Dari kiri Ketua Pegawai Kandungan, Star Media Group (SMG), Esther Ng; Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Mohd Roslan Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt; Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man; Timbalan Ketua Pengarah, Tourism Malaysia Lee Thai Hung; dan Ketua Pegawai Operasi SMG, Lydia Wang.
PELBAGAI tawaran percutian menarik, pakej eksklusif dan promosi harga berbaloi bakal menanti orang ramai menerusi penganjuran Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 yang akan berlangsung di enam negeri bermula Julai depan.Inisiatif hasil kerjasama Tourism Malaysia dan Star Media Group Berhad (SMG) itu dilihat sebagai antara usaha memperkasakan pelancongan domestik serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Dilancarkan di Menara Star, Petaling Jaya pada Rabu, karnival berkenaan dijangka menarik lebih 200,000 pengunjung sepanjang siri jelajahnya di seluruh negara.Mengangkat tema Discover, Experience, Explore, karnival itu bakal singgah di Pahang, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.Selain menawarkan pelbagai promosi pelancongan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat terus daripada pengendali pelancongan, hotel, resort, syarikat penerbangan dan agensi pelancongan yang mengambil bahagian.Turut ditampilkan ialah pameran destinasi pelancongan, pengalaman interaktif, tawaran penginapan, hadiah percutian serta pelbagai aktiviti yang memudahkan orang ramai merancang percutian mereka di bawah satu bumbung.Malah, karnival itu turut menyokong inisiatif Destinasi Indah, Harga Rahmah dengan menawarkan pakej percutian dan tawaran perjalanan pada harga lebih berpatutan.Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, sektor pelancongan bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara, malah memainkan peranan penting dalam pembangunan komuniti setempat.Menurut beliau, setiap perjalanan yang dilakukan pelancong turut memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk pengusaha inap desa, pemandu pelancong, pemandu e-hailing, penjaja makanan dan usahawan kraftangan."Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026 memainkan peranan penting dalam menyokong objektif VM2026."Ia menyediakan platform kepada pemain industri untuk berinteraksi secara langsung dengan pengguna, mempromosikan produk pelancongan dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia meneroka destinasi dalam negara," katanya.Beliau berkata, setiap program dan kerjasama yang dilaksanakan menjelang VM2026 akan membantu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan selain memupuk rasa bangga rakyat terhadap khazanah pelancongan negara.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad, Chan Seng Fatt berkata, karnival berkenaan diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta merancang percutian dengan lebih mudah dan selesa.Katanya, Star Media Group berbangga dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam mempromosikan destinasi unik negara serta menggalakkan lebih ramai rakyat menikmati keindahan pelancongan tempatan.Berikut jadual Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2026:• Pahang (3 hingga 5 Julai 2026) – East Coast Mall, Kuantan• Johor (31 Julai hingga 2 Ogos 2026) – Paradigm Mall Johor Bahru• Sabah (14 hingga 16 Ogos 2026) – Imago Shopping Mall, Kota Kinabalu• Pulau Pinang (24 hingga 27 September 2026) – Sunway Carnival Mall• Selangor (23 hingga 25 Oktober 2026) – Sunway Pyramid (Orange Zone)• Sarawak (30 Oktober hingga 1 November 2026) – Plaza Merdeka, KuchingPenganjuran karnival itu dijangka membantu merancakkan lagi sektor pelancongan domestik selain meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai destinasi menarik yang terdapat di seluruh negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.