suria

Hati-hati... belajar secara online boleh tingkatkan ketegangan mata anak-anak!

Sejak pandemik berlaku, pelajar terpaksa bergantung kepada gajet memandangkan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

KETIKA seluruh dunia sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, ramai daripada kita semakin bergantung kepada teknologi digital untuk pelbagai perkara termasuk bekerja, belajar dan mendapatkan hiburan.

Ibaratnya, tanpa alat elektronik, kita secara harfiahnya lumpuh.

Penutupan sekolah di seluruh dunia juga telah menyebabkan pelajar tidak dapat hadir ke sekolah sebaliknya, sistem pembelajaran sudah beralih secara dalam talian agar mereka tidak ketinggalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tahi lalat pada kanak-kanak memang biasa tapi awas jika ada 5 tanda ini!

Menghadap skrin komputer atau telefon dalam tempoh panjang boleh membawa kepada peningkatan ketegangan mata dan mata kering dalam kalangan kanak-kanak.

Menurut Perunding Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Shamala Ganesan, ketegangan mata adalah keadaan yang biasa berlaku apabila mata menjadi letih akibat penggunaan gajet yang keterlaluan.



Perunding Oftalmologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Shamala Ganesan.

Malah kata Dr Shamala, sebelum pandemik, tanda-tanda ini telah pun dikesan dalam kalangan kanak-kanak seawal usia enam tahun.

"Kanak-kanak ini mengalami rasa sakit, penglihatan kabur, mata merah dan berasa rengsa. Jika ini berlarutan, kita mungkin akan melihat seluruh generasi ini menghidapi masalah penuaan retina seawal usia 40 tahun.

"Pada masa ini, masalah penuaan retina adalah biasa dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Penuaan ini adalah kemerosotan saraf retina dan menyebabkan kesukaran membaca, memandu dan melakukan tugas lain," jelasnya.

Pada tahun 2015, Journal of Clinical Ophthalmology telah menerbitkan satu kajian yang memberi tumpuan kepada sampel 964 orang kanak-kanak berumur antara enam hingga 16 tahun dan sebanyak 24.7 peratus daripada kanak-kanak ini didapati mengalami ketegangan mata.

Satu lagi kajian yang telah diterbitkan pada 12 Mac 2019 oleh jurnal BMC Opthalmology melaporkan bahawa 18 peratus daripada 576 pelajar dalam lingkungan umur 11-17 tahun mengalami ketegangan mata pada pengakhiran hari mereka selepas menggunakan peranti digital.

Jika ini berlarutan, kita mungkin akan melihat seluruh generasi ini menghidapi masalah penuaan retina seawal usia 40 tahun.

DR SHAMALA GANESAN

PERUNDING OFTALMOLOGI PUSAT PERUBATAN PRINCE COURT

Sementara itu, Dr Shamala memberitahu terdapat pelbagai faktor mempengaruhi berapa lama seseorang mampu meluangkan masa menggunakan alat elektronik sebelum mata mereka mula menegang.

Ini termasuklah masalah kesihatan yang tersembunyi, diabetes mellitus, mata kering sedia ada, penggunaan kanta lekap, kadar hidrasi peribadi, keletihan dan faktor-faktor persekitaran seperti penyaman udara.

"Kebiasaannya, kita perlu memandang luar skrin setiap 20 minit dan memandang sesuatu yang berjarak 20 kaki untuk kira-kira 20 saat. Kami memanggilnya peraturan 20-20-20," katanya.

Jika ketegangan mata tidak dirawat, kanak-kanak boleh mengalami sakit kepala, keletihan, gangguan tidur, kecelaruan konsentrasi dan memori, kepeningan, sakit leher dan belakang dan Kecelaruan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).

"Sejak bermulanya pandemik, ibu bapa telah mula berjumpa dengan saya apabila anak-anak mereka mengadu tentang penglihatan kabur. Ini membuatkan mereka mula memikirkan bahawa anak mereka memerlukan cermin mata walhal ini hanya kes mata kering akibat ketegangan mata dan boleh dirawat dengan ubat titis mata," jelasnya.



Menghadap alat elektronik terlalu lama boleh menyebabkan mata kanak-kanak mengalami ketegangan.

Oleh sebab takut untuk menerima rawatan di hospital ketika pandemik ini, banyak keluarga kata Dr Shamala lebih rela untuk pergi ke pakar optik, di mana gejala-gejalanya silap didiagnosis, dan sesetengah kanak-kanak akhirnya diberikan cermin mata walaupun mereka tidak memerlukannya.

Dalam kes di mana cermin mata tidak diperlukan, anak kecil tersebut boleh mengalami sakit kepala dan penglihatan yang semakin teruk dalam jangka masa panjang.

Untuk membantu mengatasi masalah ini, dan di mana e-pembelajaran harus diteruskan dalam keadaan masa kini, Dr Shamala berkata ibu bapa sebaliknya perlu mengurangkan masa penggunaan alat elektronik anak mereka ketika waktu lapang.

Beliau menawarkan petua-petua yang berikut untuk membantu mengurangkan kesan negatif pendedahan berpanjangan terhadap alat elektronik:

1. Letakkan komputer riba, tablet dan telefon bimbit di atas meja – penjarakan sejauh satu kaki boleh mengurangkan radiasi medan elektro magnetik (yang merosakkan mata) sebanyak 80 peratus.

2. Pastikan bilik anak anda mempunyai pencahayaan yang baik untuk mengurangkan kesan kecerahan skrin. Dalam bilik yang gelap, pupil akan melebar – menyebabkan lebih lagi radiasi memasuki mata lalu sampai ke retina dan ini boleh memenatkan mata.

3. Kurangkan kecerahan dan kontras dalam tetapan komputer untuk mengurangkan silau dan pastikan saiz fon yang optimum untuk dilihat dari sesuatu jarak supaya tiada penegangan bila dibaca.

4. Gunakan penapis skrin komputer. Ini lebih efektif daripada menggunakan cermin mata perlindungan cahaya biru kerana tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan cermin mata sedemikian bermanfaat untuk retina.



Ibu bapa sebaliknya perlu mengurangkan masa penggunaan alat elektronik anak mereka ketika waktu lapang.

5. Pastikan cermin mata anda diperbaharui supaya ralat pembiasannya berada pada tahap optimum. Dengan cara ini, anak anda tidak perlu meletakkan skrin terlalu dekat dengan wajah mereka untuk membaca.

6. Susun semula meja anak anda. Posisi terbaik untuk monitor adalah 10 – 15 darjah bawah paras mata. Apabila mata memandang ke bawah, pembukaannya kurang lebar. Ini mengurangkan kadar evaporasi air mata dan mengurangkan risiko kekeringan mata.

7. Kerapkan mengelipkan mata untuk pastikan mata sentiasa lembap. Jika mata kering, gunakan ubat titis mata bebas pengawet apabila diperlukan.

8. Ambil masa rehat 15 minit selepas setiap 2 jam berada di depan komputer dan ubahkan tetapan di peranti kepada mod waktu malam untuk membaca pada waktu malam.

9. Pastikan anak anda mendapat tidur selama 8 jam untuk membolehkan penyembuhan permukaan mata pada waktu malam bagi mengelakkan kekeringan mata.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain