suria

Bawa perangai ‘typical’ Malaysia ke luar negara, keluarga ini ditengking penduduk New Zealand... Nak ‘healing’ tapi tak kena tempat!

Keindahan New Zealand yang tidak terungkap dengan kata-kata.

JIKA ditanya tentang destinasi pelancongan yang menjadi idaman, pasti ramai akan menyebut negara di Eropah seperti Switzerland dan United Kingdom.

Namun tahukah anda, terdapat satu negara yang hanya 'sejengkal' daripada Malaysia tetapi turut mempunyai iklim dingin dan pergunungan bersalji seperti di Eropah.

Pada Mei tahun lalu penulis bersama kedua-dua ibu bapa berkesempatan untuk melancong ke New Zealand, sebuah negara yang berjiran dengan Australia.

New Zealand terletak di Lautan Pasifik yang terbahagi kepada dua kepulauan iaitu Pulau Utara dan Pulau Selatan.

"Bagus New Zealand ni, tak perlu rentas separuh benua untuk tengok Alps (gunung salji). Negara pun kecil je, senang nak jalan," kata ibu penulis ketika dalam road trip menuju ke Milford Sound di Pulau Selatan.

Sebelum kita bercerita lanjut tentang New Zealand, apa kata anda 'layan' dulu beberapa pemandangan indah yang sempat dirakamkan penulis.

Keadaan gunung salji di New Zealand pada awal musim sejuk.

New Zealand yang terletak di hemisfera Selatan bermaksud musim sejuknya adalah pada pertengahan tahun.

Keadaan rupa bumi yang pelbagai di New Zealand.

Bandar Queenstown yang dikelilingi gunung salji.

Milford Sound yang menjadi destinasi pilihan penulis di New Zealand.

Tidak dapat dinafikan New Zealand kaya dengan pelbagai landskap yang memukau pandangan, walaupun negaranya sungguh halus di atas peta dunia.

Jika hendak diceritakan satu-persatu kecantikan alam semula jadi yang boleh didapati di New Zealand, pasti artikel ini akan menjadi sepanjang novel.

Bagi perkongsian kali ini, penulis mahu menyentuh tentang beberapa pantang-larang yang perlu diberikan perhatian apabila bercuti ke New Zealand.

Penulis sudah terkena, jadi besar harapan agar pengalaman pahit terbabit dapat dijadikan pengajaran kepada anda yang berkeinginan melancong ke negara Oceania ini.

Lapangan Terbang Auckland, New Zealand.

1) Kastam

Jika bercuti ke luar negara, ibu penulis gemar membawa bahan mentah seperti sardin dalam tin, beras dan sambal belacan. Kononnya mahu memasak sambil menikmati pemandangan.

Tetapi tanpa kami ketahui, New Zealand mempunyai penguatkuasaan kastam yang sangat ketat khususnya apabila melibatkan barangan berasaskan haiwan atau tumbuh-tumbuhan.

Ini kerana mereka bimbang sekiranya terdapat spesies binatang atau tumbuhan invasif yang lolos ke dalam negara dan seterusnya merosakkan ekosistem alam sekitar mereka.

Tambahan pula New Zealand adalah negara kecil, sekiranya berlaku bencana ekosistem, mereka akan menanggung derita yang besar.

Berbalik kepada ibu penulis, dia hampir didenda kerana kecuaiannya. Walaupun begitu, berkat budi bicara anggota kastam, ibu penulis dibenarkan untuk memasuki New Zealand tanpa dikenakan hukuman.

Kesemua bahan mentah yang dibawa ibu penulis dibuang ke dalam tong sampah, berputih mata!

Kami seterusnya terpaksa bebelanja besar di pasar raya bagi membeli barangan dapur baharu.

Oleh itu sukacita diingatkan, pastikan anda merancang rapi isi kandungan bagasi. Maklumat lanjut boleh dirujuk laman sesawang rasmi jabatan kastam New Zealand.

Pokok Wanaka yang tidak mereput walaupun berada di tengah tasik.

2) Tempat suci orang Maori

Sebelum New Zealand menjadi koloni British, penduduk asalnya adalah orang asli Maori.

Walaupun setelah New Zealand mendapat kemerdekaan daripada British dan menjadi negara Komanwel, orang asli Maori tetap disanjung dan mendapat penghormatan tertinggi.

Sebagai makluman, orang asli Maori dikategorikan sebagai animisme iaitu mempercayai alam seperti pokok dan sungai yang mempunyai semangat tersendiri.

Oleh itu, jaga tingkah laku anda di mana sekalipun anda berada ketika di New Zealand, terutamanya berhampiran tempat yang ditentukan sebagai suci oleh orang asli Maori.

Jika tersilap langkah boleh menggores hati penduduk di sana.

Penulis sudah menyaksikan dengan mata sendiri bagaimana seorang mat salih ditengking kerana kealpaannya.

Tarikan pelancong dikenali sebagai Tasik Cermin (Mirror Lakes).

3) Tanah persendirian

Sekiranya di Malaysia, kita akan segera berhenti di tempat yang bersesuaian seperti bahu jalan apabila ditemukan dengan pemandangan yang indah seperti air terjun.

Namun jangan buat perkara sama ketika di New Zealand.

Mereka di sana sangat cerewet apabila melibatkan pencerobohan tanah persendrian.

Walau seinci anda memasuki sempadan, ia sudah cukup untuk membuatkan mereka naik angin.

Mengimbas semula insiden menjengkelkan, penulis memberhentikan kereta sewa di kawasan yang sedikit terasing untuk berkelah sebentar, niatnya mahu 'healing' di lokasi eksklusif.

Tidak lama selepas itu, muncul seorang lelaki lanjut usia mengusir kami, nada suaranya sungguh bingit kedengaran dalam bahasa Inggeris - "Keluar sekarang! Ini tanah persendirian."

Kami pun berlalu pergi, enggan bertekak dengan orang tempatan.

Oleh itu, seeloknya untuk tidak berhenti di sebarang tempat, hanya lakukan aktiviti di kawasan yang digazetkan sebagai lokasi tumpuan pelancong.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain