Tak sanggup berjauhan dengan famili, Pelumba Terbaik Asia tinggalkan dunia lebuh raya untuk bergelar chef - Personaliti Sukan | mStar

Tak sanggup berjauhan dengan famili, Pelumba Terbaik Asia tinggalkan dunia lebuh raya untuk bergelar chef

Chef Adiq menunjukkan kepakarannya memasak.

SEBELUM ini hidupnya tak kira panas atau hujan mengayuh basikal di serata dunia untuk bersaing acara lebuh raya, kini Muhammad Adiq Husainie Othman telah menutup diari bergelar atlet profesional.

Selepas 10 tahun bergelar atlet profesional, pelumba kelahiran Dungun, Terengganu ini mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia perlumbaan yang sudah sebati dengan dirinya itu.

Bagi Adiq,27, bukan mudah untuk membuat keputusan tersebut memandangkan separuh daripada hidupnya dihabiskan di lebuh raya.

Adiq Pelumba Terbaik Asia 2016.

“Ya, bukan mudah memandangkan sejak di usia remaja lagi basikal menjadi sebahagian daripada hidup saya. Jatuh bangun sepanjang sedekad ini membuatkan kehidupan saya lebih matang.

“Tetapi apabila sampai satu tahap, saya perlu buat keputusan terbaik dalam hidup, lebih-lebih lagi keluarga semakin besar.

“Saya tidak terkilan mengambil keputusan bersara kerana apa yang saya impikan sudah tercapai.

“Bermula dari kejohanan tempatan sehingga kejohanan dunia, Sukan Olimpik, Sukan Asia semua saya sudah rasai.

“Paling penting pengalaman tinggal di Eropah, Amerika Syarikat dan juga Turki amat bermakna buat saya. Di situ saya mempelajari banyak tentang kehidupan, bukannya semata-mata perlumbaan basikal,” ujar Adiq yang pernah dinobatkan Pelumba Terbaik Asia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi 2016.

Cawangan ketiga BB Shellfood milik Adiq dibuka di Taman Melawati tahun ini.

Jelas Adiq, peluang merantau ke seluruh dunia juga membuatkan timbul hasrat dan minat untuk mendalami bidang makanan serta masakan.

“Saya juga bertemu jodoh ketika bergelar atlet. Saya bersyukur kerana isteri (Nurin Chan) bakal menyambut kelahiran anak kedua tidak lama lagi.

“Sebelum ini saya lebih banyak menghabiskan masa di luar negara dan banyak merasa pelbagai jenis hidangan. 

“Tetapi kini rasanya tidak sanggup lagi berjauhan dengan keluarga. Pada 2013, saya mula membuka restoran BB Shellfood berasaskan makanan laut di Terengganu.

“Alhamdullilah mendapat sambutan dan kini dah ada tiga restoran (paling baharu cawangan di Taman Melawati).

“Di Terengganu, diuruskan oleh adik beradik saya, manakala cawangan di Kuala Lumpur diuruskan sendiri oleh saya, isteri dan ibu bapa mertua.

“Setakat ini sambutan menggalakkan dan rata-rata gembira dengan resepi keluarga saya,” jelasnya yang turut mahir menyediakan menu masakan utama.

Adiq dan isteri bakal menyambut kelahiran anak kedua tidak lama lagi.

Menurut Adiq, walaupun kini sibuk menguruskan restorannya, dia tidak pernah melupakan terus dunia basikalnya.

“Saya tetap juga mengayuh, tetapi secara berkumpulan. Mana boleh terus lupakan aktiviti ini," katanya yang merancang untuk menubuhkan syarikat perkhidmatan servis basikal. 

Katanya, langkah itu bagi membolehkan dia kembali berkongsi pengalaman dengan orang lain

Ketika mStar Online berkesempatan meninjau cawangan restorannya di Taman Melawati, ternyata Adiq tidak kekok di dapur apabila hasil air tangannya kini menjadi pilihan dalam kalangan penggemar makanan laut.

"Di sini ada dua jenis masakan iaitu berasaskan kari dan butter. Mengenai harga pula, kami tawarkan pada harga sangat berpatutan," katanya.

Adiq Husainie , BBshellfood , basikal

Artikel Lain