microsleep

Segera berhenti dan berehat seketika sekiranya mempunyai simptom microsleep. Foto: Freepik

KETIKA ini ramai yang sudah mula bertolak pulang selepas menghabiskan cuti raya di kampung.

Ada yang merasai pengalaman terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas sehingga berjam-jam lamanya di lebuh raya.

Semestinya keadaan ini membuatkan para pemandu keletihan dan kurang rehat, sekali gus mengundang rasa mengantuk semasa memandu atau dikenali sebagai microsleep.

Apa itu microsleep?

Microsleep merupakan tidur singkat yang tidak dapat dikawal dan sering kali berlaku dalam tempoh masa antara satu hingga 30 saat ketika memandu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering terlelap ketika memandu? Ambil tahu punca microsleep, elak tidur yang bawa maut

Namun, terdapat juga situasi yang berlaku di mana seseorang itu tertidur tanpa sedar ketika melakukan aktiviti lain seperti mengendalikan mesin peralatan yang membahayakan.

Difahamkan, ia terjadi disebabkan pola tidur yang tidak menentu, kepenatan yang keterlaluan dan mungkin juga disebabkan oleh sistem saraf badan yang tidak berfungsi secara normal.

tidur cukup

Dapatkan tidur atau rehat yang mencukupi sebelum memulakan pemanduan. Foto: Freepik

Simptom microsleep:

1) Tersengguk-sengguk

2) Mata terkebil-kebil

3) Kelopak mata semakin layu

4) Pandangan seolah-olah kosong

Jika anda mengalami salah satu atau kesemua simptom di atas, jangan teruskan pemanduan kerana dikhuatiri ia bukan sahaja membahayakan nyawa anda bahkan penumpang yang bersama anda dan juga pengguna jalan raya lain.

samhan 1

Dr Ahmad Samhan banyak berkongsi tip megenai kesihatan, kekeluargaan dan isu semasa di laman sosial.

Apa yang perlu anda lakukan untuk mencegah microsleep? Seorang pegawai perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang berkongsi tujuh tip sebagai panduan untuk diikuti.

1) Perkara paling penting, dapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan lebih-lebih lagi jika melibatkan destinasi yang jauh.

2) Jika terasa mengantuk, jangan memandu.

3) Seeloknya, ada dua individu yang boleh memandu di dalam kenderaan yang sama agar anda boleh bergilir-gilir jika mengantuk atau kepenatan.

4) Berhenti seketika di lokasi yang selamat untuk melelapkan mata sebelum meneruskan pemanduan.

5) Berbual-bual dengan pasangan atau sesiapa saja yang berada di dalam kenderaan untuk menghilangkan rasa mengantuk.

6) Lakukan pergerakan kecil tubuh badan.

7) Sentiasa minum air yang mencukupi.

Usah paksa diri untuk terus memandu atau berkejar masa untuk tiba ke destinasi sekiranya tubuh badan anda memerlukan rehat.

Ingat, sesaat microsleep sudah cukup untuk mengundang padah, malah boleh meragut nyawa!

Peganglah ungkapan, biar lambat asalkan selamat. Berhati-hati di jalan raya, ingatlah wajah-wajah orang tersayang yang menantikan kepulangan anda dengan selamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain