suria

Pelancong AS lega dapat luah pendapat... Anggap durian, makanan di Malaysia jauh lebih sedap dan murah dari Singapura

Brent membuat perbandingan rasa durian selepas mencubanya sendiri di Malaysia, Singapura dan Thailand.

SEORANG pelancong dari Amerika Syarikat membuat satu kenyataan 'berani' mengenai perbandingan antara makanan Malaysia dan Singapura.

Dalam satu hantaran di Facebook, pelancong bernama Brent Farris itu berkongsi pengalamannya mencuba pelbagai makanan di Asia Tenggara dan selepas itu membuat satu kenyataan mengenai pendapat peribadinya.

"Saya akan cakap sesuatu yang sedikit kontroversi. Kalau awak terasa, saya minta maaf terlebih dahulu... Sebenarnya tak perlu minta maaf pun.

"Apa saja makanan yang awak boleh jumpa di Singapura, awak boleh jumpa juga di Malaysia... Tapi dengan harga satu per tiga lebih murah dan rasanya lebih sedap," katanya.

Kenyataan Brent tidak terhenti di situ apabila dia juga menyentuh topik yang cukup sensitif dalam kalangan peminat raja buah, durian.

"Buah kebangsaan Singapura adalah durian. Saya yakin mereka sangat suka durian, tapi mereka tak tanam pun. 

"Durian asal dari Malaysia dan durian dari Malaysia jauh lebih sedap berbanding mana-mana durian di dunia. Maaf Thailand," tambahnya secara berseloroh.

Brent berkongsi beberapa foto ketika melancong di Asia Tenggara.

Brent turut mengakui dia telah lama menyimpan pendapat ini dan akhirnya lega dapat meluahkannya secara terbuka.

"Sudah, itu (kenyataan) saya dah cakap. Saya dah lama nak cakap benda ni. Rasa macam beban dah terangkat dari bahu saya," katanya lagi.

Perkongsian tersebut menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi netizen. 

Ada yang bersetuju dan menyatakan realitinya, kebanyakan durian yang dijual di Singapura memang diimport dari Malaysia dan Thailand.

"Sebagai warga Singapura, saya juga berbangga denga durian dari Malaysia terutama sekali dari kampung. Saya tak suka sangat durian yang dipanggil Musang King atau D197 dan sebagainya.

"Kami (warga Singapura) ada pokok durian dekat Singapura yang tumbuh dengan banyak tapi kami tidak dibenarkan menuainya (ambil). Kebanyakan lokasi tumbuh dan berbuah dalam kawasan larangan.

"Apa yang membuatkan anda begitu lama nak sedar? Membesar dengan dikelilingi pokok durian di kampung saya di Malaysia membuatkan saya acuh tak acuh dengan buah durian," demikian beberapa komen netizen.

Artikel Lain