suria

7 destinasi eko-pelancongan yang boleh anda kunjungi selepas pandemik

Gua Datok Boga yang terletak di Sunway Lost World of Tambun.

SEPERTI kucing dapat tikus, pasti ramai yang teruja apabila mendengar berita Pulau Langkawi boleh dilawati sekiranya anda sudah lengkap menerima 2 dos vaksin.

Ada juga yang sudah memikirkan destinasi yang harus dilawati selepas berakhirnya pandemik setelah sekian lama terperap di rumah.

Berbicara mengenai pelancongan dan percutian, perkara pertama yang terlintas di fikiran semestinya 'Food Hunting', aktiviti mencari makanan tempatan atau 'Must Try' sebaik sampai di lokasi yang dikunjungi.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 destinasi Instagramable di Malaysia yang boleh anda kunjungi selepas habis lockdown

Kedua ialah 'Insta Worthy' aktiviti bergambar berlatar belakangkan ikon atau panorama yang menarik untuk dimuatnaik dalam media sosial.

Pintasan Saloma dan Penang Street Art merupakan salah satu lokasi terkenal sebelum ini. Tetapi bagi pengembara “backpacker”, jurugambar profesional dan pencinta alam mereka lebih tertarik dengan keindahan alam dan budaya.

Eko-pelancongan merupakan cara terbaik untuk meraih pengalaman tersebut di samping merehatkan minda dari hiruk pikuk tugas harian sambil memelihara keseimbangan biodervisiti alam dan menyumbang kesejahteraan komuniti setempat.

The International Ecotourism Society mendefinisikan eko-pelancongan sebagai aktiviti pelancongan yang bertanggungjawab memelihara kawasan semula jadi dan alam sekitar di samping mengekalkan kebajikan masyarakat tempatan serta melibatkan interpretasi dan pendidikan.

Senarai prinsip yang boleh dijadikan panduan sebelum sesuatu destinasi itu diiktiraf sebagai eko-pelancongan antaranya adalah;

1. Mengurangkan impak fizikal, sosial, tingkah laku dan psikologi

2. Bina kesedaran alam sekitar dan budaya berserta rasa hormat

3. Memberi pengalaman yang positif bagi pelawat dan tuan rumah

4. Menghasilkan faedah kewangan secara langsung untuk pemuliharaan

5. Menjana faedah kewangan untuk warga tempatan dan industri swasta

6. Menyampaikan interpretasi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pelawat yang membantu meningkatkan kepekaan terhadap iklim kemasyarakatan, persekitaran dan politik negara tuan rumah

7. Merancang, membina dan mengendalikan kemudahan berimpak rendah dan

8. Kenali hak kepercayaan rohani dalam komuniti orang asli dan bekerjasama dengan mereka untuk mewujudkan pemerkasaan.

Eko-pelancongan adalah pelancongan lestari secara ekologi yang memupuk pemahaman, penghargaan dan pemuliharaan alam sekitar dan budaya.

Tujuan Eko-pelancongan adalah untuk mendidik para pelancong, menyediakan dana untuk pemuliharaan ekologi, bagi memberi manfaat secara langsung kepada pembangunan ekonomi dan pemerkasaan politik masyarakat setempat atau untuk memupuk rasa hormat terhadap budaya yang berlainan dan hak asasi manusia.

Di Malaysia sendiri terdapat banyak tempat eko-pelancongan yang anda boleh lawati, seperti cadangan berikut.

Titi Gantung Lembah Danum, Sabah

Merentas Titi Gantung Lembah Danum, Sabah

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Lembah Danum seperti mendaki, bermain tubing air, mengharungi cabaran “night walking” dan melihat keindahan hutan dari menara kanopi. Aktiviti tidak akan lengkap tanpa merentas hutan di atas titi gantung sepanjang 100 meter di atas pokok dan menaiki pacuan 4 roda untuk ke destinasi bagi habitat ratusan haiwan.

Bagi pencinta alam dan hidupan liar, Lembah Danum merupakan kawasan tadahan luas dan juga menjadi syurga khazanah hidupan liar seperti Orang Utan, harimau dahan, badak sumbu Sumatra, gajah, rusa, enggang dan lebih dari 300 spesies burung.

Gua Mulu Taman Negara Gunung Mulu

Terokai Gua Mulu Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak

Gua Mulu, yang terletak di Taman Negara Gunung Mulu di kepulauan Borneo, Sarawak adalah rumah bagi kamar gua terbesar di dunia (Sarawak Chamber) mengikut luas permukaan dan juga salah satu laluan gua terbesar di Bumi (Deer Cave).

Gua ini adalah salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO yang ikonik dan gua-gua ini merupakan mercu tanda Mulu, Sarawak.

Ladang Teh

Menghirup Teh di Tanah Tinggi Cameron, Pahang

Terletak di hujung barat laut Pahang. bukit yang terkenal dengan cuaca dingin ini merupakan tempat pelancongan tertua di Malaysia. Tanah Tinggi Cameron terkenal dengan hasil pertaniannya kerana memiliki tahap kelembapan rendah dan iklim yang sejuk.

Selain ladang teh dan kebun strawberi, Cameron Highlands juga memelihara ciptaan alam semulajadi yang indah mimik filem fantasi "The Land of The Hobbits" iaitu Mossy Forest of Coral Hill untuk pelancong merasai keunikan alam yang misteri.

Pulau Perhentian

Menyelam bersama Penyu di Pulau Perhentian, Terengganu

Bagi mereka yang suka berjemur di tepi pantai dan berenang di lautan jernih bak kristal, Pulau Perhentian di Daerah Besut, Terengganu semestinya menjadi pilihan utama.

Selain dua pulau utama iaitu Perhentian Besar dan Perhentian Kecil di kepulauan itu, terdapat lima buah pulau lain yang tidak berpenghuni dan dianggap sebagai syurga bagi penyelam dan peminat aktiviti snorkeling.

Terdapat juga pantai berpasir halus yang menakjubkan seperti pantai di pulau Rawa, Serengeh dan Tokong Burung.

Burung Parit Jawa

Melihat Burung di Parit Jawa, Johor

Terkenal sebagai tempat persinggahan pelbagai spesies burung pada bulan Oktober sehingga Mac, Parit Rawa sering menjadi tumpuan bagi permerhati burung atau “Bird Watch” yang datang hanya untuk melihat sendiri keunikan burung-burung di persisiran pantai daerah Muar Johor ini.

Jika anda ingin berkunjung ke sini jangan lupa untuk merasa masakan Asam Pedas Muar di Pantai Leka yang terletak berhampiran.

DCIM100MEDIADJI_0022.JPG

Sunway Theme Parks – Sunway Lagoon dan Sunway Lost World Of Tambun

Anda pasti hairan mengapa dua taman tema utama Malaysia ini tersenarai dalam carta ini. Percaya atau tidak, kedua-dua taman tema yang banyak memenangi anugerah ini merupakan salah satu tempat eko-pelancongan yang giat menjayakan program-program berasaskan “Sustainable Development Goals” (SDG).

Pada tahun 2016, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memperkenalkan 17 koleksi matlamat global Sustainable Development Goals (SDG) yang saling berkaitan satu sama lain bagi membina rangka tindakan masa depan yang lestari dan jauh lebih baik untuk semua masyarakat.

PBB juga menanam harapan agar matlamat ini dapat dicapai menjelang tahun 2030. Matlamat-matlamat SDG ini tentu sekali berkait dan dapat dimanfaatkan dengan eko-pelancongan.

Sunway Lagoon - Gibbon Island (3)

Luangkan masa bersama keluarga di Sunway Lagoon, Selangor

Sejak dibuka pada tahun 1992, Sunway Lagoon merupakan salah satu taman tema terbesar dan terkenal di negara ini. Dengan jumlah tarikan yang terus berkembang demi memenuhi keperluan semua peringkat usia dan berkeluasan lebih dari 88 ekar, ia adalah taman tema hiburan pertama yang dibina 150 kaki dari permukaan bawah tanah di tapak bekas pelombongan bijih timah.

Bagi memastikan kelangsungan tapak taman tema ini sebuah kajian ekstensif telah dijalankan pada tahun 2010 dan sistem "Clean-Flo" diperkenalkan untuk mengubah kolam menjadi keadaan eutrofik dan pembalikkan degradasi.

Tahun lepas Sunway Lagoon telah membina habitat siamang di sebuah pulau buatan manusia yang dinamakan "Upcycled Floating Island".

Pulau ini dibina hasil dari penggunaan bahan-bahan buangan kitar semula seperti styrofoam, botol plastik dan tong klorin. Keunikan ciri-ciri pulau terapung ini memerlukan perkerja zoo yang menjaga siamang berkenaan menaiki bot untuk melakukan tugas harian mereka.

Sunway Lagoon Lake

Sunway Lagoon dibuka sejak 1992.

Pada tahun 2019, Sunway Lagoon telah melaksanakan “No Single-Use Plastic Policy” dan telah beralih dari penggunaan plastik sekali guna dalam menuju perlindungan hidupan laut dan lautan. Taman tema ini juga telah berusaha mengurangkan sampah ke tempat pembuangan sampah dengan mengasingkan barang-barang yang boleh dikitar semula ke tong kitar semula.

Tong sampah yang sekian ada di sekitar taman tema telah diperbaharui dan digantikan menjadi tong hijau untuk tin aluminium dan botol plastik dan tong kuning untuk sampah sarap. Langkah ini diambil supaya dapat mendidik pengunjung ketika mereka berada di taman tema.

Meskipun berdepan dengan situasi sukar dan gentir di ambang pandemik namun ia tidak sesekali mematahkan motivasi Sunway Lagoon untuk meneruskan misi 17 matlamat global SDG menjelang tahun 2030.

Sunway Lost World Hot Springs

Berendam di kolam air panas di Sunway Lost World Of Tambun, Perak

Tidak seperti taman tema lain, Sunway Lost World Of Tambun di Perak menawarkan pengunjung untuk memanjakan diri di kolam air panas semula jadi dari siang sampai ke malam.

Lebihan air panas yang tidak digunakan, kemudiannya akan disimpan dan dibiarkan sejuk di dalam tangki sebelum dialihkan ke dalam kolam air yang lain.

Dikelilingi hutan tropika yang menghijau dan batu kapur berusia 260 juta tahun yang mempersona, di samping memelihara gua-gua besar dan kecil, taman tema yang mempunyai pelbagai daya tarikan ini menjadi tempat percutian utama lawatan eko-pengembaraan yang unik untuk pengunjung dari semua peringkat usia.

Terdapat juga tempat penginapan berkonsepkan “Staycation” iaitu Lost World Glamping di mana pengunjung boleh beristirehat bersama keluarga sambil terpegun dengan keunikan “Needle Of Tambun” iaitu menara batu kapur semula jadi tersergam indah setinggi 140.5 meter yang di iktiraf sebagai salah satu tapak warisan geologi “Geopark” oleh Jabatan Mineral & Geologi Negeri Perak.

Sunway Lost World Of Tambun - Malayana Rainfortress

Antara tarikan di Lost World of Tambun, Perak.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Seiring dengan motif eko-pelancongan, “Staycation” bermaksud percutian yang dilakukan di rumah atau melawat ke kawasan tarikan tempatan di dalam negara sendiri. Konsep percutian ini berpotensi mengurangkan pencemaran alam sekitar disebabkan pengunaan bahan bakar petrol yang kurang, disamping juga dapat menjana kestabilan ekonomi tempatan dan nasional.

Ia akan membantu pembangunan masyarakat setempat dalam menyediakan sumber kehidupan alternatif lebih lestari kepada rakyat tempatan.

Ramai yang sudah melihat eko-pelancongan sebagai salah satu cara bijak dan terbaik untuk melindungi persekitaran alam semula jadi serta mewujudkan faedah sosial dan ekonomi untuk masyarakat tempatan. Jadi, tempat eko-pelancongan yang manakah akan anda lawati selepas berakhirnya pandemik ini?

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ular sawa menyorok bawah katil kanak-kanak