Di sebalik balingan kidal, siapa sangka Rafiq si kaki pancing, minat ke dapur - Personaliti Sukan | mStar

Di sebalik balingan kidal, siapa sangka Rafiq si kaki pancing, minat ke dapur

KEHEBATAN hayunan tangan kidal jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail tidak boleh disangkal lagi dan sering digeruni lawan.

Malah teknik tersebut turut memberi inspirasi kepada atlet lain untuk melakukan balingan emas dalam beberapa kejohanan utama.

Namun Muhammad Rafiq atau lebih mesra disapa Rafiq bukanlah si kidal malah segala kerja dilakukan menggunakan tangan kanan.

“Saya hanya menggunakan tangan kiri semasa bermain boling. Segalanya bermula apabila saya diajar oleh abang untuk melakukan balingan menggunakan tangan tersebut.

“Sejak itu, balingan tangan kiri saya menjadi lebih kuat dan saya lebih selesa menggunakan tangan tersebut sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Rafiq gemar memancing.

Disebalik hayunan kencang Rafiq, tidak ramai tahu anak keempat daripada lima beradik ini merupakan seorang kaki pancing.

Menurut Rafiq, dia gemar memancing bersama bapa dan adik-beradiknya yang lain sekiranya ada masa terluang.

“Saya memang minat memancing. Kali pertama saya pergi memancing ketika berusia 10 tahun. Masa mula-mula memancing di laut dalam saya tak ada mabuk (laut) tapi cuma pening-pening sedikit.

“Setiap kali bila tak ada apa-apa latihan dan kejohanan saya akan pergi memancing dengan bapa dan kadang-kadang dengan kawan boling yang lain. Kami akan naik bot pergi memancing di laut dalam dekat Kuantan.

Kalau tak dapat ke laut saya akan memancing di kolam. Janji dapat lepas gian. Ikan paling besar pernah saya dapat ikan GT seberat 13 kilogram pada awal tahun lalu.

MUHAMMAD RAFIQ ISMAIL

Jaguh boling negara

“Biasa kami pergi pagi Sabtu dan Ahad tu balik sebab Isnin dan kembali berlatih. Itulah satu cara nak meluangkan masa dengan keluarga. Lagipun memancing boleh memenangkan minda,” katanya.

Rafiq berkata antara ikan yang pernah diperolehinya semasa memancing di laut dalam termasuklah jenahak, siakap dan parrot. Jika masa tidak mengizinkan Rafiq untuk turun ke laut dalam, dia akan melepaskan gian memancing di kolam pancing berbayar.

“Kalau tak dapat ke laut saya akan memancing di kolam. Janji dapat lepas gian. Ikan paling besar pernah saya dapat ikan GT seberat 13 kilogram pada awal tahun lalu.

“Hilang stress apabila dapat ikan besar. Saya pun tak sangka boleh dapat ikan sebesar tu. Lagipun saya hanya guna teknik biasa. Tapi kadang-kadang tu tak dapat juga ikan,” katanya.

Rafiq sentiasa menghabiskan masa lapangnya bersama keluarga dengan aktiviti memancing.

Dalam pada itu, Rafiq juga mendedahkan dia pernah bercita-cita menjadi juruterbang sekiranya tidak bergelar atlet boling.

“Tapi cita-cita tu tak kesampaian dan saya pun tak layak. Kalau saya tak aktif dalam sukan boling, saya mungkin teruskan perniagaan katering keluarga saya.

“Lagipun saya pun minat memasak. Bila ada masa saya akan masak steak dan kadang-kadang saya buat pencuci mulut untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.

Jelas atlet kelahiran Ampang, Kuala Lumpur ini, minatnya terhadap sukan boling berputik sejak berusia empat tahun.

“Saya sentiasa ikut kedua ibu bapa saya ke kafe kami yang terletak di Flamingo, Ampang. Hari demi hari saya cuba main boling, lama kelamaan saya jadi minat.

“Memandangkan abang saya juga seorang pemain boling negeri, dia selalu main dan bawa saya bersama. Dari situ dia nampak bakat saya dan dia upah jurulatih untuk saya sewaktu berusia enam tahun,” katanya.

Rafiq , boling

Artikel Lain