suria

Dari jauh beribu batu, Teong Kim tegur ‘orang’ jaga Luqman - “Dia masih budak, jangan mainkan emosinya”

Teong Kim berkongsi pendapat mengenai situasi bekas pemainnya, Luqman.

BIARPUN tinggal beribu batu di luar negara, bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim tetap mengambil peduli perkembangan bola sepak negara, khasnya bekas pelatih-pelatihnya.

Terbaharu, Teong Kim turut menegur segelintir 'orang' yang menjaga pemain berbakat, Luqman Hakim Shamsudin yang dianggap cuba bermain dengan emosi penyerang muda ini.

Ia berikutan timbulnya isu arah tuju Luqman yang sepatutnya dalam tempoh terdekat ini akan terbang ke Belgium untuk bersama kelab KV Kortrijk.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Luqman ke KV Kortrijk belum selesai,"FAS belum lepaskan Luqman secara rasmi"

Bagaimanapun timbul pula status tergantung bersama kelab yang diwakilinya sekarang, iaitu pasukan Selangor 2.

"Dia budak kampung yang tidak tahu apa-apa mengenai kontrak atau sebagainya. Dalam jiwanya hanya mahu pergi jauh dan bersemangat bermain dengan kelab luar negara yang dipersetujuinya sebelum ini.

"Sebenarnya mudah sahaja, kalau tak boleh... cakap sahaja tak boleh. Ini tidak... sekejap kata ke sana (Belgium) kejap kata di Selangor.

"Situasi ini boleh mengganggu emosi dia," katanya kepada mStar.

Tambah Teong Kim, perkembangan yang tidak menentu ini akan mengganggu proses pembangunan diri pemain itu sendiri.



Luqman sepatutnya berangkat ke Belgium dalam tempoh terdekat ini.

"Budak ini baru 18 tahun. Jangan bermain dengan emosi dia yang sudah teruja untuk pergi ke sana. Dan sudah pasti dia sudah berkhayal bermain dengan kelab luar negara.

"Namun selepas empat lima bulan ia belum berlaku lagi. Saya pasti dia pasti bosan dan kalau mental tidak kuat pasti akan hilang motivasi.

"Malah saya ada dengar juga dia mengikat kontrak dengan ejen kelab Eropah. Bagi saya itu keputusan yang tidak bagus kerana dia sudah berjanji dengan kelab lain.

"Saya harap ejen-ejen yang berminat ke atasnya mestilah ada perikemanusiaan sedikit. Jangan menggunakan Luqman demi kepentingan sendiri.

"Tetapi kalau ejen itu seorang yang betul, ia tidak mengapa kerana saya tahu mereka (ejen Eropah) mempunyai kepakaran sendiri dan kredibiliti untuk mendapatkan slot bagi seseorang pemain," jelasnya yang pernah melatih Luqman sepanjang berada di AMD dalam Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) sebelum ini.

Dalam pada itu, Teong Kim yang tamat kontraknya bersama AMD tahun lalu mengakui selain Luqman beberapa lagi pemain AMD turut mempunyai bakat besar untuk pergi lebih jauh.

"Antaranya Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mempunyai bakat besar untuk pergi jauh jika diberi peluang," katanya yang kini tinggal di Munich, Jerman.

Sebelum ini, pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan mendedahkan bahawa penyerang kelahiran Kelantan itu telah menjadi milik kelabnya.

Namun, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata Luqman masih milik Selangor 2 memandangkan FAS belum mengeluarkan surat pelepasan kepada pemain itu.

Berdasarkan perancangan asal, Luqman sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lalu sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, sebelum hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan wabak Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain