suria

Apakah status anak yatim, pelajar tahfiz layak terima zakat?

Nisab zakat pendapatan bersandarkan kepada nilai 85 gram emas. - Gambar hiasan/PPZ Maiwp

ZAKAT pendapatan diambil daripada konsep zakat harta perolehan yang diwajibkan ke atas barangan yang menjadi milik umat Islam melalui usaha tanpa sebarang proses pertukaran jual beli.

Secara ringkasnya, zakat pendapatan diperoleh melalui sumber seperti gaji, upah kerja, elaun, hadiah dan lain-lain.

Pendapatan wajib dizakatkan kerana ia adalah harta yang berkembang dan boleh membawa perolehan lumayan terutamanya bagi seseorang yang menyandang jawatan profesional atau pangkat tinggi dalam sesebuah organisasi.

Mari kita hayati penjelasan mengenai zakat pendapatan oleh Penolong Pengurus Unit Syariah & Penerangan Khas Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp), Ahmad Husni Abd Rahman.

Bagi yang baru bekerja, tentunya ia dapat memberi pencerahan untuk melakukan kiraan dan mengumpul wang untuk melaksanakan tanggungjawab yang tersenarai dalam Rukun Islam ini.

Ahmad Husni Abd Rahman

Kadar zakat pendapatan

Kadar zakat pendapatan adalah sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah gaji kasar atau dari jumlah lebihan pendapatan yang melebihi nisab.

Nisab zakat pendapatan bersandarkan kepada nilai 85 gram emas.

Nilai nisab yang ditentukan oleh PPZ Maiwp pada 2018 adalah RM14,772.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai pendapatan atau lebihan pendapatan yang menyamai atau melebihi kadar nisab tersebut adalah tertakluk kepada kewajipan mengeluarkan zakat pendapatan.

Hukum melaksanakan zakat pendapatan

Zakat wajib dikeluarkan ke atas pendapatan daripada penggajian Islam termasuklah apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus.

Oleh itu, mengeluarkan zakat daripada pendapatan yang layak dikenakan zakat daripada penggajian tersebut adalah wajib bagi seorang Islam.

Mengeluarkan zakat pendapatan kepada anak yatim dan pelajar tahfiz

Zakat pendapatan hendaklah ditunaikan melalui institusi atau badan yang dilantik oleh pemerintah untuk menguruskan kutipan dan agihan zakat.

Pelajar tahfiz boleh menerima zakat sekiranya tergolong dalam lapan golongan asnaf yang digariskan oleh syarak. - Gambar hiasan/Bernama

Zakat diagihkan kepada lapan asnaf yang berhak iaitu orang-orang fakir, miskin, pengurus zakat, mualaf, riqab (hamba), orang yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas dan dibenarkan oleh hukum syarak, fisabiillah serta orang dalam perjalanan bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syarak.

Maka, anak yatim dan pelajar tahfiz secara khususnya bukanlah termasuk dalam kategori asnaf zakat.

Mereka ini hanya boleh diberikan zakat jika termasuk dalam mana-mana kategori asnaf yang ditetapkan.

Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki.

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Bagaimanapun, jika pelajar tahfiz menepati ciri-ciri fisabilillah, maka mereka boleh menerima zakat.

Jadi, ini bermakna jika seseorang itu menyumbang kepada rumah anak yatim atau pusat tahfiz di mana di situ adanya antara lapan asnaf berkenaan, makanya ia boleh dikira sebagai sebahagian zakat pendapatan.

Dalam pada itu mana-mana individu yang mengeluarkan perbelanjaan untuk zakat pendapatan, ia dikecualikan daripada dikenakan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tuntutan boleh dibuat setiap kali mengisi borang e-filing.

Sifat pemurah

Dalam pada itu Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam tulisannya menjelaskan amalan berzakat boleh membiasakan pengeluarannya supaya bersifat pemurah.

Amalan itu juga boleh membuang sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini dapat dirasai oleh pengeluar zakat dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara kepada penambahan harta daripada menguranginya.

Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan maksudnya: “Zakat itu tidak mengurangi harta.” - Riwayat Muslim (2588).

Allah selamatkan harta

Allah SWT akan menjauhkan harta tersebut daripada sesuatu yang memudaratkannya dan memeliharanya daripada gangguan manusia. Selain daripada perkara tersebut, Allah juga menunjukkan cara-cara untuk memanfaatkan dan mengembangkan harta tersebut kepada pemiliknya. Di samping itu, Allah memberikan ganjaran pahala yang besar kerana mengeluarkan harta semata-mata untuk keredhaan-Nya.

Eratkan persaudaraan

Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran ini wujud dalam masyarakat, setiap orang Islam mampu menunaikan kewajipan mengeluarkan zakat kepada pihak yang berhak menerimanya. Ia dapat dilihat betapa eratnya jalinan kasih sayang sesama individu di kalangan orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.

Zakat berperanan untuk memastikan sesebuah anggota masyarakat itu menjadi lebih sempurna. Meskipun begitu, terdapat pelbagai keadaan dan unsur-unsur yang memperluaskan jurang perbezaan taraf sosial itu bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan serta golongan fakir. Zakat berfungsi memelihara masyarakat daripada jurang perbezaan taraf sosial yang ketara.

Atasi pengangguran

Zakat memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran. Antara sebab utama yang menyumbang kepada pengangguran ialah kemiskinan. Orang yang miskin tidak mempunyai modal yang minimum untuk menjalankan sesuatu perusahaan atau pekerjaan. Oleh itu, jika sistem zakat berjalan mengikut haknya, sudah tentu orang yang miskin berhak menerima bahagiannya dan membolehkan mereka menjalankan perusahaan yang dirancang sesuai dengan kemahiran dan kelayakan yang ada pada mereka.

Bersihkan hati daripada sifat keji

Zakat merupakan cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang memberi kesan kepada masyarakat, iaitu sifat berdendam, iri hati dan hasad dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menjadi barah dalam masyarakat jika tiada lagi sifat berkasih sayang, tolong-menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan hanya propaganda yang dilaung-laungkan sahaja, malah ia telah menjadi satu realiti yang nyata dan bukan fantasi yang direka. Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan.

Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan. 

Ini berdasarkan firman Allah yang maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk). -  Surah al-Taubah: 103.

Artikel Lain