suria

Merokok bukan hak asasi, kesihatan awam paling utama!

Kerajaan telah menguatkuasakan arahan larangan merokok di premis-premis makanan. Foto: The Star

HANGAT perbincangan di media sosial ketika ini susulan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen pada 27 Julai lalu.

Di bawah RUU itu, individu yang lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang menggunakan produk tembakau atau produk pengganti tembakau, peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok boleh didenda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak melebihi RM5,000, jika sabit kesalahan.

smoking 3

Asap rokok memberi kesan buruk kepada orang yang berada di sekeliling. Gambar hiasan. Foto: Izzrafiq Alias/The Star

Pelbagai reaksi yang disuarakan baik daripada orang awam, peniaga hasil tembakau atau peranti rokok serta persatuan yang berkaitan, susulan pembentangan RUU berkenaan.

Bagi pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Profesor Madya Dr Muzaffar Syah Mallow, RUU tersebut wajar diluluskan kerana hak kesihatan awam lebih penting berbanding individu merokok.

"Menurut YB Khairy Jamaluddin, sejumlah dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian serta keilatan disebabkan penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh sehingga 2040 sekiranya RUU tersebut mendapat sokongan dan berkuat kuasa kelak," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaji semula polisi GEG, perkenal alternatif kawal bahaya rokok

Tambah beliau, bahaya daripada aktiviti merokok sememangnya diketahui umum, di mana ia memberi kesan bukan sahaja terhadap diri perokok malah terhadap orang lain yang tidak menghisap rokok melalui asap rokok yang dihasilkan.

"Tidak terdapat peruntukkan jelas yang menyatakan merokok itu adalah sebahagian daripada hak asasi manusia sama ada di bawah Perlembagaan Persekutuan ataupun Peristiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948.

Kerajaan harus tegas dan konsisten melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana persekitaran yang selamat.

PROF MADYA DR MUZAFFAR SYAH MALLOW

PENSYARAH

"Pelbagai usaha telah diambil oleh golongan perokok untuk menegakkan hak mereka untuk merokok.

"Namun segala usaha diambil oleh mereka menemui kegagalan. Tidak ada negara yang menyatakan bahawa merokok itu adalah sebahagian daripada hak asasi manusia," ujar pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang itu lagi.

Artikel 8, Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (FCTC, WHO) yang turut ditandatangani oleh Malaysia pada 2005 menyatakan negara anggota sentiasa komited melindungi orang awam daripada ancaman rokok serta asap rokok.

smoking 2

Kerajaan diminta tegas dalam melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dengan selamat. Gambar hiasan. Foto: Izzrafiq Alias/The Star

Untuk rekod, Malaysia telah pun mengambil beberapa langkah drastik dalam perkara ini melalui pengisytiharan beberapa buah kawasan yang dilarang untuk merokok.

Langkah itu termaktub di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, Akta Makanan 1983 (Akta 281).

Selain itu mulai 1 Januari 2020 juga, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguatkuasakan arahan larangan merokok di premis-premis makanan dalam negara kita.

Kerajaan juga ada menyatakan hasratnya untuk memperluas skop kawasan larangan merokok dari masa ke masa.

"Kerajaan harus terus mengambil langkah berani, tegas dan konsisten dalam melindungi hak rakyat Malaysia untuk hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selamat daripada rokok serta pencemaran asap yang dihasilkan oleh rokok," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain