suria

800 perwakilan, 80 negara! Putrajaya bakal jadi tumpuan figura penulisan dan sastera kanak-kanak dunia untuk kongres IBBY ke-38

Kira-kira 800 perwakilan dari 80 negara dijangka menghadiri Kongres IBBY ke-38 yang akan diadakan pada 5 hingga 8 September 2022 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 3.

PUTRAJAYA bakal menjadi tumpuan dunia apabila menjadi tuan rumah kongres sastera untuk kanak-kanak dan anak muda yang paling dinantikan-nantikan pada tahun hadapan.

Kongres Lembaga Antarabangsa Buku untuk Orang Muda (IBBY) yang ke-38 itu akan diadakan pada 5 hingga 8 September 2022 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 3.

Bandar pentadbiran negara ini mengambil alih tugas dari Moscow, Rusia dan akan menjadi bandar pertama di Asia Tenggara dan bandar keempat di Asia yang menjadi tuan rumah kepada kongres ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh rentas daerah ni, apa kata kita pergi ke Putrajaya? Banyak lokasi ‘best’ boleh diterokai, tenang dan damai pula tu!

ARTIKEL BERKAITAN: Putrajaya lebih mampan tak lama lagi! Bakal tarik ramai penduduk, pengunjung dan pelancong dengan inisiatif bandar pintar, hijau

Bayangkan sekiranya semuanya berjalan seperti yang dirancang dan sekatan perjalanan sudah ditamatkan pada masa itu, Putrajaya bakal menyambut kedatangan kira-kira 800 perwakilan yang terdiri daripada penerbit, penulis, pencerita, ilustrator, pendidik dan pencinta buku dari 80 buah negara.

Perwakilan ini akan berada di sini bagi mempromosikan persefahaman antarabangsa melalui buku kanak-kanak, menetapkan sastera dan kesenian pada standard yang tinggi untuk kanak-kanak di seluruh dunia dan menyediakan sokongan serta latihan untuk mereka yang berada dalam bidang ini.

Selain itu, tema 'The Power of Stories' (Kekuatan Cerita) untuk Kongres IBBY 2022 akan meneroka naratif yang dicipta khusus untuk golongan muda, sistem budaya dan pendidikan di seluruh negara.

pjh2
PPj telah merancang program lawatan untuk perwakilan. Antara lokasi unik yang mungkin mereka temui di Putrajaya adalah mural Bangau Oh Bangau ini, ilham lagu kanak-kanak Melayu yang popular.



IBBY sebuah organisasi yang tidak bermatlamatkan keuntungan mentakrifkan orang muda untuk mereka yang berumur 17 tahun ke bawah.

Presiden Majlis Buku Kanak-Kanak dan Remaja Malaysia (MBBY), Datuk Ahmad Redza Ahmad Khairuddin memberitahu kongres tersebut akan membuka peluang untuk pemain industri tempatan terlibat dalam membuat penyediaan untuk kanak-kanak dan orang muda bagi mengetahui lebih lanjut mengenai kesusasteraan yang sesuai, kualiti buku dan cerita, dan membina jambatan persefahaman dan toleransi melalui buku dan cerita, pembacaan dan aktiviti promosi membaca.

"Kita juga dapat berkongsi dan mempamerkan kepelbagaian kisah kanak-kanak dan kisah orang dewasa muda, budaya, buku dan aktiviti-aktiviti membaca.

"Majlis penyampaian anugerah The Hans Christian Andersen, IBBY-Asahi Reading Promotion dan IBBY-iRead Reading Promoter juga akan membolehkan kita melihat sendiri bagaimana pengarang, ilustrator, organisasi dan ‘promoter’ membaca yang hadir bagi menerima penghargaan ini diraikan sekali gus berkongsi tentang pengalaman dan kerja mereka,” katanya.

pjh5
Ahmad Redza berkata kongres akan membuka peluang untuk pemain industri tempatan berkongsi dan mempamerkan cerita kanak-kanak dan golongan muda mereka ke peringkat dunia.



Sebagai penganjur majlis, Ahmad Redza berkata pihaknya telah merancang untuk enam sub-tema dibincangkan dan dilihat secara mendalam oleh para peserta.

Sub-tema tersebut adalah ‘Kekutan Kognitif dalam Perkembangan Kanak-kanak', 'Cerita sebagai Penawar untuk Kanak-kanak', ‘Kekuatan Pembentangan Visual dan Oral dalam Cerita Kanak-Kanak, ‘Merapatkan Jurang Perbezaan dalam Anak-Anak Sastera’,‘Identiti dan Nilai dalam Kesusasteraan Kanak-kanak’ dan ‘Empati dan Memori dalam Cerita dan Penceritaan untuk Kanak-kanak’.

"Perkara-perkara yang dibincangkan seharusnya selaras dengan misi IBBY termasuklah menyediakan kepada kanak-kanak tak kira di mana sahaja dengan peluang untuk mempunyai akses kepada buku dengan standard kesusasteraan dan seni yang tinggi; menggalakkan penerbitan dan pengedaran buku kanak-kanak berkualiti, terutamanya dalam negara sedang membangun; memberi sokongan dan latihan untuk mereka yang terlibat dengan kanak-kanak dan sastera kanak-kanak; dan merangsang penyelidikan dan karya ilmiah dalam bidang kesusasteraan kanak-kanak.

"Kongres ini juga akan membawa bersama kumpulan pakar dari pelbagai bahagian dunia yang terdiri daripada pemenang, pengarang, ilustrator, pengamal, pustakawan, ahli akademik dan penjaga untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dalam bidang bacaan, penulisan, ilustrasi, penceritaan dan bekerja dengan orang muda dalam krisis seperti perang dan bencana alam,” katanya.

pjh3
Siri Eko Cerita Kanak-kanak Putrajaya adalah antara usaha awal PPj untuk berkongsi tentang aspirasi bandar rendah karbon dengan generasi muda bandar ini.



Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain menekankan bahawa sebagai bandar muda, Putrajaya amat menghargai kreativiti dan inovasi, oleh itu sastera tidak seharusnya terhad kepada perpustakaan dan sekolah sebaliknya dipromosikan dalam pelbagai dimensi lain di seluruh bandar.

"Kami berhasrat menarik lebih banyak anak muda untuk menjadi penulis dan ilustrator.

"Sebagai permulaan, dengan bantuan rakan kongsi kami MBBY, kami telah memilih calon berpotensi pada tahun 2021 dan ia masih berterusan.

"Selepas kongres, penulis, ilustrator, ahli akademik, penerbit dan perniagaan yang mempunyai kaitan di Malaysia berpeluang memperoleh banyak manfaat daripadanya, pada masa yang sama melebar hubungan antarabangsa mereka,” katanya.

Menggalakkan pelancongan

Muhammad Azmi berkata ramai tidak sabar untuk menghadiri majlis tersebut setelah terlepas kongres secara fizikal di Moscow, yang sepatutnya diadakan pada September tahun lalu, tetapi ditangguhkan dan akhirnya diadakan secara virtual dari 10 hingga 12 September tahun ini.

Sebagai kongres yang terkenal dengan penganjurannya yang santai, katanya, PPj komited untuk memanfaatkan sepenuhnya kunjungan para perwakilan, dengan merancang pelbagai program lawatan melalui aktiviti pra dan pasca-kongres untuk perwakilan dengan pengiring ditempatkan di dalam dan sekeliling bandar.

"Kami mahu mereka meneroka keunikan bandar ini seperti kehijauan, kawasan perairan, kecanggihan seni bina dan keindahan landskap dan cuacanya.

"Para perwakilan amat digalakkan untuk mengambil gambar dan menyiarkannya di platform media sosial.

"Mereka akan menyaksikan sendiri bagaimana bandar ini menawarkan kemudahan yang hebat untuk mesyuarat dan konvensyen, penginapan dan makanan, dengan lokasi strategik lengkap dengan rangkaian pengangkutan yang menghubungkannya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan ibu negara,” jelasnya.

azmi
Muhammad Azmi berkata acara itu akan menjadi tarikan pelancongan yang hebat untuk Putrajaya.



Tambahnya, mereka juga akan memperoleh pengalaman lestari infrastruktur mesra basikal dan laluan pejalan kaki yang dibina untuk kemudahan seisi sekeluarga.

"Kami ingin mempamerkan budaya dan keindahan kepelbagaian budaya masyarakat kita serta keterhubungan langsung walau di mana sahaja.

"Salah satu hentian di bandar ini akan dihiasai dengan mural yang indah di kawasan ‘waterfront’ di Presint 4, Alamanda Steps di Presint 1 dan laluan pejalan kaki serta terowong di Presint 8 yang direka dengan latar belakang budaya dan tradisi kita.

"Kami juga komited untuk menyediakan pengalaman terbaik melalui keramahan dalam menawarkan kemudahan merangkumi pengangkutan, hotel dan makanan,” katanya.

Muhammad Azmi berkata PPj berharap agar publisiti yang diterima menerusi kongres ini melalui mulut ke mulut akan memberikan kesan jangka masa panjang dan menarik lebih ramai pengunjung untuk ke Putrajaya, sebagai destinasi untuk pilihan untuk percutian santai dan mesyuarat antarabangsa, insentif, persidangan dan pameran.

pjh4

Tema 'The Power of Stories' (Kekuatan Cerita) untuk Kongres IBBY 2022.

Menjelang kongres, katanya PPj juga telah mengaturkan pelbagai aktiviti.

"Kami menganjurkan pertandingan buku cerita dan buku bergambar kanak-kanak sempena sambutan jubli perak Putrajaya, Festival Bercerita Putrajaya virtual yang menampilan lapan penulis prolifik dan ilustrator, termasuk pencerita peringkat antarabangsa terkenal Beatriz Montero yang menyampaikan cerita berjudul The Day Box Boy Saved Putrajaya oleh ilustrator Malaysia C.K. Koh.

"Kami juga melancarkan satu penerbitan khas buku cerita kanak-kanak premium, kerjasama dengan MBBY berjudul Magnificent Putrajaya! Menggunakan lokasi-lokasi di Putrajaya sebagai latar belakang cerita oleh ilustrator dan penulis tempatan yang terkenal; Tabung khas MBBY-Palestin untuk menyokong usaha IBBY dalam menyediakan akses ke perpustakaan dengan bahan bacaan dan kemudahan komputer untuk anak-anak di Gaza; dan bengkel virtual penulisan buku kanak-kanak, ilustrasi dan penceritaan.

"Kami juga akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka bagi mengadakan pertandingan buku cerita kanak-kanak,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai kongres ini, lawati laman web Kongres IBBY ke-38.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain

Pemain EPL ditahan atas 2 dakwaan rogol