Sebat 40 kali dan minum peluh penghuni neraka... Itulah habuan buat peminum arak - Ad-din | mStar

Sebat 40 kali dan minum peluh penghuni neraka... Itulah habuan buat peminum arak

Arak banyak disajikan di pusat-pusat hiburan dan ia adalah haram dalam agama Islam. Gambar sekadar hiasan.

AL-QURAN jelas menyatakan arak itu haram walaupun ayat larangan diturunkan secara berperingkat kerana pada awal perkembangan Islam, ia menjadi budaya dalam kalangan masyarakat Arab untuk meminum arak.

Allah SWT berfirman: “Dan daripada kurma dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik.” (An-Nahl: 67).

Rasulullah SAW juga mengingatkan pengharaman arak bukan setakat minum, tetapi 10 golongan yang akan dilaknat Allah SWT adalah orang yang memerah, meminta diperahkan arak, minum, membawa dan menghantar, menuangkannya, menjual, membeli, makan hasil jualannya serta meminta dibelikan minuman itu.

Malahan, isu berkaitan arak turut meraih perhatian pendakwah terkenal, Da’i Wan yang menegaskan minuman keras itu adalah haram di dalam Islam.

Hanya secawan atau segelas arak, godaan kecil itu boleh mengakibatkan pelakunya mensyirikkan Allah SWT. Gambar sekadar hiasan

Da’i Wan atau nama sebenarnya Wan Dazri Wan Din berkongsi, antara kisah penjagaan hati adalah mengenai bagaimana seseorang yang sejauh mana solehnya pun, boleh diuji dengan pelbagai godaan seperti wanita, harta-benda sehingga ke minuman keras.

"Godaan yang paling kecil iaitu hanya minum secawan arak. Bagi orang yang tak biasa minum dia pasti akan mabuk. Bila dia sudah terperangkap dalam godaan yang kecil itu, bila dia mabuk kemudiannya berzina dengan perempuan.

"Dia kemudian berasa kesal dan terhina kerana amat berdosa, lalu memilih jalan yang sesat dan terus mensyirikkan Allah SWT. Itulah hikmah di sebaliknya yang orang ramai tak nampak kenapa Islam melarang minuman arak," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Pada Isnin lalu, tersebar video pesta arak membabitkan Juara Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Haneesya Hanee sehingga menyebabkan pihak penganjur menarik semula kemenangannya dalam pertandingan berkenaan.

Remaja itu bagaimanapun mengaku kesalahannya dan akur kemenangannya itu dilucutkan.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?” Baginda menjawab: “Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka.” - Riwayat Muslim (2002).

Dalam pada itu Da'i Wan turut berkongsi pengalamannya sewaktu bercuti ke Korea Selatan beberapa tahun lalu, apabila dia menyaksikan sendiri seorang lelaki mabuk yang meluru ke persimpangan jalan dan cuba menghalang laluan serta memberhentikan kenderaan.

Keadaan menjadi huru-hara dan banyak kereta nyaris melanggar lelaki itu dan teman wanita lelaki itu cuba untuk menyelamatkannya tetapi dia mengalami kecederaan.

"Sebab cubaan untuk selamatkan dia yang tengah mabuk tu, teman wanitanya cedera terjatuh dan nyaris dilanggar kereta. Tanpa kita sedar ada risiko-risiko bahaya yang boleh berlaku pada orang di sekeliling termasuk keluarga," katanya.

Da'i Wan berkata, tidak seharusnya seseorang itu menggunakan masa untuk melakukan perkara yang melalaikan kerana seperti yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: "Di antara tanda-tanda kebaikan Islam seseorang itu, ditinggalkan apa-apa sahaja perkara yang tidak bermanfaat baginya."

Da'i Wan.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah: 90).

Zulkifli menerusi kenyataan Bayan Linas Siri Ke-117: Hindari Bahaya Arak di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, arahan supaya menjauhi arak adalah lebih kuat daripada tegahan meminumnya. 

Menurut Zulkifli, ayat al-Quran terdahulu mengharamkan arak yang dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuk semua benda yang memabukkan.

Dalam satu hadis, beliau berkata, ia menjelaskan maksud arak bahawa semua benda yang memabukkan atau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah haram.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

"Semua minuman yang memabukkan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Hal ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, dikuasai oleh hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan di kalangan orang Islam, sehingga putus hubungan persaudaraan dan hilang rasa kasih sayang.

"Lebih dahsyat lagi, kesan minum arak menghalang manusia mengingati Allah dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsanNya," kata Zulkifli.

Betapa beratnya dosa peminum arak ini, setiap mereka yang meminumnya boleh dikenakan hukuman di dunia berupa hudud dan juga akhirat.

Ini berdasarkan hadith daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu?" Baginda menjawab: "Peluh penghuni neraka atau perahan ahli neraka." - Riwayat Muslim (2002).

Peminum arak juga mengikut hukum perlu disebat sebanyak 40 kali berdasarkan kepada hadis daripada Anas: "Nabi SAW menyebat peminum arak sebanyak 40 kali sebatan dengan pelepah tamar dan selipar." - Riwayat Muslim (1706).

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Ibu muda lahirkan bayi kembar tujuh