suria

Jauhi suplemen, minum air putih antara 5 cara mudah dan murah jaga kesihatan buah pinggang

Jaga kesihatan buah pinggang dan jauhi perkara-perkara yang boleh menyebabkan ia gagal berfungsi.

PESAKIT tekanan darah tinggi, diabetes atau yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap masalah kesihatan itu merupakan golongan berisiko terkena penyakit buah pinggang.

Bagaimanapun itu bukan bererti golongan yang sihat tidak perlu menjaga kesihatan buah pinggang mereka kerana terdapat pelbagai faktor lain yang menjadi penyebab penyakit ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dengar kimoterapi ramai pasti takut, tapi sebenarnya ada rawatan sama cuma perlu telan pil sahaja!

Terdapat pelbagai perkara yang boleh dilakukan untuk menjaga ginjal termasuklah;

1. Minum air putih

Sebenarnya tidak ada bukti mengatakan minum air secara berlebihan merupakan cara efektif dalam meningkatkan fungsi buah pinggang yang kononnya mampu 'mencuci' organ itu.

Minum air putih itu memang bagus tetapi minum secara berlebihan melebihi kemampuan tidak akan membuat fungsi ginjal bertambah baik. Sebaik-baiknya minum air sekadar mencukupi agar tubuh tetap hidrasi.

2. Pemakanan sihat

Sebahagian masalah buah pinggang terjadi disebabkan oleh penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, diabetes atau penyakit jantung.

Oleh itu, golongan berisiko terutamanya sangat disarankan menjaga pemakanan seimbang dah sihat bagi mengawal berat badan dan tekanan darah.

Mencegah diabetes dan tekanan darah tinggi juga akan membantu menjaga buah pinggang anda dalam keadaan baik.

3. Bersenam secara teratur

Ramai daripada kita yang bersenam tetapi berapa banyak pula yang melakukannya secara konsisten? Bagi menjaga kesihatan tubuh, kita dianjurkan bersenam tiga kali seminggu.

Ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan berat badan tetapi meningkatkan stamina serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit.

4. Jauhi suplemen

Suplemen yang dimomokkan dapat membantu memulihkan tekanan darah tinggi, diabetes yang tidak diketahui kandungannya boleh membahayakan buah pinggang terutamanya golongan berisiko.

Sebelum makan sesuatu, lebih baik dapatkan pandangan dan nasihat doktor agar ia tidak mendatangkan mudarat terutamanya bagi golongan yang sudah pun mempunyai penyakit kronik.

5. Berhenti merokok

Merokok bukan sahaja merosakkan paru-paru anda tetapi ia juga boleh memberi kesan kepada pembuluh darah yang sekali gus menyebabkan aliran darah ke buah pinggang terjejas.

Ketika buah pinggang tidak mendapat darah mencukupi, ia tidak dapat berfungsi dengan baik. Jadi berhentilah merokok.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain