suria

Sahih! Pandemik tak gugat pulangan pelaburan patuh syariah... pakar ini kongsi tip melabur untuk masa depan

Syed Mashafuddin (gambar kecil) berkongsi pandangan mengenai potensi pelaburan patuh syariah.

RAMAI yang teruja untuk melakukan pelaburan demi mendapat pulangan menguntungkan.

Namun, bukan semua yang memahami skim pelaburan patuh syariah, atau pelaburan Islam berasaskan prinsip kewangan Islam.

Pelaburan Islam mula dilihat bukan sahaja sebagai pelaburan berpandukan agama, tetapi juga sebagai bentuk pelaburan beretika serta menggalakkan aktiviti ekonomi yang diingini oleh masyarakat.

Kesan pendekatan pelaburan ini menjana pulangan pelaburan yang kompetitif dan mendorong amalan perniagaan beretika.

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd, Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata, pelaburan Islam dijalankan berlandaskan hukum-hukum Islam, dan bukannya tadbir urus tidak beretika seperti riba, spekulasi dan perjudian.

"Dana-dana pelaburan patuh syariah tidak boleh dilaburkan dalam industri seperti tembakau, arak, perjudian dan produk berasaskan khinzir serta senjata api," katanya dalam satu wawancara, baru-baru ini.

Apa kelebihan pelaburan patuh syariah?

Syed Mashafuddin berkata, pulangan pelaburan patuh syariah adalah lebih konsisten.

"Malah sebelum pandemik Covid-19 pun pelaburan patuh syariah konsiten. Jika dibandingkan dengan pulangan pelaburan konvensional yang tidak menentu seperti keadaan sekarang... naik turunnya memang banyak.

"Bila pulangan lebih konsisten, ia akan meyakinkan pelabur," ujar beliau.

Tanggapan salah

Kebiasaannya tanggapan segelintir masyarakat mengatakan pulangan pelaburan patuh syariah tidak setaraf dengan pulangan konvensional.



Pulangan pelaburan patuh syariah adalah konsisten. -gambar hiasan foto Sinar Harian

Syed Mashafuddin menegaskan bahawa tanggapan tersebut adalah tidak tepat dan seharusnya diperjelaskan oleh pakar-pakar pelaburan seperti Principal Islamic Asset Management.

"Ramai yang risau pulangan pelaburan patuh syariah kurang daripada pulangan pelaburan konvensional. Bagaimanapun, pelabur-pelabur tidak perlu bimbang kerana pulangan pelaburan patuh syariah memang setaraf dan tidak kurang daripada pelaburan konvensional," katanya.

Kekal relevan ketika pandemik

Menurut Syed Mashafuddin, jika melihat pada tahun lepas, industri-industri penjagaan kesihatan merupakan sektor yang menyaksikan banyak pelaburan patuh syariah.

Malah kata beliau, sektor-sektor penjagaan kesihatan semasa pandemik Covid-19 jauh lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Prestasi pelaburan adalah tinggi, pulangannya amat baik. Pelabur-pelabur kami mendapat pulangan yang tinggi.

"Jangkaan kami pada masa akan datang adalah menyaksikan prestasi pelaburan patuh syariah kekal baik dengan pulangan yang tinggi, dan menyaksikan sektor-sektor seperti teknologi, komoditi akan terus meningkat pada tahun ini," katanya.

Bilakah masa sesuai untuk melabur?

Syed Mashafuddin berkata, para pelabur perlu membuat pelaburan bijak berasaskan matlamat dan disiplin.



Perunding kewangan memberi nasihat mengenai pelaburan bijak. -gambar hiasan/ ihsan Principal Islamic Asset Management

"Waktu terbaik untuk melabur adalah ketika harga dana sedang menurun atau rendah. Ini kerana adalah lumrah bagi harga dana akan naik semula dalam jangka panjang.

"Tapi kami menasihatkan jangan tertumpu kepada harga sedang menurun, kerana harga dana yang dilaburkan itu tetap naik semula.

"Apa yang lebih penting adalah seseorang itu menetapkan matlamat pelaburannya dan fokus kepada matlamat tersebut," katanya.

Matlamat pelaburan

Mengulas lanjut, Syed Mashafuddin berkata, antara tujuan pelaburan seseorang adalah untuk kegunaan ketika persaraan, membiayai pendidikan anak-anak, kos menunaikan umrah atau menggunakannya untuk wang pendahuluan bagi membeli rumah.

"Apabila maklumat pelaburan telah ditetapkan, tentukan pula tempoh untuk mencapai matlamat tersebut. Contohnya sama ada lima tahun dan 10 tahun.

"Oleh itu, pelabur perlu berdisiplin dengan melakukan pelaburan yang tetap secara bulanan. Contohnya kalau nak guna duit tu dalam masa 10 tahun, nasihat kami janganlah tarik balik pelaburan dalam masa lima tahun.

"Kemungkinan ia tidak cukup mencapai objektif pelabur tersebut jika duit tersebut ditarik balik sebelum jangka masa yang telah ditetapkan atau di peringkat awal," katanya.

Pelaburan berpotensi

Syed Mashafuddin turut mengingatkan orang ramai supaya memahami perbezaan dan kepentingan mempunyai simpanan dan pelaburan.



Pelabur perlu menetapkan matlamat pelaburannya. -gambar hiasan foto munizzilaw

"Simpanan untuk perbelanjaan ketika kecemasan, manakala pelaburan untuk mencapai matlamat yang khusus seperti persaraan, atau membiayai pendidikan anak-anak atau menunaikan umrah atau wang pendahuluan untuk membeli rumah.

"Orang ramai disarankan membuat pecahan gaji mereka di mana 60 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan setiap bulan, 20 peratus untuk simpanan dan 20 peratus untuk pelaburan.

"Satu lagi perkara penting adalah memastikan risiko pelaburan dapat dikurangkan. Perlu ingat bahawa pelaburan syariah ini berlandaskan hukum Islam, jadi tidak perlu was-was.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ia berpotensi untuk memberi pulangan atau dividen yang stabil dan konsisten dalam apa jua keadaan pasaran sama ada naik atau turun, dan ia sesuai untuk sesiapa sahaja yang mementingkan unsur-unsur pelaburan yang beretika," katanya.

Principal Islamic Asset Management menawarkan pengurusan aset Islam yang holistik serta 100 peratus patuh Syariah, termasuk pemeriksaan untuk memastikan bahawa semua aspek operasi pengurusan pelaburan adalah patuh syariah.

Sebagai pelabur, anda boleh mendapatkan beberapa pilihan pelaburan untuk memenuhi profil risiko dan matlamat pelaburan anda.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain