suria

Van Gaal Tidak Ikhlas Dengan Saya - Van Persie

Van Persie (kanan) mengakui dia bukan pemain pilihan Van Gaal.

ROBIN Van Persie mendedahkan dia tidak diberi peluang yang 'ikhlas' oleh Louis van Gaal bagi membuktikan dirinya layak untuk terus berada di Manchester United.

Van Persie secara sahnya telah berpindah ke Fenerbahce awal minggu ini selepas gagal menjadi pilihan untuk kekal di Old Trafford mendedahkan hubungan dinginnya dengan Van Gaal kepada Sunday Times.

Penyerang ini merupakan kapten skuad Belanda di bawah kendalian Van Gaal ketika Piala Dunia 2014 dijangka akan dapat menerima layanan sebagai pemain senior ketika Van Gaal tiba di Old Trafford, namun sebaliknya berlaku.

"Saya mengenali Louis sebagai jurulatih kebangsaan dan sekarang perlu kenalinya sebagai jurulatih di kelab. Dan itu adalah perkara yang berbeza," jelasnya.

Van Persie menjelaskan bagaimana dia mula berbincang dengan Van Gaal ketika berada di sebuah kelab golf pada Mei lalu dan menyedari masa depannya mula goyang.

"Namun saya masih lagi berharap keadaan akan lebih baik sebaik sahaja kami kembali daripada bercuti.




"Dia berubah fikiran mengenai saya sebelum ini. Apabila dia mengambil alih skuad Holland, dia berkata kepada saya 'Kamu adalah penyerang No.3 sekarang'. Saya O..K..' tetapi selepas itu saya bangkit dan bersaing menjadi No.1 dan seterusnya terpilih sebagai kapten pasukan.

"Tetapi apabila saya kembali, ia bukan persaingan yang jujur lagi. Saya berjuang untuk mendapat posisi dalam pasukan, tetapi saya bukan pilihannya lagi. Dia menghantar saya berada di Pitch Two. Saya adalah pemain matang dan bukannya bodoh.

"Saya tidak marah dan tidak emosional. Perkara ini adalah sebahagian daripada dunia bola sepak dan kehidupan. Kamu perlu melakukan yang terbaik dalam apa jua keadaan dan saya akhirnya membuat keputusan untuk berpindah," jelasnya.

Katanya lagi, dia melihat bagaimana skuadnya ketinggalan 1-0 kepada Chelsea ketika aksi pada 18 April lalu.

"Itu adalah petanda jelas bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Saya diminta bermain sebagai simpanan, dan terus berada di bangku simpanan. Sejak itu situasi mula berubah, dan semua orang di kelab menyedari keadaan ini.

"Namun saya seorang profesional. Ketika itu saya belum terfikir untuk berpindah. Bouchra dan anak-anak saya gembira berada di Manchester. Sehinggalah keadaan makin berubah dan saya akhirnya berpindah," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain