Elak kejadian bapa simbah air panas kepada anak berulang, 5 tip ini boleh jadi panduan buat isteri - Ad-din | mStar

Elak kejadian bapa simbah air panas kepada anak berulang, 5 tip ini boleh jadi panduan buat isteri

Suami-isteri harus percaya setiap anak itu telah dijanjikan rezeki buat mereka dan anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin. Gambar sekadar hiasan.

KEJADIAN seorang kanak-kanak perempuan di Pulau Pinang yang melecur akibat disimbah air panas oleh bapanya sewaktu balik kerja kerana ketiadaan makanan menarik perhatian ramai.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu bersama adik-beradiknya yang lain dikatakan telah menghabiskan makanan yang sepatutnmya ditinggalkan untuk bapa mereka.

Sewaktu pulang ke rumah, si bapa naik berang kerana tiada makanan untuk dijamah lalu bertindak menyimbah air panas ke atas anak. Isterinya juga turut menyalahkan si anak kecil yang tidak berdosa itu.

Peristiwa itu memperlihatkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan ketika ini dan insiden tersebut seolah-olah memperlihatkan pelakunya tidak percaya akan janji Allah kepada umatnya.

Ini kerana anak yang dilahirkan seseorang itu telah dijanjikan rezeki untuknya termasuklah orang lain dalam sesebuah keluarga.

Ia telah dijelaskan dalam al-Quran, surah Al-Israa ayat 31 yang maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.

Dalam hal ini, isteri juga turut memainkan peranan besar terhadap seseorang suami apatah lagi sewaktu suami balik bekerja.

Masa yang dihabiskan sepanjang hari oleh suami untuk mencari rezeki kadang-kala menyebabkan mereka berada dalam tekanan dan ia menjadi lebih parah ketika pulang ke rumah tanpa layanan betul.

Datuk Siti Nor Bahyah Mohamood bersama suami, Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkongsi lima tip buat para isteri mengambil hati suami mereka.

Maka, disebabkan itu suami akan melempiaskan kemarahannya dengan pelbagai cara. Jika bukan kepada isterinya sendiri, tidak mustahil kepada anak-anak.

Oleh sebab itu isteri Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah sentiasa memastikan kehendak dan keperluan suaminya itu sentiasa tersedia.

Malah setiap kali Nabi Muhammad ke Gua Hira, beliau pasti akan menyediakan segala keperluan suaminya selain menziarahi Rasulullah sekiranya Baginda tinggal lama di gua itu bagi memastikan keselamatan Baginda.

Tidak hanya itu, segala kesusahan atau kesedihan Rasulullah, Siti Khadijah akan memastikan beliau sentiasa di sisi Baginda bagi memujuk, mententeramkan serta menggembirakan suaminya sehingga Baginda kembali tenang.

Itu antara sifat mulia Siti Khadijah yang menjadikan beliau tiada tandingan dalam melayani Rasulullah yang berlandaskan keyakinan dalam mencari keredaan Allah dan boleh diambil contoh dan pengajaran oleh para isteri.


Isteri digalakkan memakai wangi-wangian sewaktu menyambut suami pulang bekerja. Foto sekadar hiasan

Setiap amalan yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang berkekalan.

Firman Allah bermaksud: Barang siapa yang mengerjakan amalan soleh, baik lelaki mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang sudah mereka kerjakan. (Surah an-Nahl, ayat 97).

Penceramah dan pendakwah terkenal, Datuk Siti Nor Bahyah Mohamood berkongsi lima tip untuk para isteri ketika menyambut kepulangan suami agar terhindar perkara tidak diingini.

1. Sambut suami dengan senyuman

Walaupun ia nampak seperti perbuatan remeh namun seorang isteri mesti menyambut kepulangan seorang suami dengan senyuman dan penuh kemesraan.

Bayangkan jika seorang suami yang sudah mempunyai pelbagai masalah di pejabat dan pulang melihat wajah isterinya yang tersenyum? Ia sudah tentu menyejukkan dan meredakan apa juga rasa gundah dalam hati si suami.

2. Mengenakan pakaian menarik serta wangi-wangian

Dalam Islam sendiri, seorang isteri yang baik itu harus berhias dan mencantikkan diri untuk suaminya dalam mendapatkan ganjaran besar daripda Allah.

Bagi membangkitkan rasa cinta dan ukhwah dalam rumah tangga kebersihan diri amat penting malah ia adalah sunnah membersihkan diri, memakai wangi-wangian... Apatah lagi ia adalah untuk suami tersayang selagi ia tidak melanggar batas dilarang syariat.

3. Sediakan makanan dan minuman kegemaran suami

Orang tua-tua berkata, hendak menjaga suami biarlah mula daripada perutnya... Ini juga adalah salah satu tugas yang boleh dilakukan isteri sebagai pengikat kasih sayang.

Bayangkan seharian penat bekerja, suami pulang ke rumah melihat masakan kegemarannya sedia terhidang. Betapa besarnya ganjaran Allah berikan kepada isteri yang menyenangkan suaminya.

4. Elakkan berbincang mengenai masalah dalam tempoh 45 minit

Sebaik-baiknya berikan suami tempoh 'bertenang' dan tidak membangkitkan hal-hal remeh-temeh sejurus sang suami pulang ke rumah.

Sebaliknya, cuba mengambil 'mood' suami terlebih dahulu dan menggunakan masa ini untuk bertanya tentang hari yang dilaluinya.

5. Beri ruang suami berehat

Apabila suami pulang ke rumah, mereka pasti akan berasa penat apabila seharian bekerja di pejabat dan sebaiknya berikanlah mereka ruang untuk berehat tanpa gangguan.

Mudah-mudahan tip ini dapat membantu isteri dalam melayan mesra suami masing-masing.

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Boo anjing paling comel di dunia mati