suria

Putrajaya dibangunkan ikut trend... bakal jadi bandar pentadbiran lebih moden, canggih, harmoni sesuai cita rasa terkini

Bagai satu keajaiban. Ibu kota pentadbiran Malaysia bertukar wajah dengan warna warni lampu pada waktu malam.

PUTRAJAYA semakin meriah dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang rancak dijalankan.

Akhir bulan lalu, diumumkan tentang projek rumah mampu milik yang terdiri daripada 2,500 unit strata di tapak seluas 7.19 hektar di Presint 7. Projek ini diletakkan di bawah program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia Kementerian Wilayah Persekutuan.

ARTIKEL BERKAITAN: Putrajaya lebih mampan tak lama lagi! Bakal tarik ramai penduduk, pengunjung dan pelancong dengan inisiatif bandar pintar, hijau

ARTIKEL BERKAITAN: 800 perwakilan, 80 negara! Putrajaya bakal jadi tumpuan figura penulisan dan sastera kanak-kanak dunia untuk kongres IBBY ke-38


Lebih banyak pangsapuri mampu milik di bawah program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia telah dirancang untuk golongan B40 di Presint 5, 7, 16, 14, 17 dan 19.

Dalam masa yang sama terdapat juga kediaman dan komersil sedang dalam pembinaan, begitu juga yang masih dalam perancangan.

Bagi yang sedang mencari hartanah di ibu kota pentadbiran ini mereka boleh memilih pembangunan strata yang baru siap, serta dalam pembinaan di pasaran.

Sebagai contoh, Kondominium Seraya di Presint 15, Kondominium Aura di Presint 8 dan Kondominium Flora Rosa yang masih dalam pembinaan di Presint 11.

Untuk kediaman atas tanah pula, pemburu hartanah boleh meninjau ke Presint 8, 11 dan 12. Di Presint 5 juga akan dibina lebih banyak kediaman jenis ini tidak lama lagi.

alamanda

Pemandangan Alamanda Putrajaya yang menakjubkan pada waktu malam.

Ruang pejabat komersil Putrajaya pula ditawarkan di Menara Ochre yang baru siap, bersebelahan dengan Shaftsbury Putrajaya dan Pusat Beli Belah Alamanda di Presint 1.

Antara pembangunan komersil lain pada masa akan datang termasuklah di tepi tasik Presint 8MD3, dijangka siap sebahagiannya menjelang akhir 2024. Pembangunan ini akan menyaksikan outlet retail, sebuah pusat beli belah dan hotel serta ‘service apartment’ diletakkan di satu lokasi.

Turut dirancang adalah 7MD7 berorientasikan transit di Presint 7 yang akan menempatkan unit-unit perniagaan dan kemudahan ‘park and ride’. Ia disasarkan siap menjelang 2027. Pembangunan ini akan menjadi projek yang dapat mewujudkan kesan terhadap ekonomi dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan dan pelabur berpotensi.

Satu pelan pembangunan komprehensif juga sedang dirangka untuk ‘menghidupkan’ Putrajaya Boulevard di Persiaran Perdana, bertujuan untuk memeriahkan lagi kawasan itu.

Landskap indah ibu kota pentadbiran dengan pemandangan tasik yang memukau pandangan serta panorama yang terpelihara adalah faktor jualan yang unik.

Bandar contoh dalam pembangunan mampan

Selain memenuhi fungsi formalnya sebagai ibu kota pentadbiran Malaysia, Putrajaya juga telah ditetapkan piawaian baharu sebagai tempat yang ideal untuk didiami, bekerja, menjalankan perniagaan serta sesuai untuk aktiviti sukan dan rekreasi.

Dengan keluasan 4,931 hektar, Putrajaya mampu menyediakan gaya hidup selesa dan berkualiti kepada penduduknya.

Kehijauannya, taman dan kebun yang subur terbentang merentasi bentuk muka bumi yang beralun, kaya dengan sumber air dan tasik.

angsa2

Taman dan tasik adalah elemen penting dalam ekosistem bandar dan biodiversiti.

Kawasan kediaman disokong oleh kejiranan serba lengkap di mana pusat komersil, kemudahan awam dan kemudahan rekreasi berada hanya dalam radius 15 minit berjalan kaki.

Penduduk-penduduk pastinya berasa bertuah mendiami sebuah perbandaran yang mementingkan pemeliharaan ekosistem dan biodiversiti bandar.

“Taman dan tasik adalah elemen terpenting dalam ekosistem bandar dan biodiversiti Putrajaya.

“Taman awam, tasik dan wetlands adalah ‘nadi Putrajaya’ serta tempat perlindungan flora dan fauna, menjadikannya tarikan eko-pelancongan yang penting.

“Juga menjadikan ibu kota pentadbiran berbeza dengan bandar-bandar lain di Malaysia adalah bangunan dan jambatan ikoniknya,” kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain.

hijau

Penduduk Putrajaya bertuah mendiami sebuah perbandaran yang mementingkan pemeliharaan ekosistem.

Terkini Putrajaya akan menjadi tempat tinggal kepada lebih kurang 350,000 orang di kira-kira 73,801 unit rumah pelbagai saiz dan susun atur dalam presint residensi.

Perancangan dan reka bentuk kawasan kediaman ini bertujuan untuk memupuk identiti dan semangat kemasyarakatan, di mana alam semula jadi dan teknologi disatukan secara harmoni.

azmi

Muhammad Azmi

Berkongsi pandangannya mengenai bekerja dan tinggal di ibu kota pentadbiran ini, Muhammad Azmi berkata dalam pelan strategik PPj, Putrajaya mensasarkan untuk mencapai status bertaraf dunia mampan menjelang 2025.

“Ketika potensi ekonomi kini banyak bergantung kepada sektor kerajaan, kami telah mengenal pasti pelancongan sebagai satu lagi asas untuk menjana pendapatan. Justeru PPj akan teruskan dengan pembangunan untuk memajukannya.

“Fokusnya adalah mesyuarat, insentif, sektor pameran dan persidangan, sukan dan rekrasi, eko-tourism serta pakej percutian berorientasikan keluarga,” katanya.

Infrastruktur sokongan

PPj melaksanakan penambahbaikan berterusan terhadap infrastruktur bandar bagi membolehkan penduduk dan pengunjung menjalani satu gaya hidup holistik.

Bandar ini bakal menarik perhatian penunggang basikal, peminat burung dan pelbagai kelompok dengan minat lain untuk mengadakan kira-kira 250 acara di sini setiap tahun.

Pengayuh basikal mempunyai sejumlah 1,179 laluan untuk diterokai di Putrajaya.

PPj juga sedang menyediakan pelan tindakan untuk acara berbasikal kerana ia merupakan aktiviti yang popular di sini. Lebih banyak lorong basikal akan ditambah dengan jumlah jarak kemudahan di bandar pentadbiran mencecah kira-kira 30 kilometer menjelang akhir tahun ini.

basikal

Pengayuh basikal mempunyai sejumlah 1,179 laluan untuk diterokai di Putrajaya.

Selaras dengan statusnya sebagai bandar pintar, inisiatif yang paling berjaya ialah perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan dengan lebih 90 peratus penyelesaian dalam memindahkan perkara berkaitan tadbir urus ke platform digital. Pencapaian ketara ialah Sistem Pemantauan Pusat Sehenti 3.0 yang memenangi anugerah, membolehkan segala proses melibatkan pengisuan arahan pembangunan dilakukan secara digital.

Satu lagi ialah Putrajaya Command Centre, pusat operasi bersepadu 24 jam yang memantau keselamatan, aliran trafik, infrastruktur IT dan sensor persekitaran melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan butang panik di seluruh bandar. Ia digunakan oleh polis, Hospital Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya dan Angkatan Pertahanan Awam Putrajaya.

Sistem ini juga menggunakan analisis video yang secara automatik akan memberi amaran kepada pusat tentang bahaya.

belon

Kira-kira 250 acara diadakan di Putrajaya setiap tahun termasuklah acara tahunan pertunjukan belon.

Sementara itu, bilangan kamera CCTV pintar pula akan ditambah kepada 1,000 unit menjelang 2025.

Melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Telekom, PPj telah membangunkan rangkaian akses radio di beberapa tapak untuk meningkatkan kualiti rangkaian mudah alih sehingga 100 megabit per saat menjelang 2022.

Selain itu, rangkaian dan perkhidmatan 5G yang dibangunkan dengan kerjasama Digital Nasional Bhd akan siap menjelang 2022.

Lokasi strategik

Dari segi konsepnya, Putrajaya dirancang sebagai sebuah bandaraya rakyat Malaysia, yang direka oleh anak tempatan.

Ia terletak secara strategik di paksi utara-selatan yang sangat aktif di pusat bandar Greater Kuala Lumpur.

Dengan Cyberjaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan institusi akademik utama sebagai jirannya, Putrajaya berada dalam kedudukan yang menguntungkan dari segi industri, akademik dan peluang pertumbuhan yang didorong oleh inovasi.

pjaya atas1

Landskap indah ibu kota pentadbiran dengan pemandangan tasik yang menawan adalah faktor jualan unik.

Ini akan membolehkan badan pentadbiran meraih faedah ekonomi daripada pekerjaan bernilai tinggi.

Putrajaya ialah kawasan metropolitan kedua paling mudah diakses dalam konurbasi Greater Kuala Lumpur, selepas Kuala Lumpur.

Ia boleh diakses melalui jalan raya, perkhidmatan Express Rail Link (ERL) dan Transit Aliran Massa.

Justeru, ia menjadi tarikan bagi organisasi korporat, pelabur hartanah dan juga pelancong domestik yang bosan dengan kesesakan yang semakin meningkat di Lembah Klang.

Perspektif Asean

Kepelbagaian populasi penduduk yang berpangkalan di rantau Asean adalah lebih besar daripada gabungan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat.

Putrajaya terletak di pusat pasaran yang semakin berkembang ini, dengan beberapa infrastruktur terbaik dan ketersambungan seluruh wilayah.

Berada pada kedudukan yang tepat untuk menjadi penghubung bagi tadbir urus, politik, budaya dan perdagangan di rantau Asia Timur yang lebih besar, ibu kota pentadbiran Malaysia ini berdiri teguh dari segi infrastruktur.

cruise

Putrajaya berpotensi menjadi sebuah bandar untuk aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.

Melangkah ke hadapan sebagai ‘magnet’ yang menarik orang ramai, pelaburan, perniagaan dan komuniti intelektual, Putrajaya mahukan pelabur yang boleh menawarkan kerancakan budaya dan sosial, perniagaan pintar dan perkhidmatan kehidupan, sebuah persekitaran antarabangsa, ketersambungan pengangkutan yang efisen dan persekitaran hijau yang mampan.

“Putrajaya adalah model bandar moden dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri dan menampung trend baharu, anjakan ekonomi dan pertumbuhan penduduk.

“Tugas paling penting di hadapan adalah untuk mewujudkan impak ekonomi berganda daripada kluster pelancongan, dalam peluang pekerjaan dan perniagaan untuk pelabur dan penduduk,” tambah Muhammad Azmi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain