suria

Ryan Giggs Bakal Catat Sejarah Baru Jam 11 Malam Ini

Giggs (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Wayne Rooney ketika menentang Queens Park Rangers (QPR), 23 Februari lalu.
Giggs (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Wayne Rooney ketika menentang Queens Park Rangers (QPR), 23 Februari lalu.
Giggs (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan, Wayne Rooney ketika menentang Queens Park Rangers (QPR), 23 Februari lalu.

PEMAIN sayap Manchester United, Ryan Giggs telah menandatangani kontrak baru selama setahun lagi bersama kelab itu sekaligus bakal mencatatkan sejarah baru sekiranya dia diturunkan dalam perlawanan menentang Norwich City malam ini.

Jika pemain berusia 39 tahun itu bermain malam ini, ia adalah perlawanan profesional dan antarabangsa yang ke-1000 buat pemain itu.

Pengurus United, Sir Alex Ferguson percaya tidak akan ada pemain profesional lain yang dapat menandingi pencapaian tersebut.

Pada Jumaat, Giggs telah menandatangani perlanjutan kontraknya selama setahun lagi dengan United yang menyaksikan pemain itu akan terus berada di Old Trafford sehingga Jun 2014.

Jika dia memenuhi tempoh tersebut sepenuhnya, ini bermakna Giggs bakal mencatatkan satu lagi sejarah iaitu bermain selama 23 musim dengan United - satu pencapaian yang luar biasa dan tidak pernah dicatatkan oleh mana-mana pemain skuad utama.

Giggs pertama kali menyarung jersi United pada 2 Mac 1991 dan sejak itu telah menjaringkan 168 gol.

Sir Alex menambah: "Ryan adalah satu contoh profesional yang sangat luar biasa...apa lagi yang perlu saya katakan tentang pemain ini...saya tidak perlu berkata apa-apa tentang dirinya lagi. Dan bila memikirkan yang dia akan memasuki musim ke-23 bersama kami tanpa putus, memang sangat luar biasa untuk seorang pemain di era moden ini. Saya rasa rekod ini tidak akan dapat dipecahkan oleh sesiapa pun."

Kontrak baru ini juga bermakna Giggs akan terus bermain sehingga hari lahirnya yang ke-40 menjelang 29 November depan.

Dalam sejarah bolasepak moden dunia, hanya ada lima pemain sahaja yang terus bermain melangkaui usia 40 tahun.

Pemain-pemain itu ialah;

> Teddy Sheringham - juga bekas pemain United yang mengakhiri kariernya bersama kelab Colchester pada usia 42 tahun.

> Alessandro Costacurta - yang mencatat sejarah sebagai pemain tertua yang pernah bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah iaitu ketika berusia 40 tahun 211 hari pada tahun 2006.

> Paolo Maldini - yang bersara pada usia 41 tahun pada tahun 2009 ketika mewakili AC Milan.

> Sir Stanley Matthews - bermain selama 33 tahun dan hanya bersara ketika berusia 50 tahun - satu rekod yang belum dipecahkan oleh mana-mana pemain profesional yang lain dan

> Romario - yang hanya bersara pada usia 43 tahun pada 2009.

Sejak memulakan kerjaya profesionalnya bersama United, Giggs telah memenangi 12 kejuaraan liga, empat Piala FA, tiga Piala Carling dan dua Liga Juara-Juara Eropah.

Dia juga telah mewakili Wales sebanyak 64 kali sebelum bersara di peringkat antarabangsa pada 2007.

Dia juga mencatat sejarah mewakili pasukan Great Britain pada Olimpik London sebagai kapten.

Keseluruhannya termasuk perlawanan di peringkat antarabangsa, Giggs akan bermain untuk kali yang ke-1,000 malam ini menentang Norwich dalam perlawanan liga perdana Inggeris seandainya diturunkan.

Dalam pada itu, gol yang dijaringkannya dalam perlawanan menentang Everton pada 10 Februari lalu (United menang 2-0) bermakna Giggs telah menjaringkan gol dalam setiap musim sejak dia mula mewakili United pada tahun 1991.

Ferguson percaya yang Giggs akan terus kekal bersama United walaupun kontraknya sebagai pemain pro tamat setahun dari sekarang.

"Memang kami mempunyai perancangan untuknya terus kekal bersama kelab ini selepas tempoh tersebut. Beberapa bekas pemain United seperti rakan seangkatan Giggs iaitu Nicky Butt dan Brian Maclair telah pun kembali sebagai staf kejurulatihan kami," kata Ferguson lagi.

TRIVIA GIGGS:

> 168 gol dalam 931 perlawanan mewakili Man United

> 149 pemain telah menjadi rakan sepasukan Giggs di United

> 16 musim bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah - satu rekod untuk United.

> 73 kali bermain dalam kejohanan Piala FA

> 39 kali bermain dalam kejohanan Piala Liga/Carling

> 143 kali mewakili United dalam Liga Eropah

Artikel Lain