SEBAHAGIAN masyarakat Melayu percaya syaitan akan masuk ke dalam rumah yang pintunya dibiarkan terbuka pada waktu Maghrib.
Malah sejak zaman kanak-kanak lagi, kita sering dimarahi ibu bapa jika tidak menutup pintu dan jendela rumah pada waktu senja.
Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, kita sememangnya tidak digalakkan berada di luar rumah pada waktu tersebut kerana syaitan sedang berkeliaran.
Daripada Jabir RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Apabila kegelapan malam menjelma atau apabila sudah lewat petang, maka tahanlah anak-anak kamu. Ini kerana, pada waktu itu syaitan berkeliaran. Apabila telah berlalu beberapa ketika daripada malam, biarkanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu serta sebutlah nama Allah kerana syaitan tidak akan membuka pintu yang tertutup.” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Kita juga perlu menutup pintu rumah selepas waktu senja atas faktor keselamatan. -Gambar hiasan AI
Imam Khatib al-Syarbini juga menyebut bahawa sunat menutup pintu ketika masuknya senja. [Mughni al-Muhtaj]
Antara hikmah mengapa dilarang melepaskan budak-budak pada waktu senja adalah disebabkan syaitan berkeliaran pada waktu itu dan pergerakan syaitan lebih aktif berbanding siang hari kerana kegelapan itu akan menambahkankan kekuatan syaitan berbanding waktu yang lain sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani [Fath al-Bari]
Kesimpulan
Melihat kepada beberapa pandangan para ulama, maka disimpulkan bahawa kita dituntut atau disunatkan untuk menutup pintu atau tingkap apabila tibanya waktu senja dan perkara ini juga selalu dipesan atau diingatkan oleh orang tua-tua.
Ini kerana, syaitan-syaitan berkeliaran pada waktu tersebut serta dibimbangi akan terkena keburukan, kecelakaan atau kejahatan berpunca daripada syaitan tersebut kerana syaitan ini sifatnya adalah menyakiti manusia.


