suria

Sekolah akan dibuka, anak enggan ke sekolah mungkin petanda ada masalah anxiety - Pakar

Kanak-kanak dan remaja yang enggan berada di tempat awam dan sekolah mungkin mengalami anxiety. (Gambar hiasan) -foto The Star

SESI persekolahan secara bersemuka bakal bermula tidak lama lagi, namun adakah anak anda mengelak untuk pergi ke sekolah?

Sebelum memarahi mereka, ibu bapa perlu sedar bahawa ini mungkin petanda awal anak mereka sedang mengalami sindrom kebimbangan melampau atau anxiety.

Bercakap kepada mStar, pakar psikologi Profesor Dr Aili Hanim Hashim berkata seseorang yang mengalami masalah kebimbangan melampau akan berusaha untuk menghindari diri mereka daripada berada dalam situasi, tempat atau menerima sesuatu rangsangan yang boleh menimbulkan keresahan pada mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Bulu mata lentik semacam, wanita ini dedah guru pernah lap matanya di perhimpunan sekolah... adakah ‘terkenan’ Siti Nurhaliza?

ARTIKEL BERKAITAN: Sibuk jaga anak di rumah... Sharnaaz pelik gosip putus dengan Azira, tengah ‘try’ Fify Azmi - “Banyak isu lain, jangan bebankan kepala netizen”

Bentuk-bentuk penghindaran ini termasuk bersikap teragak-agak, tidak pasti atau menarik diri.

Enam jenis anxiety

Dr Aili yang bertugas di Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata terdapat beberapa jenis anxiety iaitu separation anxiety (takut sesuatu berlaku apabila terpisah dengan individu rapat seperti ibu bapa), generalised anxiety (rasa risau yang pelbagai), social phobia (takut dan mengelak daripada interaksi dan aktiviti sosial), specific phobia (takut akan sesuatu seperti binatang), panic disorder (serangan panik secara tiba-tiba dengan gejala fizikal) dan agoraphobia (takut akan berhadapan dengan situasi yang menyebabkan agoraphobic seperti tempat bertutup).

“Kebiasaannya semua jenis gangguan kebimbangan ini berlaku disebabkan perasaan dominan atau bayangan bahawa sesuatu bahaya akan berlaku dan hasilnya seseorang itu akan berasa risau yang melampau, berfikiran negatif dan cemas.

“Golongan kanak-kanak dan remaja yang mempunyai anxiety akan turut mengalami gejala fizikal, selaras dengan peningkatan rasa takut mereka dan kebiasaannya gejala fizikal ini termasuk sakit kepala, sakit perut, loya, muntah, cirit birit dan kekejangan otot,” katanya.

Menurut Dr Aili, kanak-kanak dan remaja anxiety akan alami sakit kepala, sakit perut, loya, muntah, cirit birit dan kekejangan otot.

Mengulas lanjut, Dr Aili menjelaskan kanak-kanak dan remaja juga sering kali mengalami masalah tidur, kelihatan gementar, mengelak daripada pergi ke sekolah dan berasa lebih sihat apabila berada di rumah.

“Terdapat beberapa senario yang sering saya jumpa. Antaranya pelajar terbabit mungkin kurang cemerlang dari segi pendidikan dan namanya sering disebut guru di dalam kelas sehingga dia ditertawakan rakan-rakan, atau pelajar tersebut dihukum guru kemudian ditertawakan murid lain.

“Kedua-dua situasi ini menyebabkan pelajar berkenaan berasa resah dan timbul persoalan seperti: 'Bagaimana kalau aku dimarahi lagi? Adakah aku akan dihukum atau ditertawakan lagi?' akan bermain di minda mereka.

“Rasa resah ini akan berlanjutan sehingga mendorong pelajar terbabit mengelak daripada pergi ke sekolah selain menjauhi rakan-rakannya, atau apa sahaja situasi yang boleh menimbulkan keresahan pada mereka.



Kanak-kanak yang mengalami anxiety berasa lebih selesa apabila berada di rumah. (Gambar Hiasan)

Selain itu tambah Dr Aili, pelajar yang menjadi mangsa buli pula, mereka bukan sahaja mengalami masalah kebimbangan, bahkan mereka juga akan hilang keyakinan diri.

Pergaduhan ibu bapa boleh menyebabkan anak-anak alami anxiety

Menurutnya lagi, selain di sekolah, situasi di rumah juga boleh mempengaruhi keadaan mental kanak-kanak.

“Satu lagi senario yang sering berlaku adalah apabila anak-anak melihat ibu bapa sering bergaduh di rumah.

“Keresahan yang timbul pada peringkat permulaan akan berlanjutan sehingga sampai satu tahap yang mana kanak-kanak ini akan berasa resah setiap kali dia mendengar suara kuat.

“Situasi ini juga akan menyebabkan kanak-kanak mengelak daripada pergi ke sekolah kerana bimbang akan apa yang akan berlaku di rumah ketika ketiadaan mereka,” jelasnya.

Situasi di rumah mampu mempengaruhi keadaan mental kanak-kanak. — (Gambar Hiasan)

Anxiety masalah kesihatan, bukan penanda aras tahap agama

Tegas Dr Aili, masyarakat bagaimanapun perlu sedar bahawa kebimbangan melampau ini merupakan masalah kesihatan dan ia bukanlah tanda aras kepercayaan atau tahap agama seseorang.

Katanya apabila seseorang itu pernah mengalami anxiety, mereka tidak memerlukan sebarang pencetus lain, sebaliknya memori asal itu sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu diserang kebimbangan pada masa akan datang.

“Sekiranya tidak ditangani, kebimbangan ini akan berterusan, ia mungkin akan hilang sebentar sebelum kembali semula.

“Sampai satu tahap ia boleh membawa kepada tekanan perasaan,” katanya.

Stigma masyarakat mengenai masalah mental juga tidak membantu malah menyebabkan pesakit dan keluarga mengelak daripada mendapatkan bantuan. Ini tidak membantu malah boleh menyebabkan kondisi seseorang itu bertambah teruk.

PROFESOR DR AILI HANIM HASHIM

Pakar Psikologi Kanak-Kanak

Menurut Dr Aili, data sains dan perubatan menunjukkan bahawa kebimbangan melampau ini boleh berlaku disebabkan faktor genetik serta persekitaran yang menyebabkan kanak-kanak serta remaja itu berasa resah atau tertekan.

Tambahnya, kanak-kanak serta golongan dewasa yang mengalami masalah kebimbangan ini perlu diberi ruang untuk mendapatkan rawatan.

“Ada beberapa jenis rawatan yang kebiasaannya diberi secara bersama, antaranya ubat-ubatan dan kaunseling.

“Rawatan akan diberikan bergantung kepada pilihan pesakit dan anggota keluarga, tahap kronik mereka serta sejauh mana pesakit inginkan pertolongan serta berubah,” katanya.

Dr Aili berkata, ada juga pesakit yang takut serta risau dengan kesan penggunaan ubat-ubatan yang diberikan berbanding kesan daripada masalah anxiety yang dialami mereka.

“Stigma masyarakat mengenai masalah mental juga tidak membantu malah menyebabkan pesakit dan keluarga mengelak daripada mendapatkan bantuan.

“Apabila kondisi seseorang itu bertambah teruk, orang ramai lazimnya akan menyalahkan pesakit kerana tidak berusaha untuk mendapatkan rawatan. Jadi, menjauhi diri hanya memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain