suria

Demi nak tunjuk ‘macho’, lelaki derita dalam diam! Pakar bimbang ramai kaum Adam alami kemurungan

Lelaki juga perlu menangis dan meluah perasaan.

INDIVIDU yang menangis sering dianggap lemah serta bersifat kewanitaan sehinggakan golongan adam 'takut' menitiskan air mata, selain bimbang dilabel bukan lelaki sejati.

Malah sejak kecil golongan ini dilatih untuk kekal tabah dan tidak menangis walau dalam apa jua situasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Terangsang tengok perut wanita hamil, lelaki gila seks simpan foto ibu mengandung... Hati-hati tayang ‘baby bump’

Namun, adakah anda tahu bahawa dengan menitiskan air mata atau meluahkan perasaan dapat membantu menjaga kesihatan mental mahupun emosi?

Menurut Pakar Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Celine Chan Tze Lin, kebanyakan lelaki sering mengabaikan sebarang penyakit yang dialami dan seterusnya menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merudum.

Justeru katanya, bersempena bulan kesedaran kesihatan lelaki pada November ini, SMCV menyeru para lelaki untuk mengutamakan kesihatan mereka tanpa mengira betapa mencabarnya untuk berbuat demikian.

Ia berikutan laporan Frontiers in Psychiatry mendedahkan bahawa kadar bunuh diri dalam kalangan lelaki meningkat secara ketara di antara tahun 2014 dan 2019.

Angka tersebut menunjukkan purata 5.8 bagi setiap 100,000 penduduk yang dianggarkan sebanyak 1,841 kematian akibat bunuh diri berlaku saban tahun dengan lima kematian setiap hari.

Dr Celine berkata, lelaki yang tidak bercakap tentang emosi secara terbuka mungkin mengalami kesukaran untuk mengenal pasti simptom masalah kesihatan mental.

Meluahkan perasaan pada orang yang boleh dipercayai dapat membantu atasi masalah kesihatan mental

Meluahkan perasaan pada orang yang boleh dipercayai dapat membantu atasi masalah kesihatan mental.

"Antara petanda ahli keluarga atau rakan anda mungkin mengalami penyakit mental dan memerlukan bantuan ialah, dia selalu berasa sedih, cemas, bimbang, cepat marah, mengalami masalah tidur, tidak lagi berminat dengan hobi atau perkara lain.

"Apabila perasan-perasaan ini menjadi semakin kuat, berlarutan untuk tempoh yang lama... ia mula menganggu prestasi kerja dan hubungan... ia mungkin petanda masalah kesihatan mental," kongsinya.

Dr Celine menambah, sistem sokongan yang kuat untuk lelaki mahupun mana-mana pesakit memberi banyak faedah positif termasuklah kemahiran kawalan diri atau coping skills yang lebih baik, mengurangkan kemurungan serta kebimbangan dan tekanan.

Beliau berkata, kaedah untuk meyakinkan lebih ramai lelaki tampil mendapatkan rawatan ialah dengan memberi kefahaman kepada mereka bahawa tidak menjadi masalah jika bercakap dengan seseorang yang dipercayai bagi menghilangkan tekanan.

Dr Celine juga bersetuju bahawa hospital perlu menyediakan sokongan kesihatan mental di jabatan terapi khusus termasuk menyediakan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor klinikal yang akan membantu pesakit sepanjang tempoh rawatan.

"Sokongan psikososial daripada orang yang disayangi, rakan sebaya dan pasukan penjagaan kesihatan, di samping pemeriksaan kesihatan secara berkala serta amalan gaya hidup sihat seperti kerap bersenam menunjukkan kepada pengurangan masalah kesihatan mental yang drastik," tegasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain