suria

Betul ke ventilator ‘matikan’ pesakit Covid-19? Ini penjelasan sebenar penggunaannya

Tujuan utama penggunaan ventilator adalah untuk mengambil fungsi pernafasan manusia apabila terdapat indikasi yang pelbagai.

PELBAGAI informasi tidak tepat sering ditularkan mengenai wabak Covid-19 di laman sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

Terbaharu ada pula pihak mendakwa penggunaan mesin ventilator atau pun mesin bantuan pernafasan yang diberikan kepada pesakit Covid-19 tahap kritikal dikatakan sebagai punca kematian pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak wajib tapi pelitup muka berganda ada kebaikan terutama ketika lambakan kes Covid-19! Ketahui cara pemakaiannya

Menjelaskan mengenai kaedah rawatan itu, Dr Muhamad Na'im Ab Razak berkata, mesin bantuan pernafasan itu mempunyai pelbagai jenis dan tujuan utama penggunaannya adalah untuk mengambil fungsi pernafasan manusia apabila terdapat indikasi yang pelbagai.

"Setiap pesakit diberi bantuan ventilator disebabkan pelbagai indikasi. Ia dicipta untuk menghantar oksigen ke dalam saluran pernafasan manusia dan seterusnya mengeluarkan gas karbon dioksida dari saluran pernafasan dan paru-paru. Ia menyamai fungsi organ pernafasan kita," katanya menerusi catatan di Facebook.

Jelas Dr Muhammad Na'im, majoriti pesakit yang diberi rawatan ventilator adalah pesakit kritikal yang mengalami kegagalan fungsi pernafasan.



Dr Muhammad Na'im Ab Razak menjelaskan ventilator menyamai fungsi organ pernafasan manusia.

Bagaimanapun, alatan itu turut diberikan kepada pesakit yang menjalani pembedahan menggunakan ubat bius seluruh badan (general anesthesia) di mana proses ini berlaku sehingga pembedahan tamat.

"Adakalanya ia juga diberikan kepada pesakit yang berpotensi mengalami kegagalan fungsi pernafasan akibat kecederaan tubuh seperti kecederaan otak yang serius," jelasnya.

Mengulas mengenai penggunaan ventilator terhadap pesakit Covid-19, Dr Muhammad Naim menjelaskan ia adalah langkah terakhir untuk menyelamatkan nyawa pesakit.

Umumnya, golongan ini terdiri daripada pesakit yang mengalami sindrom akut kegagalan pernafasan, kegagalan otot-otot pernafasan atau gejala sepsis (jangkitan) yang teruk.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kebiasaannya, pesakit ini sudah dirawat menggunakan terapi oksigen biasa atau terapi oksigen berkelajuan tinggi tetapi ia tidak berkesan.

"Sebelum proses itu dilakukan, pesakit akan diberi ubat bius sebelum tiub endotracheal dimasukkan ke dalam saluran pernafasan dan disambung kepada ventilator," ujarnya.



Pesakit akan diberi bius sebelum proses intubasi dilakukan.

Kenapa ubat bius dan ubat tidur diberi kepada pesakit?

1. Prosedur memasukkan tiub pernafasan adalah sangat tidak selesa buat pesakit dan boleh mendatangkan ketakutan hingga mereka akan melawan mesin ventilator atau cuba mencabutnya. Ini meningkatkan risiko kecederaan.

2. Untuk merehatkan pesakit dan supaya mesin mengambil alih fungsi pernafasan badan. Ini adalah untuk membetulkan masalah kegagalan paru-paru.

3. Ventilator ini pula akan disambung kepada pelbagai jenis komponen termasuklah bekalan oksigen, penapis virus dan sebagainya.

Pada mesin ini pula terdapat kekunci dan tombol yang boleh digunakan untuk menetapkan fungsi ventilator sesuai dengan kesan terapi yang diingini.

Sementara itu, Dr Muhammad Naim berkata, beliau sebagai seorang doktor sendiri tidak suka penggunaan ventilator terhadap pesakit Covid-19 apatah lagi terpaksa berdepan dengan pesakit yang memerlukan intubasi dan tetapan ventilator tahap tinggi.

Ini kerana jelasnya, paru-paru pesakit telah sedia cedera dan tidak dapat mengembang serta memerlukan tetapan ventilator tinggi yang berisiko menyebabkan paru-paru mereka pecah.

"Saya akan duduk di samping pesakit sepanjang masa dan mengubah tetapan ventilator secara berhati-hati. Seboleh-bolehnya kita mahu guna tetapan paling minimum bagi mengelakkan risiko lebih kecederaan pada paru-paru pesakit yang sudah rapuh keadaannya," ujarnya.

Selain itu kata Dr Muhammad Na'im, keadaan pesakit yang tidak stabil akan memudahkan mereka mengalami hipotensi (tekanan darah rendah) apabila tetapan ventilator digunakan itu tinggi.

Pelbagai intervensi jelasnya terpaksa dilakukan termasuk memulakan ubat-ubatan bagi menguatkan jantung pesakit.

"Syukur, ramai sangat pesakit Covid-19 tahap keempat dan kelima saya yang berjaya diselamatkan selepas menerima rawatan intubasi dan ventilator.

"Yang meninggal pun ada tetapi bukan semata-mata kerana ventilator. Sebaliknya kecederaan paru-paru atau tubuh mereka sudah terlampau teruk hingga mesin ventilator pun tidak mampu membantu untuk memulihkan paru-paru mereka," jelasnya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain