suria

Ramai kongsi kena scam bilik hotel bercuti ke Thailand... Pastikan anda ikut tip ini masa check-in, check-out

Rakam keadaan hotel ketika masuk dan keluar hotel. -Gambar hiasan AI

BERCUTI ke luar negara memang seronok, tapi perlu berhati-hati apabila menginap di hotel lebih-lebih lagi jika destinasi yang anda pilih adalah Thailand. 

Seorang lelaki, Hafiz Mahfuz berkongsi tip berguna ketika dia bercuti ke Pattaya, Thailand apabila dia bertindak merakam keseluruhan keadaan bilik sebaik sahaja check out (daftar keluar) dari hotel. 

Video tersebut menunjukkan dia bersama seorang pekerja hotel memeriksa setiap sudut termasuk bilik air bagi memastikan semuanya ditinggalkan dalam keadaan baik.

Rakaman dikongsikan di TikTok ini bukan sekadar satu langkah berjaga-jaga, tetapi sebagai bukti jika berlaku sebarang pertikaian ketika check out. 

Menurut lelaki tersebut, tindakan ini penting kerana sebelum ini terdapat kes pelancong yang dikenakan bayaran sehingga 5,000 Baht (kira-kira RM650) atas alasan yang diragui.

Dakwanya lagi, ada juga kes di mana penginap pernah dikenakan caj 'pelik' oleh pihak hotel atas alasan tidak munasabah seperti cadar kotor, remote rosak dan barang hilang.

Tangkap layar video dikongsikan lelaki berkenaan di TikTok.

Antara tip yang boleh anda praktikkan:

1. Rakam video semasa masuk bilik hotel

Buat rakaman video penuh termasuk keadaan tilam, cadar, perabot, bilik air dan barang elektronik. 

Pastikan semuanya dalam keadaan baik.

2. Periksa semua kelengkapan bilik

Lihat sama ada terdapat kerosakan atau barang yang hilang. 

Kalau ada, terus maklumkan pada pihak hotel dan minta mereka catatkan sebagai nota.

3. Jangan serah kad akses sebelum pastikan semuanya selesai

Ada kes pelancong dituduh tidak memulangkan kad akses walaupun sudah serah, semata-mata untuk kenakan caj.

4. Rakam juga semasa keluar dari bilik hotel

Sama penting seperti waktu masuk masuk. Rakaman keluar boleh membantu membuktikan bilik ditinggalkan dalam keadaan bersih dan sempurna.

Di ruangan komen, ramai yang turut berkongsi pengalaman hampir sama seperti apa yang didedahkan wanita ini.

Malah, ada juga yang berkata mereka tidak dapat semula deposit kerana dituduh mengotorkan bilik, walaupun bilik dibersihkan sebaiknya.

"Saya pernah kena dekat Krabi. Dah bagi kad akses bilik sebelum check out tapi dituduh tidak bagi. Bila minta buka CCTV tak nak. Minta 70 Baht (RM9). Bila buat aduan barulah mengaku dah jumpa. 

"Pergi Thailand memang kena buat macam ni. Saya pun setiap sudut rakam masa masuk dan keluar sebab dah ada kes masa keluar mereka saja aniaya cakap ada kotoran sebab tak nak bagi semula deposit," komen beberapa netizen.

Walaupun tiada kejadian buruk menimpa wanita yang berkongsi video tersebut, langkah berjaga-jaga ini wajar dijadikan amalan terutamanya jika anda bercadang untuk melancong ke Thailand atau mana-mana negara luar.

Artikel Lain