suria

Kakak sayu terkenang adik bongsu ‘berjoget’ dapat puding karamel, tak sangka esoknya ‘pergi’ dalam tidur - “Dia simpan sikit nak ulang makan”

Athy (kiri) sempat memenuhi permintaan adiknya sebelum meninggal dunia.

PEMERGIAN adik lelaki tersayang meninggalkan kesan mendalam buat seorang kakak apatah lagi apabila mengenangkan saat terakhir bersama Allahyarham.

Namun Nurul Athirah atau mesra disapa Athy, tetap bersyukur dapat menunaikan permintaan terakhir arwah adiknya iaitu Muhammad Aidil yang memintanya membuat puding karamel sebelum meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

Jelas Athy, walaupun dia tidak mahir membuat pencuci mulut namun pujian arwah tentang masakannya cukup membuatkan dia gembira.

"Sehari sebelum Aidil meninggal dunia, banyak kali dia tanya bila nak buat puding karamel sebab dia craving dari bulan sebelum itu lagi. Beli dekat kedai katanya tak sedap!

"Jujurnya saya pula tidaklah pandai sangat buat dessert. Puding karamel yang saya masak untuk arwah pun pertama kali saya buat sebab dia nak sangat.

Hantaran Athy mengenai puding karamel yang dibuat di TikTok.

"Alhamdulillah kami dapat makan sama-sama dengan keluarga malam itu," katanya kepada mStar.

Berkongsi mengenai pemergian adik bongsunya itu, Athy memberitahu arwah 'pergi' dalam tidur di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor.

Athy yang merupakan anak kelima daripada enam beradik berkata, pemergian Aidil berlaku dalam keadaan tidak disangka-sangka kerana adiknya itu hanya mengalami demam dan tidak menunjukkan sebarang tanda serius.

Tambah Athy yang merupakan seorang peniaga, sehari sebelum kematian adiknya, dia perasan arwah kurang bercakap walaupun dia gemar mengusik ahli keluarga.

Perubahan sikap Aidil turut membuatkan dia berasa tidak sedap hati dan sukar tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan ibu mereka yang mendapati adiknya tidak sedarkan diri di dalam bilik.

ARTIKEL BERKAITAN: 25 tahun berlalu, adik tak akan lupa jenayah tragis menimpa Noor Suzaily - "Saya ahli keluarga terakhir bertemu dia"

ARTIKEL BERKAITAN: “Malam ni aku mati!” - Adik dalam bahaya sempat minta bantuan kakak, dakwa warden ‘pejam mata’ kes buli di asrama

"Beberapa minit lepas saya terlelap pagi kejadian, mak menjerit sebab nampak adik dah tak sedarkan diri. Masa tu saya ingat dia cuma pengsan saja.

"Tapi bila saya pegang badan dia, memang dah sejuk dan keras. Saya sedih sangat dengan pemergian Aidil sebab saya tak ada kawan lain.

"Saya ada dia saja tempat bercerita dan luahkan perasaan setiap hari," ujarnya sebak.

Athy menjelaskan hantaran yang mengundang sedih ramai di TikTok itu dibuat selepas melihat ramai pengguna mencuba resepi puding karamel yang dikongsikan pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming.

Perkara itu sekali gus mengingatkannya kepada arwah kerana pencuci mulut berkenaan merupakan antara kenangan terakhirnya dengan adik kesayangan.

Dalam kenangan... Athy akui rapat dengan adik bongsunya.

Menurut Athy, Aidil menikmati puding tersebut dalam keadaan gembira malah menyimpan sebahagian untuk dimakan keesokan hari kerana tidak mahu menghabiskan makanan yang dirasakan sedap.

"Saya suruh dia habiskan terus tapi dia kata nak simpan sikit untuk makan esok. Memang perangai Aidil kalau makanan tu sedap, dia tak akan habiskan. Dia sanggup makan sikit-sikit.

"Kalau saya tahu itu makanan terakhir, saya buat lebih awal supaya dia boleh habiskan semua. Dia happy sangat sampai makan sambil joget-joget.

"Tapi sekarang lain sangat rasanya kalau nampak kedai jual puding karamel, mesti saya teringatkan arwah,” katanya lagi.

Athy turut berkongsi arwah pernah berseloroh dan 'berlatih' untuk menjadi walinya pada hari pernikahan kelak memandangkan bapa mereka telah lama meninggal dunia.

  • Adik meninggal dunia dalam tidur selepas demam sehari.
  • Puding karamel jadi permintaan terakhir arwah.
  • Kakak tak sangka demam biasa bawa kematian mengejut.
  • Arwah pernah berjanji mahu jadi wali kakaknya.
  • Perkongsian dibuat sebagai kenangan dan peringatan kepada ramai.

Namun hasrat dan janji tersebut tidak kesampaian apabila Aidil pergi terlebih dahulu sebelum Athy sempat mendirikan rumah tangga.

Susulan apa yang berlaku kepada arwah, Athy menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan gejala demam berpanjangan dan mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya berlarutan.

"Kalau ada mengalami demam yang kerap macam arwah, saya sarankan pergi buat pemeriksaan kesihatan dan darah. Kami lambat sebab ingatkan demam biasa saja. 

"Saya harap semua orang jangan ambil mudah walaupun demam saja. Kalau ada orang tersayang minta kita masakkan sesuatu, buatlah. Kita tak tahu bila mereka akan pergi. 

"Walaupun saya sedih kehilangan satu-satunya adik lelaki, saya bersyukur sebab sempat tunaikan semua permintaan dia," katanya.

Artikel Lain