suria

Pusingan Pertama Cub Prix Ditangguh Ke Batu Kawan

PENGANJUR Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) telah mengumumkan penangguhan pusingan pembuka tirai 2013 yang dijadualkan di Johor pada 9 dan 10 Mac ini ekoran venue yang ditetapkan tidak dapat digunakan.

Penjadualan semula itu menyaksikan Pusingan 1 yang sepatutnya dilangsungkan di Muar, Johor terpaksa dipinda dan menjadikan Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang yang dijadualkan sebagai pusingan kedua akan menjadi medan saingan pusingan pembukaan pada 6 dan 7 April ini.

Ekoran perubahan jadual kalendar itu, Melaka akan menjadi tuan rumah Pusingan 2 (27-28 April), diikuti Terengganu (10 dan 11 Mei) manakala Muar yang pada asalnya menjadi hos pembuka musim menjadi tuan rumah Pusingan 4 (8 dan 9 Jun) sebelum saingan pertengahan musim menggegar Teluk Intan, Perak (29 dan 30 Jun).

Kejohanan ini akan berehat sepanjang Julai dan Ogos sebagai menghormati kedatangan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri sebelum bersambung semula di tempat yang belum diputuskan pada 21 dan 22 September diikuti Kluang, Johor (5 dan 6 Oktober).

"Ia agak mengecewakan apabila kami perlu menangguhkan perlumbaan di Johor tetapi langkah itu perlu ekoran tempat yang telah dipohon tidak bersedia mengikut ketetapan masa yang dijadualkan,” kata Pengarah Promosi SAM, Ron Hogg.

Pada masa sama, Ron turut mendedahkan Negeri Sembilan bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi Pusingan 8 namun tarikhnya belum disahkan.

Selepas itu Pusingan kedua terakhir akan berlangsung di Litar Sepang (16 dan 17 November) diikuti kemuncak saingan musim 2013 pada 7 dan 8 Disember, namun venue perlumbaan masih belum ditetapkan.

"Pindaan ini bagaimanapun tidak memberi kesan yang besar kepada kalendar kejuaraan. Selain daripada pusingan di Muar yang kini telah dijadualkan semula, tarikh-tarikh selebihnya telah tetapkan dan kami masih membuka ruang kepada mana-mana tempat yang berminat untuk menjadi tuan rumah perlumbaan bagi tarikh yang masih belum disahkan tempatnya.

"Tambahan pula, ruang masa ini membolehkan pasukan-pasukan dan pelumba-pelumba untuk membuat persediaan lebih rapi,” tambah Ron.

Artikel Lain