JEMAAH haji dan umrah diingatkan agar sentiasa menjaga tingkah laku sepanjang berada di Tanah Suci.
Paling penting, mereka juga perlu memperbanyakkan zikir, doa dan mengelakkan percakapan yang sia-sia.
Di aplikasi Threads, seorang wanita tular selepas berkongsi pesanan penting buat jemaah umrah.
Menurut pemilik akaun Puteri Aisyah 18, terdapat empat perkara yang perlu dielakkan oleh jemaah ketika berada di sana.
1. Mengeluh bau kurang enak di persekitaran - Kesannya boleh jadi (jemaah) akan terhidu bau yang sangat menyengat sepanjang masa.
2. Mengeluh tandas kotor - Kesannya, anda mungkin akan jumpa tandas yang kotor sepanjang masa.

Jemaah digalakkan memperbanyakkan doa ketika mengerjakan umrah. -Gambar hiasan
3. Mengeluh makanan tak sedap - Kesannya boleh berlaku sepanjang masa ketika berada di sana, semua makanan rasa tak sedap.
4. Mengeluh berpeluh semasa jalan kaki ke masjid - Perlu diingat setiap langkah ke masjid mendapat ganjaran pahala.
Menurut Puteri Aishah lagi, setiap ucapan adalah doa, maka apa yang dituturkan perlulah dijaga ketika berada di Tanah Suci.
"Ucapan adalah doa, apa jua yang terlintas di hati boleh dapat sekelip mata je.
"Jadi sentiasalah bersangka baik sepanjang masa. Banyakkan bersabar, banyakkan istighfar agar urusan kita lancar sentiasa," kongsinya lagi.
Pengalaman netizen
Beberapa netizen turut berkongsi pengalaman mereka di ruangan komen hantaran berkenaan.
"Tengah tawaf dengan geng umrah, saya terfikir, macam mana perasaan kalau tawaf berseorangan? Tiba-tiba kena rempuh dengan geng Indonesia, terus terlepas tangan member.
"Pernah dulu lepas doa, rasa dahaga sangat tapi malas nak bangun ambil air Zamzam. Beberapa minit lepas tu, orang sebelah hulur secawan. Allah bagi macam tu je.
"Masa kat Madinah, tegur dalam hati je orang batuk dalam masjid. Masuk je Makkah, terus kita pula batuk-batuk," beberapa netizen kongsi pengalaman.


