suria

Memori raya di kampung terlalu pahit, anak Rohingya lebih seronok sambut Syawal di Malaysia

Mohamad Riyas (tengah) rindu untuk meraikan Syawal di kampung halamannya. - Foto Shaari Chemat

TIADA siapa yang mahu menjadi buangan di negara sendiri, tetapi bagi anak-anak Rohingya ini ternyata mereka tiada pilihan selain reda dengan ketentuan Ilahi.

Ketika mereka masih belum mengerti apa yang sebenarnya berlaku, anak-anak ini terpaksa berhijrah demi kelangsungan hidup.

Lebaran ini, sudah empat tahun Siti Feruza Abdullah, menyambutnya bersama komuniti Rohingya di Malaysia.

Biarpun jauh dari kampung halamannya di Myanmar, anak berusia 11 tahun ini lebih seronok meraikan Aidilfitri di negara ini.

“Raya di sini lebih seronok kerana ada kawan-kawan dan makanannya sedap-sedap.

“Saya sudah tidak ingat memori beraya di sana, ia terlalu pahit untuk dikenang,” katanya kepada mStar.


Siti Feruza (kiri) sudah empat tahun meraikan Aidilfitri di Malaysia.

Anak bongsu daripada dua beradik ini memberitahu keluarganya tidak dapat merayakan Syawal dengan aman di Rakhine kerana berlaku pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Myanmar.

Begitu juga nasib dilalui Umar Faruk Abul Basheer, yang terpaksa melarikan diri ke Malaysia kerana pasukan tentera negara asalnya telah mengebom rumah keluarganya, sekaligus tragedi itu menyekat peluang pekerjaan dalam kalangan penduduknya.

“Saya bersyukur kerana dapat menyambut hari raya di sini kerana orang Islam di Malaysia baik-baik.

“Ada orang Melayu yang datang menyambutnya dengan kami, mereka membuatkan kami tidak berasa tersisih,” ujarnya yang sudah tujuh tahun menetap di negara ini.

Kata remaja berusia 14 tahun ini, dia boleh pergi ke mana-mana tanpa rasa takut dan enggan pulang ke kampung halamannya.

Umar Faruk (dua dari kiri) lebih seronok meraikan Aidilfitri di Malaysia.

Jelasnya, kaum Rohingya di Myanmar tidak boleh mengamalkan ajaran Islam dan terpaksa berkurung di rumah sepanjang hari.

Remaja itu yang bercita-cita menjadi seorang doktor berhasrat untuk membantu insan senasib dengannya dan berhasrat membina kehidupan yang berguna kepada masyarakat.

“Saya bercita-cita nak jadi doktor sebab saya suka bantu orang.

“Kadang-kadang bila nampak orang minta sedekah, saya akan cuba hulurkan berapa yang ada sebab saya tahu perasaannya menjadi orang susah,” katanya.

Sementara itu, lain pula ceritanya dengan Mohamad Riyas Anayatullah, 16, yang tidak pernah putus harapan untuk kembali ke tanah airnya.

Mohamad Riyas tidak dapat melupakan tanah airnya. - Foto Shaari Chemat

“Saya sangat rindu nak sambut raya di kampung kerana suasana di sana sedikit berbeza.

“Walau di mana pun saya berada, saya tetap tidak boleh lupakan tempat saya dilahirkan,” katanya ketika ditemui di Madrasah Darul Muttaqin Maa' Tahfizul Quran Rohingya, Klang baru-baru ini.

Tambah Mohamad Riyas, dia juga amat merindui juadah hari raya di Myanmar iaitu Butijo yang diperbuat daripada kacang dan labu air.

Namun, pengalaman menyambut Syawal di Malaysia juga memberikan 1001 makna kepada pelajar tahfiz ini.

“Jika di sini, saya akan bangun pagi-pagi untuk mandi sunat hari raya dan kemudian menunaikan solat bersama datuk dan nenek yang menetap di Kelantan.

“Hidup di Malaysia ni aman damai dan saya boleh belajar tanpa rasa takut,” katanya yang mahu menjadi seorang tahfiz dan sudah menghafal 30 juzuk al-Quran.

Seorang pengawal sempadan menyaksikan sekumpulan etnik Rohingya di sebuah kampung di wilayah Rakhine. - Sky News

Bingkisan kisah anak-anak pelarian Rohingya ini hanyalah secebis daripada penderitaan yang dialami oleh ribuan umat Islam di wilayah Rakhine.

Segelintir daripada mereka menemui sinar kehidupan di bumi asing seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan dan Jepun.

Bagaimanapun, nasib komuniti Rohingya yang masih berada di wilayah tersebut masih dalam keadaan terancam.

Menurut laporan Sky News, lebih 30,000 penduduk telah dipindahkan akibat konflik yang berlaku.

Tentera Myanmar juga dituduh menyekat akses kemanusiaan kepada penduduk yang terlibat.

pelarian Rohingya, Aidilfitri, Syawal

Artikel Lain