Ann ‘Anthena’ garang di pentas MMA tapi hatinya mudah tersentuh bersama insan serba kekurangan - Personaliti Sukan | mStar

Ann ‘Anthena’ garang di pentas MMA tapi hatinya mudah tersentuh bersama insan serba kekurangan

NAMA Ann Osman tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia seni mempertahankan diri campuran (MMA).

Lebih dikenali dengan gelaran Ann 'Anthena' atau nama penuhnya Nur Ain Osman, beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA, ONE Fighting Championship (ONE FC) dan telah berlatih selama dua tahun dalam sukan ini.

Ann mempunyai latar belakang yang kukuh dalam seni mempertahankan diri Muay Thai dan telah mendapat latihan daripada jurulatihnya, AJ 'Pyro' Lias Mansor sebelum ini.

Mula bergiat aktif secara profesional bermula 2013, Ann membuka lembaran sejarah dan mencari perintis wanita dalam industri sukan seni mempertahankan diri.

Namun selepas beberapa tahun mencipta nama di peringkat antarabangsa, wanita berusia 32 tahun ini mengumumkan persaraan pada November 2017.

Walaupun sudah bersara sebagai pejuang, Ann, tidak terus meninggalkan dunia MMA dan mahu menjadi inspirasi kepada ribuan rakyat Malaysia melalui tugas baharunya sebagai Pegawai Bahagian Perhubungan Atlet di ONE Championship dan Duta Global Citizen.

Aksi Ann ketika berdepan dengan lawan ketika aktif di pentas MMA.

“Saya mempunyai alasan tersendiri kenapa saya melakukan semua ini.

“Jika apa yang saya lakukan sepanjang karier ini telah memberi inspirasi kepada orang ramai, maka, saya percaya mampu melakukan perkara sama di luar gelanggang.

“Saya sentiasa cuba memberi inspirasi dan membantu orang di sekeliling. Sebab saya percaya, apa yang kita beri pasti akan dapat kembali.

“Dunia hari ini memerlukan lebih banyak insan yang melahirkan sifat positif. Sama seperti ribuan rakyat Malaysia yang memberikan saya inspirasi setiap kali melangkah masuk ke pentas ONE Championship. Sekarang giliran saya untuk memberi sokongan kepada orang lain," jelas bekas atlet kelahiran Sabah ini.

Pada Januari 2018, One Championship mengumumkan kerjasamanya dengan Global Citizen.

Global Citizen merupakan organisasi sokongan antarabangsa bertujuan membasmi kemiskinan melampau di seluruh dunia menjelang 2030.

Ann terus aktif menjalani latihan biarpun sudah bersara dari kandang lawan.

Selain Ann, beberapa duta Global Citizen di ONE Championship, termasuk Agilan 'Alligator' Thani, 'Unstoppable' Angela Lee, Brandon 'The Truth' Vera dan Aung La 'The Burmese Python' N Sang.

Apa yang pasti, dia sangat berbesar hati dipilih untuk bersama atlet sukan seni mempertahankan diri yang lain dalam membantu golongan yang tidak berkemampuan.

“Saya belajar bahawa kita sebenarnya tidak perlu mengeluarkan wang untuk membantu sesiapa. Apa yang saya kecapi sekarang tidak mudah, malah saya juga pernah menempuhi pelbagai rintangan dan liku hidup.

“Hidup ini tidak mudah dan banyak yang sudah saya lalui. Oleh itu, diberi kesempatan seperti ini di samping atlet-atlet bertaraf dunia yang lain, adalah satu ganjaran untuk saya,” katanya.

Perintis sukan seni mempertahankan diri Malaysia itu turut berkongsi pengalaman yang menyentuh hatinya ketika bersama Global Citizen.

“Kami pergi ke sebuah yayasan di Kuala Lumpur dan saya mengajar kelas asas seni mempertahankan diri. Tiba-tiba datang seorang anak kecil dan bertanya apa yang perlu dilakukan sekiranya berada dalam situasi tertentu.

“Secara tidak langsung budak itu menunjukkan bahawa hidupnya sentiasa terdedah kepada bahaya dan itu membuatkan saya menitiskan air mata.

"Namun melihat mereka masih mampu tersenyum walaupun berdepan kesusahan hidup, itu adalah perkara yang tidak mampu dibeli dengan wang," jelasnya yang akan terus memberi inspirasi terutamanya kepada golongan wanita supaya jangan takut untuk menceburi seni mempertahankan diri.

Ann Osman

Artikel Lain