suria

Kawal tekanan dan kesedihan... atau berdepan risiko alami sindrom patah hati!

Takotsubo cardiomyopathy, juga dikenali sebagai Broken Heart Syndrom mempunyai gejala yang sama seperti penyakit serangan jantung. Credit - TNS

SIAPA cakap putus cinta tidak boleh bawa kematian? Itu persoalan yang dilontarkan Dr Muhamad Hazwan Nazri dalam videonya yang tular baru-baru ini di media sosial.

Menurut Dr Hazwan mereka yang mengalami tekanan melampau, secara berpanjangan mempunyai risiko untuk menghidap penyakit Takotsubo cardiomyopathy, juga dikenali sebagai Broken Heart Syndrome.

ARTIKLE BERKAITAN : Si dia merayu kembali ke sisinya? Nanti dulu, fikir 5 perkara ini dahulu

ARTIKLE BERKAITAN : Dah tak solo! Kaki travel bertemu jodoh dengan tour guide, ‘cair’ keberanian jejaka Kashmir - “India bukan dalam senarai percutian saya”

Berasal dari Jepun, menurut Dr Hazwan penyakit ini mendapat nama daripada sejenis perangkap sotong yang digunakan di negara matahari terbit tersebut.

"Penyakit ini berasal dari Jepun pada tahun 1991, Takotsubo ni nama perangkap sotong, sebab kalau kita tengok jantung kita dengan Elektrokardiogram (ECG), bentuk pada jantung kita sama seperti alat perangkap sotong.

"Orang yang mendapat Takotsubo cardiomyopathy ini kebiasaannya mengalami stress melampau sama ada secara fizikal atau emosi yang berpanjangan sampai kadang-kadang tiga bulan.



Jantung pesakit yang mengalami Broken Heart Syndrom akan membengkak. Credit : St Vincent's Hospital Heart Health

"Tapi ia bukanlah bermaksud hari ni kita patah hati, putus cinta, terus kita kena, selalunya kita akan kurang makan, alami tekanan perasaan, jantung berdegup laju, darah tinggi, lepas tu berpeluh, rasa berdebar-debar dan bila dalam tempoh masa yang panjang dia akan mula beri kesan pada jantung," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut Dr Hazwan jantung pesakit Broken Heart Syndrome ini akan membengkak disebabkan stress yang dialami.

"Jantung sebelah kiri akan jadi bengkak disebabkan stress bukan bacaan kolestrol seperti yang kebiasaannya berlaku pada pesakit jantung.

"Lagi satu apa yang membezakan pesakit Broken Heart Syndrom dengan pesakit jantung atau acute coronary syndrome adalah bila kita lihat melalui ECG tiada sebarang penyempitan saluran darah pada jantung," katanya.

Dr Hazwan berkata penyakit ini juga boleh berlaku seiring dengan penyakit tekanan perasaan.



Menurut Dr Hazwan, Broken Heart Syndrome ini berlaku kepada pesakit yang mengalami tekanan melampau secara berpanjangan.

"Ada garis panduan untuk kita diagnosed depression, selalunya gejala orang yang alami tekanan perasaan ini dia hilang mood, nak buat apa yang dia suka, tak lalu makan, susah tidur atau tidur tak nak bangun, rasa nak bunuh diri, hilang harapan, ini semua tekanan perasaan.

"Tekanan perasaan tidak melibatkan kesan pada jantung, bila ia melibatkan jantung, pesakit tiba-tiba alami macam serangan jantung ada kemungkinan dia sedang mengalami Broken Heart Syndrome," terangnya.

Menurutnya, gejala penyakit ini juga sama seperti penyakit serangan jantung iaitu sakit dada, rasa ketat pada dada apabila bernafas, sakit sebelah kiri, degupan jantung sangat laju, tekanan darah menurun dan berpeluh.

Penyakit ini ujarnya lebih kerap menyerang golongan wanita yang berada dalam fasa putus haid iaitu mereka yang berusia 54 tahun ke atas.

"Namun, ia juga boleh menyerang mereka yang muda tapi sangat jarang berlaku," tambahnya.

Tekanan perasaan tidak melibatkan kesan pada jantung, bila dia melibatkan jantung, pesakit tiba-tiba alami macam serangan jantung ada kemungkinan dia sedang mengalami Broken Heart Syndrome.

- DR MUHAMAD HAZWAN NAZRI

DR FITNESS

Walaupun sangat jarang berlaku, penyakit Broken Heart Syndrome ini jika tidak dirawat boleh membawa kepada kematian.

"Tapi apa yang saya lihat kematian disebabkan penyakit ini sangat jarang berlaku sebab doktor boleh merawat pesakit dengan baik.

"Rawatan yang diberikan kepada pesakit juga sama seperti kepada pesakit sakit jantung, mereka diberi ubat cair darah, ubat darah tinggi, dan selalunya pesakit hanya perlu mengambil ubat-ubatan ini selama empat ke lapan minggu," katanya.

Walaupun riskio kematian yang rendah, beliau bagaimanapun menasihati orang ramai supaya mendapatkan rawatan kerana penyakit ini dapat menjejaskan kualiti hidup mereka.

"Semestinya kita tak nak hidup dengan rasa sakit di jantung, jadi jumpalah dengan doktor, dapatkan rawatan, jangan risau, ubat-ubatan yang diberikan hanyalah untuk sementara.

"Mereka juga perlu ubah cara hidup, elakkan diri dari perkara-perkara yang menjadi punca kepada tekanan, contohnya jika tertekan sebab putus cinta, mereka perlu berusaha untuk melupakannya, buatlah sesuatu seperti pergi bercuti atau apa-apa aktiviti yang mendamaikan,” katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain