suria

Mampu turunkan 60 peratus berat badan, ketahui 10 fakta mengenai pembedahan bariatrik

Pembedahan bariatrik bukan sahaja boleh menguruskan badan tetapi mengawal pelbagai penyakit kronik.

BERDASARKAN laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2015, kira-kira 5.6 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas di negara ini mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Lebih membimbangkan, dianggarkan 3.3 juta individu juga disahkan mengalami masalah obesiti dan hal ini berkait rapat dengan faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembedahan bariatrik bukan sahaja atasi obesiti, mampu kawal diabetis dan darah tinggi

Maka tidak hairanlah masalah obesiti dalam kalangan masyarakat Malaysia semakin meruncing. Obesiti turut menjadi penyumbang utama kepada masalah perubatan lain seperti diabetes, hipertensi, hyperkolesterol, gangguan tidur dikenali sebagai obstructive sleep apnea (OSA) dan lain-lain.

Namun, semenjak kebelakangan ini, pembedahan dikenali sebagai bariatrik semakin menjadi pilihan dalam kalangan pesakit obesiti yang dilihat sebagai salah satu kaedah penurunan berat badan terbaik, malah berkesan.

Tapi apa sebenarnya yang dikatakan dengan bariatrik? Ia adalah pembedahan yang dilakukan untuk membantu mengawal masalah berat badan berlebihan atau obesiti.



Pembedahan ini dilakukan secara kaedah tebukan atau laparoskopik.

Ia bukan sahaja dapat mengurangkan berat badan tetapi bertujuan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan dalam jangka masa panjang.

Terdapat tiga jenis pembedahan bariatrik yang boleh dilakukan bagi golongan berisiko iaitu Sleeve Gastrectomy, Gastric Bypass dan Adjustable gastric band atau Band Gastrik boleh laras.

Ia secara asasnya dapat mengurangkan saiz perut yang akan menghadkan penyerapan dan pencernaan makanan disebabkan pengambilan makanan dalam kuantiti terhad selepas pembedahan.

Berikut adalah 10 fakta mengenai pembedahan bariatrik yang mungkin tidak anda ketahui;

1. Pembedahan bariatrik biasanya dilakukan ke atas pesakit yang gagal mengurangkan berat badan secara senaman atau diet.

2. Bariatrik bukan tergolong dalam pembedahan kosmetik sebaliknya ia dilakukan bagi mereka yang berisiko berdepan penyakit kronik dan memastikan pesakit mempunyai kehidupan lebih baik.

3. Bukan semua pesakit obesiti sesuai melakukan pembedahan ini dan calon mestilah mempunyai BMI lebih 40 atau BMI lebih 35 dengan masalah kesihatan (kencing manis, darah tinggi)

4. Kebiasaannya sebelum pembedahan pesakit perlu menjalani ujian kesihatan termasuk memeriksa setiap organ dalam badan seperti paru-paru, jantung menerusi kaedah ultra bunyi.



Pelakon dan pelawak Rahim pernah menjalani pembedahan bariatrik ekoran berat badan berlebihan dan masalah sleep apnea.

5. Pembedahan ini dilakukan secara kaedah tebukan atau laparoskopik. Sebanyak 3 hingga 5 lubang kecil bersaiz tidak lebih 2cm akan dibuat di bahagian abdomen.

6. Selepas pembedahan, saiz perut yang lebih kecil akan memberi tindak balas hormon pada badan untuk mengurangkan rasa lapar.

7. Bagi pesakit diabetes pembedahan ini dapat membantu mereka mengawal kandungan glukosa dalam badan selain tekanan darah tinggi dan kolesterol terkawal.

8. Pembedahan ini turut dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur seperti sleep apnea, menghilangkan sakit sendi akibat berat badan berlebihan.

9. Bariatrik juga mampu mengurangkan berat badan sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun.

10. Risiko pembedahan bariatrik tidak tinggi dan selamat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain