suria

MABA Tagih Penyertaan Pemain Bukan Cina

Nur Izzati ditemubual sebelum berangkat ke Sukan SEA baru-baru ini,

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) sedang meningkatkan usaha menarik lebih banyak pemain bukan Cina untuk melibatkan diri dalam sukan itu secara lebih serius.

Setiausaha Agung MABA, Chey That Woon berkata terdapat 550,000 pemain bukan Cina terlibat dalam sukan itu di peringkat amatur di seluruh negara.

Beliau berkata banyak pemain bukan Cina terlibat dalam kejohanan seperti '3on 3' tetapi jumlah mereka merosot dalam kejohanan terbuka, baik di peringkat negeri mahupun daerah.

Katanya setiap tahun pihaknya menganjurkan Piala MABA iaitu kejohanan kebangsaan khusus untuk pemain bukan Cina dan selepas kejohanan itu tidak ada kejohanan lain untuk mereka sepanjang tahun.

Punca utama ketandusan pemain bukan Cina ialah kekurangan pendedahan terhadap sukan itu di peringkat sekolah rendah, katanya kepada Bernama.

Di samping itu, Chey juga berkata salah satu punca utama ialah kekurangan infrastruktur seperti gelanggang dan dewan di kawasan luar bandar khusus di kawasan penempatan orang Melayu dan India.

"Anda jarang sekali melihat gelanggang bola keranjang di kawasan majoriti penduduk bukan Cina...jadi kanak-kanak memilih untuk menceburi sukan lain seperti bola sepak di kampung-kampung," katanya.

Bagi mengatasi masalah ini, katanya, MABA telah merangka program jangkapanjang untuk membangunkan bakat pemain bukan Cina di negara ini.

Sejumlah 16 pemain dipilih daripada Kejohanan Piala MABA tahun ini untuk mengikuti program pembangunan untuk menggilap bakat menerusi latihan dua kali seminggu di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan.

Menurut Chey, pemain-pemain ini akan berlatih bersama pemain remajakebangsaan dan MABA mempunyai rancangan untuk menghantar pemain bukan Cina ini untuk menyertai kejohanan di Vietnam, Brunei dan Kemboja.

"Diharap kumpulan ini akan kembali semula ke kampung halaman mereka dan mengembangkan sukan ini di kawasan masing-masing," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih negara, Paul Advincula berkata program pembangunan untuk pemain bukan Cina lelaki bermula pada April lepas dengan siri latihan diadakan di Stadium MABA di Jalan Hang Jebat di sini.

Beliau berkata adalah sukar untuk mencari pemain berbakat dalam kalangan pemain bukan Cina untuk menyertai program pembangunan tersebut.

"Semua pemain muda yang berbakat dan komited dipelawa menyertai sesi pemilihan untuk program pembangunan ini," kata jurulatih dari Filipina itu.

Buat masa ini, hanya dua pemain bukan Cina -- Nur Izzati Yaakob dan R.Kalaimathi menyertai skuad wanita negara yang merangkul pingat emas pada Sukan SEA ke-28 di Singapura, bulan lepas.

Bola keranjang

Artikel Berikut

Gerrard Tunjuk Taring

Artikel Lain