suria

Malu dituduh tidak subur atau lemah tenaga batin? Pakar ini kongsi rawatan atasi masalah mandul

Penyakit kronik dan gaya hidup tidak sihat menjadi punca kepada masalah kesuburan ini.

PERJALANAN dalam mengharungi masalah ketidaksuburan memerlukan pasangan itu sama ada lelaki atau wanita untuk menempuhi segala rintangan berdua.

Ini termasuk dari awal semasa peringkat saringan untuk mengetahui masalah yang berkaitan dengan punca ketidaksuburan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sakit belakang ketika bernafas, jangan abaikan ia mungkin petanda 5 penyakit ini

Menurut Dr Lindy Bak Li Mei, Perunding Sakit Puan, isu punca ketidaksuburan boleh dikatakan disebabkan oleh wanita, lelaki, kedua-dua pasangan atau tiada punca yang jelas.



Mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang obstetrik dan pakar sakit puan termasuk di Hospital Miri, Sarawak.

Oleh itu, adalah amat penting untuk suami menjalani pemeriksaan bagi menentukan kuantiti dan kualiti sperma.

Kajian terkini menunjukkan kualiti sperma pasangan lelaki semakin menurun di seluruh dunia.

Malahan, dalam kalangan negara Asia seperti China, India dan Jepun turut merekodkan penurunan kualiti sperma.

Malaysia turut tidak terkecuali di mana daripada tahun 2010 hingga 2019 didapati sebanyak 60 peratus ujian air mani menunjukkan sperma tidak normal.

"Walaupun keputusan ujian air mani tidak normal, ia tidak sama sekali merujuk kepada prestasi lelaki semasa persetubuhan, fizikal badan ataupun keperibadian suami tersebut," ujar Dr. Lindy.

Namun begitu, stigma yang berkait dengan ketidaksuburan dan masalah sperma boleh menyebabkan lelaki berdepan isu kemurungan atau ada yang merasa tercabar hingga mengguggat perhubungan suami isteri.

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kesuburan lelaki dan perubahan gaya hidup yang baik serta pemantauan daripada pakar perubatan dapat membantu dalam merealisasikan impian membina sebuah keluarga.

Punca ketidaksuburan lelaki

eat junk

1. Gaya hidup

Gaya hidup termasuk pemakanan yang tidak seimbang dan sihat seperti daging proses, minuman berkarbonat serta makanan ringan akan menurunkan kualiti dan jumlah sperma yang dihasilkan.

Selain itu stres, pengambilan alkohol, dadah atau kafein juga mempengaruhi kesuburan lelaki.

obesiti

2. Obesiti

Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan mengalami paras testosteron 24 peratus lebih rendah berbanding lelaki biasa, manakala lelaki obes mempunyai tahap 26 peratus lebih rendah testosteron.

Kemungkinan ketidaksuburan lelaki meningkat sebanyak 10 peratus untuk setiap sembilan kilogram peningkatan berat badan berlebihan seorang lelaki.

Oleh itu, penting untuk menurunkan berat badan bersesuaian dengan indeks jisim tubuh (BMI) sekitar 18.5 hingga 22.9.

3. Seluar ketat

Kajian menunjukkan lelaki yang sering memakai seluar longgar mempunyai jumlah sperma dan kepekatan tinggi berbanding memakai seluar ketat.

Kajian terdahulu memberi petunjuk bahawa peningkatan haba sekitar skrotum memberi impak negatif kepada testis untuk berfungsi dengan baik.

Oleh itu, elakkan daripada memakai seluar ketat semata-mata untuk kelihatan trendi.

4. Persekitaran dan pekerjaan

Pekerjaan yang terdedah kepada suhu atau persekitaran yang panas turut mempengaruhi pengeluaran kuantiti dan kualiti sperma.

Sebagai contoh, pelumba basikal berkemungkinan terdedah kepada peningkatan haba yang sudah boleh memberi kesan kepada asid deoksiribonukleik (DNA) dan membran sperma.

Pekerjaan yang memerlukan duduk lama di suatu tempat juga akan beri kesan apabila haba di tempat duduk menjejaskan pembentukan sperma.

Aktiviti seperti sauna, jakuzi dan juga mandi dengan air panas boleh meningkatkan lagi kesan oksidatif terhadap sperma.

5. Radiasi

Pendedahan elektromagnet radiasi daripada telefon bimbit yang diletakkan di dalam kocek seluar memberi kesan kepada kesuburan lelaki kerana kajian mendapati sperma yang dihasilkan mempunyai kualiti rendah.

6. Jangkitan kuman atau beguk

Jangkitan kuman di testis boleh menyebabkan ketidaksuburan bagi lelaki, terutamanya penyakit beguk.

Beguk yang disebabkan virus Paramyxovirus, biasanya melibatkan kalenjar parotid tetapi boleh merebak ke bahagian testis.

Ini akan mengganggu kualiti sperma dan mempunyai risiko kecil untuk kesan jangka masa panjang.

7. Ketidaksempurnaan sistem reproduktif lelaki

a. Ketiadaan vas deferens (tiub panjang yang menyalurkan sperma) di mana sperma tidak boleh keluar melalui pancutan air mani lalu menyebabkan air mani tidak mengandungi sperma apabila dianalisis.

b. Air mani tidak dapat dikeluarkan disebabkan oleh vas deferens tersumbat dan mengalir balik ke dalam pundi kencing.

c. Paras hormon testosteron rendah akan menyebabkan lelaki ejakulasi pramatang dan lemah libido.

d. Salur darah pada testis timbul boleh mengakibatkan aliran darah tidak lancar dan boleh merosakkan epidimis dan mengurangkan jumlah sperma.

8. Usia

Usia turut mempengaruhi kualiti dan kuantiti sperma seseorang individu.

Sebagai contoh, lelaki berumur lebih daripada 45 tahun mengambil masa lima kali lebih lama untuk menghamilkan wanita berbanding lelaki berusia bawah 25 tahun.

Kadar keguguran juga adalah lebih tinggi sekiranya pasangan wanita berjaya hamil dengan lelaki yang sudah berusia.

Pemantauan rapi daripada doktor diperlukan agar risiko keguguran dapat dikurangkan.

Penambahan usia juga mungkin mengundang penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan jantung di mana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kesihatan.

Rawatan

Bagi pasangan lelaki, kualiti dan kuantiti sperma amat penting agar persenyawaan dengan telur isteri boleh berlaku untuk membentuk menjadi embrio atau janin.

Apakah yang dimaksudkan dengan kualiti dan kuantiti sperma yang baik?

Mengikut piawaian daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) 2010, analisa normal untuk sperma merangkumi aspek:

a. Isipadu air mani antara 1.5 hingga 5 ml

b. Kuantiti sperma antara 39 hingga 928 juta

c. Pergerakan sperma (motility) 32 hingga 81peratus

d. Bilangan sperma berbentuk normal (morphology) 4 hingga 48 peratus

Semua faktor di atas akan diambil kira ketika melakukan analisis ke atas air mani dan jika ada diantara isu tersebut berada kurang daripada garis panduan tersebut, pemeriksaan lanjutan daripada pakar diperlukan agar dapat ditangani sebaik mungkin.

Bergantung kepada hasil pemeriksaan lanjut, antara rawatan yang mungkin disarankan oleh doktor adalah seperti pembedahan, antibiotik, ubat-ubatan mengatasi masalah ejakulasi pramatang atau ereksi, rawatan hormon dan makanan tambahan seperti vitamin.

Doktor juga mungkin akan menyarankan kedua-dua pasangan untuk mencuba kaedah rawatan kesuburan iaitu:

a. Intrauterine Insemination (IUI) atau permanian berhadas

b. In Vitro Fertilization (IVF) atau bayi tabung uji

c. IVF dengan bantuan Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI)

Bagi mereka dengan bacaan BMI melebihi 30, lebih banyak ubat-ubatan diperlukan untuk membantu pesakit dalam menangani isu kesuburan dan kadar kejayaan kehamilan juga sukar untuk dijangkakan.

Sedikit penurunan bacaan BMI memberikan impak yang besar kepada tubuh dan kecenderungan untuk hamil sama ada secara semula jadi atau menerusi rawatan kesuburan adalah lebih baik.

Jikalau keputusan ujian mani anda tidak berada di paras yang memuaskan, berbincang dengan doktor dengan segera untuk mendapatkan nasihat untuk rawatan dan cadangan perubahan cara hidup supaya dapat meningkatkan lagi peluang untuk mendapat zuriat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain