suria

Kediaman ustaz dipenuhi jin gara-gara rumah kosong jiran sebelah... ada petua elak gangguan

Jin dan iblis akan terus mengganggu manusia sehingga hari kiamat namun ada amalan untuk mengelak daripada menjadi mangsa makhluk itu. Gambar hiasan.

ASSALAMMUALAIKUM dan selamat menyambut tahun baru Hijrah 1441 kepada semua pembaca.

Pada minggu ini dengan izin Allah, saya nak kongsikan satu kisah bagaimana saya sendiri dan keluarga diganggu oleh jin beberapa minggu lalu.

Mengikut jadualnya, pada 2 September lalu bersamaan 2 Muharram 1441 iaitu hari Isnin malam, saya akan memberikan satu kuliah Maghrib mengenai tafsir surah Al-Mulk dan ayat yang saya akan tafsirkan salah satunya iaitu ayat ke-5 yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya kami menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan bintang-bintang dan kami jadikan bintang-bintang itu punca rejaman terhadap syaitan-syaitan; dan kami sediakan bagi mereka azab neraka yang menjulang-julang.”

Apa yang berlaku sebelum tu, iaitu pada malam Sabtu, anak saya terlibat kemalangan selepas keluar makan dengan kawan-kawan di Subang Perdana.

Kemalangan itu berlaku di jalan yang lurus dekat dengan rumah saya di Puncak Perdana. Saya tanya anak saya mengantuk ke atau kenapa kereta boleh berpusing dan melanggar dua batang pokok?

Dia jawab tak tau kenapa stereng kereta boleh tiba-tiba berpusing. Apabia kemalangan anak hubungi kawan dia yang makan bersama tadi.

Alangkah terkejut kawan dia kata, “tadi aku dah ternampak ada satu lembaga hitam sebelah kau semasa kau bawa kereta tu, cuma aku tak nak cakap takut kau takut pulak”.

Nak tak percaya anak saya alhafiz (penghafal al-Quran) dan kawannya pun sama. Di rumah saya pulak pelbagai perkara berlaku bila kami sekeluarga mula buka cerita pasal anak sulung saya kemalangan.

Syaitan sentiasa mahu menyesatkan manusia. Gambar hiasan.

Anak perempuan saya pada satu malam terdengar di atas bumbung rumah seorang perempuan menyanyi-nyanyi. Pada masa lain pula lembaga tu tegur dia; “kenapa tidur tak tutup kaki,” dan pada waktu malam namanya selalu dipanggil iaitu “Shakira... Shakira!”

Apabila anak bongsu saya mengingatkan agar membaca ayat Kursi sebelum tidur dan saya jawab insyaAllah tak apa-apa kerana saya dah tulis ayat al-Quran pada setiap tingkap rumah. Apa yang berlaku saya ditindih oleh jin malam itu kerana terlupa 'pagar diri'.

Anak sulung saya juga semasa turun tangga rumah dia ditolak oleh lembaga hitam. Anak keempat saya semasa pulang bercuti dari tahfiz, dia nampak di ruang tamu ada orang duduk atas sofa dengan betisnya berbulu lebat hitam dan berkuku panjang.

Apabila kami berkumpul macam-macam cerita keluar tapi sayang sekali saya tak belajar secara khusus ilmu syifa perubatan Islam.

Maka saya panggil kawan saya iaitu ustaz Zailani yang memang pakar berkenaan dengan syifa. Petang Ahad dia periksa seluruh rumah saya dan alangkah terkejutnya apabila saya dimaklumkan ramai jin di rumah saya itu termasuklah di parking kereta, kat ruang tamu, bilik tidur serta bilik air anak saya dan bilik air saya.

Maka dimulakan bacaan ayat syifa atau penawar untuk tiga anak saya yang tinggal bersama saya di rumah. Anak perempuan saya sudah dimasuki oleh jin tetapi alhamdulillah akhirnya dapat dikeluarkan.

Ustaz Zailani beritahu, jin dalam rumah saya juga datangnya dari rumah jiran sebelah yang sudah kosong dan tak ada penghuni lebih tiga tahun.

Justeru, saya teringat sabda nabi SAW iaitu jika rumah yang tidak diduduki manusia akan menjadi tempat tinggal syaitan. Pada akhir zaman pula akan banyak rumah-rumah syaitan.

Pada Isnin malam saya berceramah pasal ayat 5 surah Al-Mulk tu. Allah hiaskan langit dengan bintang-bintang yang cantik tetapi pada masa yang sama Allah jadikan bintang-bintang itu sebagai batu api panahan untuk memanah syaitan dan jin yang cuba untuk mencuri dengar maklumat perbualan penduduk langit.

Dalam surah Al-Jin ayat 8 yang maksudnya: “Dan sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal- pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.”

Sebab tu bomoh yang beramal dengan bantuan jin akan dapat sesuatu maklumat yang manusia lain tidak tahu sebab jinnya yang bagitau dengan mencuri dengar perbualan malaikat di langit.

Semasa saya belajar di Maahad Muhammadi, Kota Bharu, Kelantan dulu, saya tinggal bersama nenek di sebuah pondok pengajian, belajar agama dan menadah kitab dengan seorang ulama tersohor di Tumpat.

Saya selalu menjadi pembantu tok guru Haji Wan Mat Jal Besar. Pernah satu ketika dia bercerita bahawa dia selalu dijemput untuk mengajar agama kepada kaum Jin.


Rumah yang ditinggalkan manusia akan menjadi kediaman jin dan iblis. Gambar hiasan.

Untuk mengetahui di mana rumah jin, jadi semasa dijemput oleh kaum jin, dia buang anak mancis sepanjang perjalanan ke tempat jin dan tempatnya di pohon nipah berduri. Rupa-rupanya belakang rumah kami dalam semak penuh dengan pohon nipah yang berduri tu.

Ayat 56 surah Adzariyat, Allah berfirman; “Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu.”

Jin pun Allah jadikan tanggungjawabnya sama seperti manusia dan akan dihisab segala amalan mereka baik atau jahat.

Dalam surah Jin ayat 1 dan 2 mengisahkan bahawa ketika nabi SAW solat dan membacakan al-Quran, maka lalu sekumpulan jin dan mendengarkan bacaan ayat-ayat al-Quran.

Maka Allah ceritakan kepada baginda Nabi SAW; “Katakanlah (wahai Muhammad) telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: Satu rombongan jin telah mendengar (al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: “Sesunguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah kitab suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

“Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sesekali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.”

Daripada ayat tersebut, maka dapat kita simpulkan bahawa ada jin Islam dan ada jin kafir sama macam kita manusia.

Ada jin yang baik dan ada jin yang jahat. Yang selalu dok ganggu manusia dan rumah saya ini adalah mungkin jin yang jahat. Kami sekeluarga dah bersepakat akan berpindah rumah insyaAllah akhir bulan ni ke rumah baru.

Cuma buat masa sekarang kami terpaksa berkongsi rumah, bilik dan bilik air dengan jin jahat! Semoga kami dirahmati Allah dan dijauhkan daripada gangguan jin kafir.

Apakah amalan untuk mengelak daripada gangguan jin?

Dalam satu kisah, Abu Hurairah RA bertekad untuk menangkap pencuri yang telah dua kali dibebaskan kerana mencuri harta zakat.

Pada malam ketiga, Abu Hurairah berjaya menangkap pencuri itu. Diceritakan bahawa pencuri tersebut berkata; “Biarkan aku mengajarimu beberapa kalimah yang Allah memberimu manfaat dengannya. Apabila engkau masuk ke tempat tidur, bacalah ayat Kursi. Dengan demikian, akan selalu ada penjaga daripada Allah untukmu dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.”

Ketika Abu Hurairah menceritakannya kepada Rasulullah SAW, baginda berkata; “Sungguh dia telah berkata benar, walaupun dia sebenarnya banyak berdusta.

Ustaz Shamsuri Abdullah atau Shams

Kemudian Nabi Muhammad SAW bertanya pula: “Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap-tiap malam itu?” 

“Entahlah.” Jawab Abu Hurairah. “Itulah syaitan,” jawab Nabi Muhammad SAW - [Hadis Riwayat Bukhari no. 2187].

Dalam hadis yang lain daripada Ibnu Umar RA berkata; “Rasulullah SAW bersabda barang siapa yang tidur dalam kedaan suci, maka malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dan tidaklah ia bangun melainkan malaikat berdoa Ya Allah, ampunilah hamba mu 'si fulan' karena ia tidur dalam keadaan suci. - [HR Ibnu Hibban].

Maksud malaikat akan menjaganya sepanjang dia berada dalam keadaan berwuduk. Kalau tidur dalam keadaan tak berwuduk maka syaitanlah akan bersama kita.

Banyak lagi amalan lain untuk mengelak gangguan jin dan syaitan, insyaAllah kita akan kongsikan dalam artikel akan datang.

Kalau ada apa-apa persoalan boleh emelkan ke [email protected]

Wallahualam.

***Ustaz Shams ialah pensyarah di sebuah universiti

jin, gangguan jin

Artikel Lain