suria

Apa itu mukbang? Doktor dedah bagaimana trend ini memudaratkan pereka konten, penonton

Trend mukbang dikhuatiri sangat berbahaya kepada pereka konten dan penonton. Gambar hiasan

ZAMAN sekarang, penggunaan media sosial sangat dominan dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Bukan sekadar untuk tujuan komunikasi mahupun berkongsi maklumat, malah ada yang memanfaatkan media sosial untuk menjana pendapatan menerusi konten yang dihasilkan.

Mereka yang berkecimpung dalam bidang ini sebagai pereka konten (content creator) tampil menyajikan pelbagai kandungan, antaranya tutorial solekan, memasak, travelog dan sebagainya.

Begitu juga dengan konten 'Mukbang'. Apa itu 'Mukbang'?

Mukbang (atau muk-bang) berasal dari perkataan Korea yang bermaksud siaran audiovisual dalam talian di mana seseorang makan sesuatu makanan dalam kuantiti yang banyak sambil berinteraksi dengan penonton mereka.

mukbang 2

Konten mukbang berasal dari Korea.

Maka tidak hairanlah jika anda buka sahaja video mukbang di YouTube, 'bersepah' video konten sedemikian yang dihasilkan pereka konten Korea.

Kini trend menghasilkan konten mukbang sudah 'berjangkit' ke Malaysia kerana ternyata ramai rakyat negara ini adalah peminat nombor satu rancangan Korea.

Ramai juga influencer yang menghasilkan video mukbang sebagai konten mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Hilang minat belajar demi duit, lelaki ini bimbang anak muda pakat berlumba jadi content creator... Tapi sayang tiada ilmu

Boleh meleleh air liur kalau tengok lebih-lebih lagi jika siap ada Autonomous Sensory Meridian Response atau ASMR... memang puas penonton dapat mendengar bunyi makanan dikunyah!

Bagaimanapun, tahukah anda trend mukbang sebenarnya sangat berbahaya?

Menurut pengamal perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, video mukbang boleh mempengaruhi amalan pemakanan orang ramai, dan boleh menjejaskan kesihatan fizikal, mental dan sosial mereka.

"Antara masalah mental yang boleh berlaku ekoran amalan pemakanan adalah binge eating disorder, bulimia (binge eating dan induce vomiting), pica (makan benda bukan makanan) dan sebagainya.

"Di klinik saya dah banyak lihat kes gastritis, gastroesofageal reflux, bulimia, dan sebagainya akibat terpengaruh dengan mukbang yang ditonton di media sosial," ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook.

doc

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Menurut Dr Kamarul, konten mukbang akan menjadi mudarat kepada pereka konten dan penonton apabila ia mengandungi unsur-unsur porsi (portion) terlalu besar, pedas atau manis ekstrim, makanan tidak sihat, makanan terlarang, cara makan berbahaya, tiada adab makan dan tidak menghormati makanan.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbitidi Kebangsaan 2017 mendapati trend makanan di media sosial (37.9 peratus) dan televisyen (36.7 peratus) mempengaruhi corak pemakanan remaja (10 hingga 17 tahun).

"Oleh itu, memastikan konten pemakanan di media sosial tidak memudaratkan kesihatan, adalah amat penting untuk generasi masa hadapan.

"Manusia makan bukan sahaja untuk hidup, malah ia juga cara untuk berhibur dan bersosial. Sebab itu konten mukbang popular di media sosial.

"Tidak salah nak buat atau tonton konten mukbang, tapi biarlah yang ada adab dan batas, agar tak mendatangkan mudarat," kongsinya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI