Orang dalam gambar, kongsi dan lihat tanggung dosa ‘berjemaah’ akibat foto buka aurat - Ad-din | mStar

Orang dalam gambar, kongsi dan lihat tanggung dosa ‘berjemaah’ akibat foto buka aurat

Hati-hati berkongsi setiap foto di laman sosial kerana setiap individu itu akan menanggung dosa secara 'berjemaah'. FOTO: Sekadar hiasan.

KEGEMBIRAAN berkongsi foto di laman sosial kadang-kala membuatkan segelintir individu terleka dengan tuntutan agama khususnya hal melibatkan aurat.

Jika diperhatikan, wujud juga segelintir individu yang memakai pakaian tidak menutup aurat, namun membuat suntingan dengan meletakkan sticker pada anggota badan tertentu apabila foto tersebut dimuat naik.

Bagaimana pula jika kita sudah menutup aurat, namun rakan dalam foto yang dikongsi itu tidak memakai tudung, berpakaian seksi dan sebagainya. Apa hukumnya?

Sehubungan itu, mStar Online menerusi ruangan Ad-din mendapatkan pandangan pendakwah bebas yang juga Pencetus Ummah (PU) Amin, untuk memberi ulasan berhubung hal berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Enggan tambah dosa, sebab itulah Noorkhiriah tidak kongsi gambarnya bersama Amyra Rosli

Menurut PU Amin, menjadi satu dosa apabila seorang individu berkongsi foto yang tidak menepati syariah Islam di laman sosial.


PU Amin.

"Ia dosa yang bersifat berjemaah atau berkumpulan, maknanya orang dalam gambar dapat dosa, orang yang upload dapat dosa, orang yang tengok dan orang yang tak tegur pun dapat dosa.

"Selagi tak dibuang, dosa akan berterusan biarpun individu itu sudah meninggal dunia. Saham dosa juga ada untuk mereka yang terlibat.

"Islam tak larang bergambar, nak ambil gambar dari atas sampai bawah pun boleh. Cuma pastikan ia menepati ketetapan dan tiada sebarang unsur yang mengundang fitnah," ujarnya.

Pandangan PU Amin ini susulan kenyataan pelakon, Noorkhiriah yang enggan memuat naik foto bersama seorang artis wanita, gandingannya dalam drama Nur disebabkan ingin menjaga aurat wanita itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, ia menjadi tanggungjawab kita untuk mengubah persekitaran laman sosial jika ia sering dipenuhi dengan posting berbaur maksiat dan mengundang dosa.

Gambar yang tak ada sebab dan tak ada nilai, contohnya wanita bertudung ambil gambar dengan anjing. Kalau dia doktor haiwan atau nak beri makan, tak apa.

PU AMIN

Pendakwah Bebas

Malah, setiap pengguna laman sosial juga perlu memastikan apa yang dimuat naik oleh mereka bermanfaat dan boleh mendekatkan semua orang dengan Allah.

"Tak boleh kata Instagram atau Facebook banyak maksiat, apa pula kita buat untuk bagi manfaat di laman sosial itu? Tanggungjawab kita untuk ubah, bukan hentam.

"Gambar makanan, permandangan, semua boleh. Tapi tengok tujuan pula. Adakah sekadar nak kongsi menu, atau nak berlagak dan menunjuk hidangan mahal serta mampu pergi melancong sahaja?

"Itu dah wujud perasaan sombong, perkongsian itu pun dah jadi tak ada nilai. Cuba fikir, apabila post sesuatu, adakah ia membawa manfaat atau mudarat pada orang lain?

"Apa kata ambil potongan terjemahan ayat al-Quran atau hadis, kata-kata ulama, kita kongsi di kapsyen gambar. Orang yang tengok pun dapat pahala," katanya lagi.

Ramai individu yang gemar berkongsi foto dan video di Instagram dalam kehiduapn serba moden hari ini. FOTO: Naomi D'Souza

Selain itu, PU Amin turut mengulas pilihan sesetengah individu yang menyunting foto mereka dengan sticker bagi menutup anggota badan tertentu.

Jelasnya, dia memuji sikap itu yang peka dengan sensitiviti, namun ia masih tidak menghalalkan perbuatan membuka aurat di dunia nyata oleh individu tersebut.

Selain aurat, PU Amin juga menasihatkan pelayar laman sosial supaya mengambil gambar yang bertepatan dan mengambil kira semua aspek termasuk latar belakang gambar.

"Tempat bernajis, kawasan kotor atau kawasan sampah dan sebagainya, itu tak boleh dipandang ringan.

"Gambar yang tak ada sebab dan tak ada nilai, contohnya wanita bertudung ambil gambar dengan anjing. Kalau dia doktor haiwan atau nak beri makan, tak apa.

"Kalau tak ada sebab, ia boleh cetuskan sangkaan buruk terhadap orang yang menutup aurat," katanya.

Selain itu, pasangan suami-isteri yang sudah halal dinikahkan juga tidak dibenarkan memuat naik foto mesra seperti bercium walaupun mereka menutup aurat dengan sempurna kerana ia boleh mengundang fitnah.

PU Amin , Aurat , Laman Sosial

Artikel Lain