suria

Dah boleh rentas daerah ni, apa kata kita pergi ke Putrajaya? Banyak lokasi ‘best’ boleh diterokai, tenang dan damai pula tu!

Antara pemandangan pada waktu petang di Putrajaya... Tengok tu... tenang dan damai sekali. Foto: mStar

Dikemas kini pada 10 September 2021

CARA terbaik untuk melancong dan meneroka mana-mana bandar adalah dengan berjalan kaki.

Pada ketika itulah anda dapat melihat dan menghargai sesebuah kawasan dari pelbagai aspek, dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besar perkara menarik yang ada di sekeliling anda.

Menyedari hakikat ini, Putrajaya bersedia untuk menjadikan aktiviti riadah berjalan kaki dan berbasikal sebagai salah satu tarikan dan mampu memberikan pengalaman baharu di bandar ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Perbadanan Putrajaya (PPj) Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, penambahbaikan infrastruktur untuk pejalan kaki sedang dilakukan sekali gus menyokong hasrat bandar itu untuk mengurangkan pelepasan karbon.

“Putrajaya, yang merupakan sebuah bandar terancang memang terserlah kehijauan dan keindahan seni binanya.

"Setelah 25 tahun, kami berhasrat menambah ciri-ciri yang lebih baik dan serta menggunakan segenap ruang yang ada untuk menonjolkan warisan budaya dan identiti negara," katanya.

pjaya2

Penunggang basikal di bandar pentadbiran ini mempunyai laluan sepanjang 38km dengan pemandangan tasik yang menakjubkan.

Tengku Aina berkata, beriadah di taman misalnya boleh dijadikan sebagai satu aktiviti pembelajaran, terutama untuk keluarga yang mempunyai anak kecil.

"Sejumlah arca bercahaya telah dirancang untuk diletakkan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Arca polyhedron akan dibina di perkarangan kompleks PPj. Ia dihasilkan menggunakan plat keluli tahan karat yang dipotong menggunakan laser, inspirasi corak dan geometri Islam dengan lampu LED di bahagian dalamnya mampu memantulkan bayang indah di bawah langit malam.

"Arca lain termasuklah jam matahari di Kiblat Walk berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Ini bertujuan menonjolkan Kiblat Walk dengan estetika Islam dengan menggabungkan elemen sejarah, sains, seni dan pengetahuan Islam," katanya.

Tidak terhenti di situ, terdapat dua lagi arca yang dirancang berhampiran Monumen Millenium, iaitu bunga raya dan wau.

"Simbol-simbol kebangsaan ini akan ditempatkan berhampiran monumen yang diilhamkan dari bunga raya, yang melambangkan sejarah negara dan Rukun Negara.

"Ini mampu menjadi tumpuan pengunjung dan menawarkan lokasi bergambar yang menarik," tambahnya.

Berjalan dan berbasikal dengan mudah

Bagi mereka yang tidak biasa dengan bandar ini, papan petunjuk arah dengan peta serta panel informasi akan ditempatkan di sepanjang laluan bagi membantu para pejalan kaki menuju ke arah mercu tanda utama dengan mudah.

Tengku Aina berkata, kira-kira 20 bangunan telah dikenal pasti dan mana-mana yang mempunyai kisah serta nilai di sebaliknya akan diletakkan kod QR, supaya pelancong boleh mengimbasnya untuk mengetahui maklumat dengan lebih lanjut.

mural

Kisah menarik di sebalik mural ini dapat diketahui apabila pengunjung membuat imbasan kod QR.

"Bangku akan dibina sepanjang laluan di pinggir tasik untuk membolehkan pejalan kaki menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan bandar.

"Malah banyak idea diserapkan dalam menghasilkan reka bentuk bangku-bangku ini.

"Akan ada bangku modular, juga yang diperbuat daripada kerikil dan konkrit, sesuai dengan suasana di pinggir tasik.

"Pondok-pondok juga akan dibina di beberapa lokasi di Precinct 2 dan 4.

"Semua rancangan dijangka siap hujung tahun ini," ujar Tengku Aina.

Selain itu, katanya, aktiviti berbasikal juga digalakkan yang mana laluan khas sepanjang 18km kini berada di fasa percubaan dan hab berbasikal Pit-Hentian@Anjung Floria yang dirancang di Precinct 4 bakal siap.

Air Pancut Putrajaya

pjaya3

Salah satu tarikan terbaharu adalah Air Pancut Putrajaya yang siap pada Oktober tahun lalu.

Air Pancut Putrajaya yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu dapat dilihat di Precinct 1 dan 8.

Pancutan air yang ketinggiannya mencecah 80 meter itu bagaimanapun bukanlah sekadar air pancutan biasa.

Ia berfungsi sebagai sistem destratifikasi untuk mengudarakan air yang bertakung di tasik dan meningkatkan kandungan oksigen, bagi mengelakkan pencemaran.

Hab sukan

Putrajaya sememangnya terkenal sebagai penganjur acara antarabangsa dan kebangsaan.

Sebagai contoh, tasik Putrajaya menjadi lokasi untuk acara sukan air antarabangsa, Taman Ekuestrian menjadi lokasi untuk acara sukan lasak semasa Sukan SEA begitu juga ragbi dan lain-lain.

Jambatan Seri Gemilang tersergam indah dengan hiasan emas dan hitam mengikut model Point Alexandre III di Paris.

Jambatan Seri Gemilang tersergam indah dengan hiasan emas dan hitam mengikut model Point Alexandre III di Paris.

Dengan pembangunan pusat pentadbiran kerajaan yang hampir siap, pentadbir bandar ini mahu menambah baik fasiliti sukan, dengan projek bertaraf antarabangsa sedang dalam perancangan iaitu sebuah stadium bola sepak dan stadium ragbi.

Tengku Aina berkata Persekutuan Bola Sepak Asean, Konfederasi Bola Sepak Asia dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menandatangani memorandum persefahaman untuk membangunkan Bandar Bola Sepak Sultan Ahmad Shah di Precinct 5.

"Bandar Bola Sepak ini mempunyai stadium dengan 10,000 tempat duduk dan ibu pejabat FAM untuk pasukan kebangsaan dan kegunaan awam.

Bandar taman, jambatan dan cahaya

Putrajaya dibangunkan dengan konsep 'bandar dalam taman' yang mana 38 peratus kawasan ini diliputi kawasan hijau termasuk 600 tasik buatan manusia dan 12 buah taman.

Tengku Aina memberitahu terdapat banyak taman di sini, namun tasik yang paling banyak dikunjungi adalah Taman Wetlands Putrajaya, Taman Botanical Putrajaya dan Taman Saujana Hijau.

"Namun setiap taman kita mempunyai keunikan yang tersendiri.

"Pengunjung hanya akan mengetahuinya setelah menjelajahi setiap kawasan dan sudut.

"Sebagai contoh, terdapat pantai dengan tasik kerikil di Taman Wawasan.

"Berjalan sambil bersiar di sepanjang laluan joging membolehkan anda akan melihat barisan pokok kelapa menuju ke pantai. Terdapat juga gazebo untuk berehat dan bersantai," katanya.

pjaya4

Tengku Aina berkata penambahbaikan infrastruktur juga membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Lampu jalanan di Putrajaya pula dihias mengikut tema di samping menyediakan pancaran iluminasi untuk pengunjung yang keluar malam untuk bersantai.

"Tidak ramai yang sedar bahawa banyak yang difikirkan untuk rekaan lampu jalanan ini.

"Jalan-jalan terpilih diletakkan lampu dengan tema tertentu seperti fauna, obor, wau, keris dan flora," tambahnya.

Memandangkan bandar ini mempunyai banyak aliran air, terdapat sembilan jambatan unik yang dibina merentasinya.

seri saujana

Jambatan Seri Saujana amat berseri terutama pada waktu malam.

Jambatan Seri Saujana merupakan pilihan kebanyakan jurugambar. Ia dibina menggunakan teknologi canggih 'cutting-edge' dan yang pertama di dunia dengan gabungan sistem struktur lengkungan dan kabel.

Pilihan lain termasuklah Jambatan Seri Gemilang berwarna emas dan hitam mengikut model seperti Pont Alexandre III di Paris, jambatan tambatan kabel Seri Wawasan yang kelihatan seperti perahu layar dan juga Jambatan Putra, yang diilhamkan dari Jambatan Khaju di Isfahan, Iran.

Jambatan dan bangunan ikonik ini mempunyai persamaan yang mana kedua-duanya dihiasi dengan lampu yang menakjubkan.​.

Pada tarikh penting seperti Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah, bandar ini akan menyaksikan kesemua bangunan dan jambatan seolah-olah 'hidup' pada waktu malam.

Dalam pada itu langkah kerajaan membenarkan peralihan ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), untuk kawasan Lembah Klang membabitkan negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 10 September 2021 dapat memberi peluang kepada individu yang sudah mendapatkan 2 dos suntikan vaksin Covid-19 menjalankan aktiviti dengan lebih luas.

Justeru, apa kata anda menjadikan cuti hujung minggu dengan memilih Putrajaya sebagai destinasi keluarga untuk beriadah dengan menikmati pemandangan menarik serta pelbagai keistimewaan yang disediakan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain