Jika waris si mati tidak berkemampuan, umat Islam di sekelilingnya bertanggungjawab membantu menguruskan jenazah berkenaan. -Gambar hiasan
ISU mengenai caj pengurusan jenazah lebih RM2,000 kecoh menjadi bualan warga maya.Menurut satu hantaran tular di media sosial, kes terbaharu itu berlaku di sebuah kariah di Kedah pada Sabtu lalu. Berdasarkan posting tular tersebut, waris si mati dikatakan terpaksa meminjam wang bagi menampung kos pengurusan jenazah."Keluarga arwah terpaksa minta sumbangan saudara mara untuk cukupkan dana bagi kos pengurusan jenazah oleh pihak masjid."Pukul 10 malam arwah meninggal dunia, selagi tak cukup RM2,000, jenazah tak diambil van. "Akhirnya 10 pagi dana cukup dikumpul, van datang," tulis pemilik hantaran tular itu.Turut dikongsi adalah borang 'Perbelanjaan Pengurusan Pengebumian Jenazah' yang menunjukkan kos keseluruhan RM2,130.Paling mengejutkan adalah kos solat jenazah berjumlah RM500.Berdasarkan tulisan tangan yang ditulis atas borang itu, seramai 100 individu dibayar upah RM5 setiap seorang, menjadikan jumlah keseluruhan RM500.Ramai netizen tidak setuju dengan kos yang disenaraikan. Turut mengulas isu ini adalah Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) dikenali sebagai Wan Chai yang menyedari amalan pemberian upah bagi solat jenazah bukanlah perkara baharu, malah sudah beberapa kali perkara ini disuarakan."Menetapkan bayaran untuk solat jenazah adalah perkara tak masuk akal."Ia dilihat hanya menguntungkan satu pihak tetapi membebankan waris si mati."Bagi saya, adat yang tidak bermanfaat harus ditinggalkan. Menguruskan jenazah seharusnya dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan ihsan sesama Muslim," katanya di media sosial.Dari sudut hukum, katanya, solat jenazah merupakan fardu kifayah yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam terhadap saudara seagama yang meninggal dunia."Tidak seharusnya solat jenazah disyaratkan dengan bayaran tertentu.Manusia kian kehilangan pedoman. Duit lebih penting daripada ganjaran pahala," katanya.Sementara itu, netizen juga menyuarakan rasa tidak puas hati dan menganggap kos itu terlalu tinggi serta tidak masuk akal."Tak cukup ke duit masjid setiap minggu orang sedekah sampai nak urus jenazah pun kena bayar?"Fardu kifayah dibuat macam perniagaan. Dicaj dengan harga yang membebankan."Kampung saya Alhamdulillah semua kos masjid yang tanggung," antara komen netizen.Hukum Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, kos pengurusan jenazah pada asalnya ialah ditanggung daripada harta pusaka si mati itu sendiri. Jika si mati tersebut dan orang yang menanggung nafkahnya tiada harta untuk menguruskan jenazah, maka kos tersebut ditanggung oleh baitulmal orang Islam.Haram menzalimi orang lainPihak yang melakukan perkara ini juga diibaratkan menangguk di air keruh kerana telah menzalimi dan mengambil kesempatan ke atas waris yang baru sahaja ditimpa musibah kematian.Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman, maksudnya:“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya aku mengharamkan sifat zalim atas diri-Ku dan aku jadikan (sifat zalim) itu haram sesama kamu, maka janganlah kamu menzalimi sesama kamu.” [Riwayat Muslim]Selain itu, perbuatan menahan jenazah kerana kos pengurusan jenazah tersebut belum dibayar pula bercanggah dengan tuntutan agama agar mempercepatkan pengurusan jenazah.