suria

Pemilik lega suspek curi pokok viral bernilai RM50,000 ditahan polis, rupa-rupanya jual online!

Rus Majida bersama tiga jenis pokok jenis Monstera bernilai RM50,000 yang dicuri.

MINGGU lalu media sosial gempar seketika apabila seorang wanita memohon bantuan orang ramai bagi mencari individu yang didakwa mencuri tiga pokok kesayangannya bernilai RM50,000.

Maklumat terbaharu yang diterima menyatakan bahawa suspek telah berjaya ditahan pihak polis pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pokok kesayangan bernilai RM50,000 lesap di siang hari, pemilik minta bantuan orang ramai - “Pokok tu tak akan subur di tangan anda”

Pemilik pokok berkenaan, Rus Majida Hassan bagaimanapun berkata, nasib ketiga-tiga pokok kesayangannya iaitu Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon masih tidak diketahui.

"Polis sudah tahan suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

"Buat masa ni saya belum dapat maklumat keadaan pokok macam mana," katanya ketika dihubungi mStar, Khamis.

Lega apabila dimaklumkan mengenai penahanan suspek terbabit, wanita berusia 34 tahun itu berharap agar kes tersebut dapat diselesai dengan segera serta pencuri dikenakan hukuman yang setimpal.

monstera

Pokok Monstera yang dicuri manakala (kiri) dan pasu kosong yang ditinggalkan pencuri.

"Saya rasa lega sebab kes ni dah hampir selesai dan polis berjaya dapatkan bukti-bukti kes untuk tindakan susulan.

"Harapan saya cuma nak kes ni diselesaikan dengan segera dan pencuri dijatuhkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada orang lain yang ada niat untuk lakukan aktiviti yang sama

"Kes curi pokok makin menjadi-jadi sekarang ni," jelasnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mStar mengesahkan penangkapan tersebut.

Katanya, dua orang suspek yang ditahan bertindak menjual serta membenarkan akaunnya digunakan (keldai akaun) bagi proses jual beli pokok berkenaan secara dalam talian.

Polis bagaimanapun sedang mengesan suspek utama kes kecurian pokok itu.

Katanya, suspek berjaya dikesan kerana mempromosikan pokok-pokok tersebut secara dalam talian.

"Kita sedang mengesan suspek utama, iaitu individu yang mencuri pokok terbabit.

"Dua orang suspek yang ditahan adalah individu yang menjualnya serta seorang lagi individu yang membenarkan akaunnya digunakan bagi membolehkan transaksi jual beli secara dalam talian berlaku

"Suspek pertama mengaku membuat iklan untuk jual pokok tersebut di Facebook dan hantar kepada pelanggan menggunakan J&T, manakala suspek kedua menerima bayaran RM3,500 daripada pelanggan," katanya.

Menurut Suffian, polis percaya bahawa pokok berkenaan masih ada dengan pembeli dan usaha kini sedang dijalankan untuk mengesannya.

Kertas siasatan dibuka pada 13 September di bawah Seksyen 379 kanun keseksaan.

mStar pada minggu lalu melaporkan kisah Rus Majida yang kehilangan pokok jenis Monstera yang dijaganya hampir tiga tahun.

Menurut Rus Majida, pokok tersebut agak sukar untuk didapati di nurseri biasa dan saiz pokok yang dicuri juga sangat sukar untuk didapati.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain