suria

Kehadiran Anak-Anak Buah Meriahkan Sambutan Raya Zaiful

NAMA Mohd Zaiful Zainal Abidin dalam arena sukan olahraga negara tidak asing lagi biarpun sudah beberapa tahun meninggalkan trek kebangsaan.

Sekian lama sibuk dengan kerjayanya sebagai pendidik sebelum memegang jawatan sebagai penolong pengarah di Kementerian Pendidikan Malaysia, Zaiful muncul berkongsi kenangan Hari Raya Aidilfitri.

"Setiap tahun saya hanya beraya sederhana sahaja. Raya dulu dan sekarang banyak berubah semenjak pemergian arwah ayah sebelas tahun dulu. Keseronokan itu sudah hilang, tetapi tetap bersyukur kerana mak masih ada bersama meraikan hari bahagia ini dengan adik-beradik yang lain.

"Malah sedikit-sebanyak ketiadaan ayah dapat diatasi kerana saya mempunyai adik-beradik yang ramai, sepuluh orang (lima lelaki, lima perempuan).

"Jadi sekarang semuanya sudah dewasa malah kakak dan abang sudah berkahwin. Hanya saya dan dua lagi adik-beradik yang belum mendirikan rumah tangga.

"Kahadiran anak-anak buah juga memeriahkan keluarga kami malah turut menggembirakan hati ibu saya," jelasnya mengenai pengalaman berhari raya bersama keluarga.




Menurut Zaiful,33, sejak bergelar atlet lagi dia turut memberi duit raya kepada anak-anak buahnya.

"Dulu ketika bergelar atlet kami dapat elaun dan dari duit itulah saya gunakan untuk berhari raya termasuk memberi duit raya kepada anak-anak saudara.

"Namun kini saya sudah bekerjaya, nilai duit raya itu makin bertambah. Lagipun budak-budak sekarang sudah pandai memilih warna duit," jelasnya tersenyum.

Tambah Zaiful, walaupun sudah lama meninggalkan dunia atlet, Zaiful gembira kerana hubungan dengan rakan-rakan atlet yang lain tetap kukuh.

"Musim perayaan ada juga kenalan atlet datang beraya di rumah. Inilah masa untuk kami mengeratkan lagi hubungan antara satu sama lain memandangkan masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri," jelasnya.


Zaiful, olahraga, hari raya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain